Almarhum Ustaz Dr. Fathi Yakan: Legasinya Akan Terus Hidup



Patah tumbuh hilang kan berganti, namun tidak terpakai peribahasa itu bagi seorang mujahid, musleh, mu'min dan muslim seperti Almarhum Ustaz Dr. Fathi Yakan.

Kehidupan yang dipenuhi dengan perjuangan beserta legasi-legasi yang akan terus hidup pasti akan terus menyalakan obor perjuangan umat ini hingga ke mercu kejayaan.

Di Malaysia, siapa yang tidak mengenali "Apa Erti Saya Menganut Islam", sebuah kitab klasik yang telah mengubah kehidupan puluhan ribu umat islam di Malaysia bahkan mungkin jutaan umat islam di seluruh dunia.



"Apa Erti Saya Menganut Islam" telah mengubah dimensi kefahaman tidak sedikit dari umat ini tentang kefahaman Islam yang sebenar, bahawa keberadaan kita di atas muka bumi ini sebagai muslim ada tugas dan tanggungjawab yang harus kita laksanakan.

Berbahagialah Ustaz Fathi Yakan atas sumbangannya terhadap umat ini, AESMI pasti akan menjadi saksi terhadap dirinya di hadapan Allah bahawa dia telah menyampaikan kalimah kebenaran.

Sudah pastilah bahawa legasi amal soleh ini akan menjadi amal jariah yang menjadi peneman dan pemberi cahaya di dalam kubur beliau.

Almarhum Ustaz Fathi Yakan telah mendahului kita, rohnya pulang menemui ilahi dalam keadaan dirinya berbahagia, kita bagaimana? apakah legasi yang kita tinggalkan untuk menjadi amal jariah buat kita di alam barzakh sana, apakah harta dunia yang kita kumpulkan yang akhirnya akan difaraidkan atau amal jariah sekadar derma RM 1 yang kita masukkan dalam tabung masjid setiap Jumaat.

Biar miskin dunia tapi kaya di akhirat, tapi lebih baik jika kaya di dunia dan kaya pula di akhirat.

Al Fatihah untuk Almarhum Ustaz Fathi Yakan....

No comments:

Post a Comment