Ramadhan Bulan Kemenangan


Ahlan Wa Sahlan Ramadhan, hati mukmin tidak sabar lagi untuk meraih keberkatan dan kebaikan-kebaikan bulan istimewa ini. Bagi jiwa yang beriman, Ramadhan adalah bulan terbaik untuk melihat kembali susur kehidupan dan mengumpul kembali kekuatan untuk perjuangan panjang yang tiada hentinya.

Ibarat seorang tukang kayu yang berehat seketika dan menajamkan gergajinya yang tumpul, Ramadhan adalah bulan untuk setiap mu’min menajamkan kembali mata hatinya, membersihkannya dari kelam dosa yang terhimpun.

Ramadhan adalah bulan berlapar bagi nafsu tetapi adalah bulan dimana roh akan menjadi kenyang dengan hidangan dari Al-Quran, terawih, sedekah dan amal ibadah yang lain. Jamulah roh sebanyak-banyaknya pada bulan ini.

Amat malang jika Ramadhan hanya menjadi bulan pesta makanan buat nafsu ketika berbuka, ketika itu tertawalah syaitan yang dirantai kerana tarbiahnya telah berjaya. Usahlah sibuk memikirkan makanan untuk berbuka sedangkan tilawah al quran entah ke mana.

Marilah sama-sama kita menyemarakkan amal ibadah di bulan Ramadhan kali ini, Ramadhan adalah bulan kemenangan untuk mu’min, bukan bulan lemah longlai dan untuk tidur sebanyak-banyaknya.

Moga Ramadhan kali ini akan menjadi Ramadhan yang terbaik untuk kita semua.

Kenangan Ramadhan

Sedar tak sedar Ramadhan telah masuk hari kelima, masa berlalu begitu pantas, Khadijah juga telah menjejak sebulan usianya, Humaira pula hampir mencecah 4 tahun 31 Ogos ni, ummuhumaira pun begitu, 28 Ogos ni genaplah 30 tahun umurnya.

Kalau dihitung sejak akil baligh, ini adalah kali ke 15 aku berpuasa Ramadhan, entah berapa kali lagi Allah akan memberi kesempatan untuk bertemu dengan Ramadhan lagi. Justeru itu, setiap saat dalam Ramadhan ini harus kita gunakan sebaik mungkin untuk amal kebaikan, tilawahlah sebanyak-banyaknya, bersedekahlah laksana angin yang bertiup, maafkanlah kesalahan orang lain, berubahlah menjadi lebih baik, tiada masa yang lebih baik berbanding Ramadhan untuk kita mengubah diri kita.

Teringat ketika zaman kanak-kanak dulu, Ramadhan adalah bulan yang paling menyeronokkan, apa tidaknya, bulan ini lesen keluar malam akan diberi oleh ma aku, kalau bulan-bulan lain jangan harap le. Kesempatan itu aku dan kawan-kawan gunakan sepenuhnya untuk bermain, dengan pistol air yang tersisip kemas dalam lipatan kain sarung, aku keluar dengan wajah yang penuh tawadhuk untuk bersembahyang terawih, tapi lepas lapan rakaat, bermulalah aktiviti.
Main selipar tiga waktu malam buta, lumba lari 100 meter pakai kain, main perang-perang pistol air, bola chap malam dan entah apa-apa lagi permainan aku waktu kecil dulu, kenangan-kenangan itu rasanya baru semalam berlalu.

Teringat juga aku kepada saat-saat Ramadhan ku di UUM sebagai pelajar, kenangan berjalan kaki beramai-ramai ke masjid dari kolej Guthrie untuk berbuka di masjid, mendengar tazkirah selepas terawih, bertadarus bersama, bersahur dengan maggi, iktikaf bersama rakan-rakan dan yang paling istimewa tentulah bubur lambuknya, terbaik di dunia…
Sedar tak sedar sudah hampir separuh umur kini,

Ramadhan kali ini aku menyambutnya dengan perasaan yang berbeza, ahli keluarga telah bertambah, tanggungjawab juga
makin berat, Humaira juga telah makin membesar, celotehnya, ragamnya bukan seperti setahun yang lalu, kadang-kadang teruji juga kesabaran dengan karenahnya.

Moga Ramadhan kali ini menjadi batu loncatan dalam kehidupan kita untuk menjadi manusia yang lebih baik, gunalah saat-saat berharga yang dikurniakan ini untuk kita mencapai darjat taqwa dan memperoleh pembebasan dari api neraka.

