Antara Cita-Cita & Kewajipan

“How selfish I am in pursuing my dreams, that’s what I thought each time I see my PhD thesis” ,

Itu antara kata-kata yang tidak pernah aku lupakan dari seorang senior yang berkongsi pengalaman menyambung pengajian PhD di luar negara. Peristiwa hitam kematian ayahnya ketika dia diluar negara benar-benar membuatnya terasa ralat. Walaupun takdir penentu segala, tetapi perasaan bersalah itu tetap ada dan akan kekal hingga bila-bila.

Itu yang menjadi dilema aku sekarang, umur dah mencapai 30 pada 3 Januari tahun depan, ini bermakna sudah sampai masanya aku memulakan perjuangan PhD yang menjadi kewajipan seorang pensyarah IPT. Hasrat dan harapan dihati tentulah ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara, untuk belajar tentang kehidupan, belajar budaya baru dalam dunia akademik, meluaskan pengalaman dan membuka mata tehadap dunia diluar sana.

Namun, setiap kali aku berangan-angan, menghitung negeri yang akan menjadi destinasi, pasti ia akan terhenti apabila aku terkenangkan kedua ibu bapaku. Terkenangkan wajah Ma dan Dedi pasti akan membuat angan-angan ku putus. Usia mereka sudah lanjut dan tinggal hanya berdua dirumah, tambahan pula sering diganggu dengan kesakitan yang datang tidak diundang. Pada saat mereka memerlukan teman dirumah, anak-anak semuanya berada di kejauhan. Dalam keadaan begini, aku terperangkap dalam dilema, cemburu aku melihat rakan-rakan sepengajian yang telah lama menyambung pengajian diluar negara. Namun aku tidak sampai hati untuk meninggalkan mereka kesepian dirumah. Walaupun aku tinggal di Kedah, tetapi aku sering juga pulang ke rumah, menggunakan kesempatan mesyuarat dan program di Kuala Lumpur, peluang singgah walaupun seketika tidak akan aku lepaskan, buat mengubat kesunyian mereka.

Bersempena dengan Hari Raya Korban tahun ini, aku berdoa agar aku diberi kekuatan untuk mengorbankan cita-cita ku ke luar negara demi sebuah kewajipan, kewajipan berbakti kepada kedua orang tua yang amat aku kasihi. Ingin juga aku berdoa pada malam yang penuh dengan keberkatan ini agar aku diberi kekuatan, kesempatan dan dilorongkan kemudahan untuk terus berbakti kepada kedua orang tuaku.

Ingin aku menyeru kepada rakan-rakan, walau sesibuk mana tugas dunia kita, jangan dilupa kedua orang tua, pada mereka punca keberkatan kehidupan kita, tanpa restu mereka, perjuangan kita tidak akan kemana-mana.

1 comment:

  1. hmm..never know u're taking this decision..

    :(

    ReplyDelete