Examophobia



Menduduki ujian adalah antara perkara yang paling tidak aku minati, sejak dari zaman sekolah lagi. Seingat aku, dalam mana-mana peperiksaan pun, aku sukar untuk mengawal perasaan gelabah. Masih lagi aku ingat ketika peperiksaan Bahasa Malaysia PMR, perutku memulas-mulas di tengah peperiksaan, kebetulan tandas pula terletak jauh dari dewan, kelajuan pecutan aku dari dewan ke tandas hanya tuhan yang tahu, mungkin Usain Bolt pun akan keciciran beberapa tiang agaknya jika berlumba denganku pada waktu itu.
Ketika SPM pula, seminggu sebelum peperiksaan aku diserang demam panas dan sakit kepala yang amat dasyat, seingatku, belum pernah aku diserang demam dan sakit kepala yang begitu teruk. Aku menduduki SPM ketika baru kebah dari demam dan kurangnya persediaan akibat terlantar sakit.

Di matrikulasi juga aku mengalami fobia yang sama, demam ketika musim peperiksaan, masih lagi aku ingat kenangan mengambil peperiksaan di klinik universiti akibat demam yang berpanjangan. Akibatnya, pointer semester keduaku jatuh mendadak.
Ketika di universiti, aku pernah dihalau keluar dari kelas akibat terlambat datang ketika ujian bahasa inggeris kerana terlajak tidur, begitu juga senario perut memulas yang berulang dalam beberapa peperiksaan di universiti, antaranya dalam subjek perakaunan perniagaan. Akibat keluar ke tandas, aku gagal mendengar arahan dan menjawab soalan yang tidak sepatutnya aku jawab, mujurlah pensyarahku ketika itu iaitu Pn. Zaimah Zainol Ariffin bermurah hati untuk memberi pertimbangan.

Setelah memasuki alam pekerjaan, aku merasa lega kerana tidak lagi perlu menduduki peperiksaan, bahkan memberi peperiksaan pula kepada pelajar. Namun, panas tidak sampai ke petang, aku diwajibkan untuk menduduki ujian IELTS sebelum menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Bahasa Inggeris bukanlah subjek kegemaranku dari sekolah, aku sememangnya tidak gemarkan bahasa inggeris, bahkan hingga hari ini grammarku masih lagi tunggang langgang.

Ujian itu sengaja aku dan rakan-rakan (Dzarfan, azizi dan sazali) pilih untuk mengambilnya di IDP Penang, lebih mudah kalau menurut kata orang la, namun apa yang kami terlupa adalah perancangan Allah sentiasa mengatasi perancangan manusia.
Kami bertolak pada jumaat malam sabtu, agak lewat kerana menyelesaikan beberapa urusan, lagi pula ujian dijadualkan pada jam 815 am pagi Sabtu, kami bercadang untuk bermalam di hotel USM sebelum ke tempat ujian esoknya.

Tiba di Pulau jam 1130 pm, kami bercadang untuk mencari dahulu lokasi tempat peperiksaan agar lebih mudah untuk kami mencari jalannya esok pagi. Namun entah bagaimana, hingga jam 200 am, lokasi ujian di kolej disteed belum kelihatan, entah berapa kali kami berpusing-pusing di jalan McAlister dan Pulau Tikus, hinggalah akhirnya pada jam 230 am barulah kami ketemu dengan kolej tersebut di hujung jalan cantonment.

Seterusnya, destinasi kami adalah hotel, sekali lagi malang menimpa kerana kebanyakan hotel telah penuh disebabkan oleh pendaftaran USM pada hari yang sama. Hingga jam 3 am, akhirnya kami membuat keputusan untuk tidur di Masjid Negeri sahaja. Dengan suasana yang panas, nyamuk yang bermaharajelela, bunyi rempitan motosikal di jalan raya, aku langsung tidak dapat melelapkan mata. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk berwudhuk dan bertahajjud hingga subuh. Dengan kepala yang berat selepas waktu subuh, kami bersarapan dan bertolak ke lokasi. Tiba di Kolej Disteed, perut pula memulas-mulas. Harap-harapnya kali ini bukan cirit birit, terus aku ke tandas. Aku menyelesaikan urusanku dengan tergesa-gesa dan terus naik ke atas tanpa menyedari kotak alatulis ku tertinggal di tandas. Dengan pantas aku turun semula dan kali ni tandas pula telah dikunci. Aduh! Apalah malang nasib kali ini, mujur teman-teman sudi meminjamkan alatulis.

Aku menduduki peperiksaan dengan kepala yang berpusing-pusing dan menahan sakit perut yang masih berbaki, terpaksalah aku menahannya kerana peperiksaan IELTS tidak ada sebarang toilet break. Ketika listening, kepalaku melayang-layang, ketika reading, kepalaku berpusing-pusing, ketika writing, aku hampir tertidur dek kerana mengantuk yang amat sangat. Speaking mujurlah agak mudah topik yang diberi.

Kami selesai lebih kurang jam 230 petang, dengan mata yang hampir tidak boleh dibuka, aku memandu dan akhirnya tiba di atas feri lebih kurang jam 330 petang. Bayu laut yang menghembus menenangkan gundah gulanaku, harap-harapnya tiada lagi peperiksaan yang mengfobiakan yang perlu aku duduki selepas ini. Duugaaaaan sungguh.

No comments:

Post a Comment