Monyet yang tertewas



Ujian terhadap orang yang beriman boleh datang dalam pelbagai bentuk, apa yang pasti, setiap ujian itu sesuai dengan kemampuan diri masing-masing. Ada yang diuji dengan kemiskinan harta, ada yang diuji dengan kesakitan dan penderitaan fizikal, ada juga yang diuji dengan masalah dalam keluarga.

Namun dalam banyak ujian-ujian yang mendepani orang beriman, ujian kesenangan itulah yang paling bahaya dan mengelirukan. Rasulullah sendiri sering mengingatkan tentang bahaya apabila dibukanya pintu-pintu dunia, bahkan Rasulullah berkata bahawa kedudukan sahabat ketika dalam keadaan susah adalah lebih baik berbanding ketika mendapat kekuasaan dan harta.

Terdapat satu kisah berkenaan seekor monyet yang sedang bergayut pada sebatang pokok, tiba-tiba datang hujan ribut yang kuat, air dibawah pokok telah mula naik, jika dia melepaskan pegangannya pada dahan pastilah dia akan mati lemas atau dihanyutkan air bah yang deras.

Ketika angin bertiup makin kencang, monyet tersebut terus mengenggam erat dahan pokok tersebut, pelbagai teknik digunakan untuk memastikan dirinya tidak jatuh ke bawah. Angin masih tidak reda, kali ini datang pula ribut taufan, monyet tersebut semakin cemas, namun pegangannya tetap erat, monyet masih terselamat.

Akhirnya angin semakin reda, monyet pun lega, kali ini hanya angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup, keletihan memegang dahan ketika ribut ditambah belaian angin sepoi-sepoi bahasa membuatkan monyet jadi leka hingga dia terlena seketika, ketika itulah pegangannya terlepas dan akhirnya terjatuhlah monyet ke bawah dan dihanyutkan air bah yang masih belum surut, akhirnya monyet mati dalam lena, dek terbuai oleh kedamaian angin sepoi-sepoi bahasa.

Berapa ramai dari kita yang senasib dengan si monyet, ketika susah, pergantungan kita kepada Allah amat erat namun ketika dibuai kesenangan, jatuh ke jurang yang akhirnya menghanyutkan kita ke neraka.

Wallahua’lam

Salam Rahmat Buat Almarhum Ustaz Asri Rabbani


Sedih, sungguh sedih, kesedihanku begitu menusuk jiwa saat mendapat khabar berita Ustaz Asri Rabbani meninggal dunia 13 Ogos yang lalu.

Walaupun hanya pernah bersua dengannya sekali secara live, ketika dia membuat persembahan di Dewan Muadzam Shah UUM pada tahun 2001, namun suara Ustaz Asri sentiasa menjadi peneman setiaku sejak dari kecil hingga hari ini.

Lantunan suaranya yang cukup indah, asli dan penuh tawadhuk cukup menusuk jiwa ini, kenangan ketika aku bersekolah dahulu, dicelah-celah lambakan kaset Metallica dan Scorpion, terselit kaset Nadamurni yang akan ku pasang saat jiwa ini terasa resah dan gelisah. Suaranya bagaikan hujan yang membasahi jiwa yang kering kontang dari iman.

Ustaz Asri kekal menemaniku ketika di matrikulasi hingga habis pengajianku di UUM, sehingga hari ini, CD Kenangan Nadamurni sentiasa aku pasang berulang-ulang kali di dalam kereta. Aku tidak pernah jemu dan bosan mendengar suaranya melalui rintihan zikrullah, setanggi kasih, handzalah dan puluhan lagi lagu nasyid.

Melihat wajahnya yang penuh ketenangan, keceriaan sentiasa terpancar diwajahnya, suaranya lunak ketika berbicara, melihat blog beliau, hidupnya sentiasa dipenuhi agenda-agenda dakwah melalui nasyid, moga amal kebaikannya akan menjadi hujah buat dirinya.

Kini beliau tiada lagi, pemergiannya dalam usia yang sangat muda membuatkan mataku basah, tiada lagi suaranya dalam nasyid-nasyid baru selepas ini, Allah lebih menyayangi dirinya.

Sudah takdir bahawa setiap yang hidup pasti akan merasai mati, perjanjian itu tetap akan menemui setiap diri, moga Ustaz Asri akan berjumpa dengan syurga yang dicarinya selama ini

Catatan di blognya
“Aku adalah pengejar syurga akhirat,bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat;aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu.Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat,dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas.Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku...”

Baru Audit Dunia…

“Mat Paaaannnn!!! Audit nok mari doh esok ni, satu apa tok kemah lagi” aku terkejut membaca e-mail dari Dr. Nasarudin berkenaan lawatan audit dalam ke COB. Walaupun sampel audit belum ditentukan, namun kebarangkalian untuk dipilih tetap ada, memandangkan makin ramai pensyarah yang telah melanjutkan pelajaran.
“haaa, tu lah demo, dapat email baru nok gelabut kemah, sebelum ni tok buat awal-awal” Dzarfan memperli padahal aku melihat dia pun sedang kelam kabut juga menyusun fail dan mengemas dokumen yang diperlukan.

Begitulah fitrahnya makhluk yang bernama manusia, sentiasa lalai dan alpa hingga tiba waktu untuk menghadapi ujian. Oleh kerana itulah manusia harus sentiasa diberi peringatan, dan peringatan itu hanya akan berguna untuk orang-orang yang beriman sahaja.

Sebelum ini bukan tiada e-mail peringatan, ada tapi dialpakan kerana dirasakan masanya masih jauh, dan masih sempat untuk membuat persiapan, tetapi akhirnya waktunya tiba tanpa disedari. Mujurlah hanya audit dunia, jika beginilah persiapan untuk menghadapi audit amal perbuatan di akhirat nanti, tentu buruk padahnya.
“Rilek laaa, baru audit kat duniaaaa” kedengaran suara Dzarfan memperli aku yang sedang menyelongkar timbunan dokumen dan menyusun fail. Panas juga telinga rasanya.

Hakikat Ketentuan


“Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya. Barang siapa menghendaki pahala dunia, niscaya Kami berikan kepadanya pahala dunia itu, dan barang siapa menghendaki pahala akhirat, Kami berikan (pula) kepadanya pahala akhirat. Dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur. Ali Imran:145”


Hakikat ketentuan adalah takdir yang harus diterima oleh setiap muslim dengan penuh redha. Setiap yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunyi. Kadang-kadang hikmah itu disimpan untuk dipertontonkan ganjarannya pada kehidupan kita yang kekal abadi, tetapi sifat manusia yang sentiasa tergesa-gesa ingin agar ganjaran itu dilangsaikan di dunia lagi.

Namun manusia tetap manusia, walau dia seorang yang cantik imannya, baik taqwanya, namun mu’min itu tetap adalah manusia yang akan merasa pedih atas setiap musibah yang melanda.

Tidak salah bagi seorang mu’min untuk merasa pedih dalam hatinya, mengalirkan airmata atas musibah-musibah kehidupan yang menduga jiwa, namun setiap kepahitan itu pasti ada penawarnya, mungkin Allah ingin agar kita lebih dekat dengan dirinya, sebab itu diujinya manusia. Tanpa ujian, manusia akan hilang rasa kehambaan diatas muka bumi ini, dirasakan dirinya tuan yang berkuasa atas setiap urusan kehidupannya, kehidupan dirasakan miliknya, walhal ia hanyalah pinjaman dari tuhan buat menguji siapa yang lebih baik amal perbuatannya.

Bersabarlah atas segala ketentuan yang telah ditetapkan terhadap diri, walau pahit tetapi ketentuan adalah ketentuan, terimalah dengan hati yang sabar dan redha, mengadulah kepada tuhanmu dengan penuh rasa kehambaan, hanya dia yang maha berkuasa atas segala urusan.

Jadilah orang yang sentiasa inginkan pahala akhirat, walau dunia itu berkilau gemerlapannya namun, kilauan pahala akhirat yang tersimpan pasti lebih membahagiakan kita nanti disana.

Sabarlah duhai diri

The Pencil Parable

Normally all fwded e-mail messages will straight away go to the deleted items folder, but this mail is an exception, i deeply touched by this mail which was sent from one my schoolmates in SMLK (Sekolah Menengah Lembah Keramat).

Hope that readers of this blog too will also get inspired by this parable.

The Pencil Maker took the pencil aside, just before putting him into the box.

"There are 5 things you need to know," he told the pencil, "Before I send you out into the world. Always remember them and never forget, and you will become the best pencil you can be."

"One: You will be able to do many great things, but only if you allow yourself to be held in Someone's hand."

"Two: You will experience a painful sharpening from time to time, but you'll need it to become a better pencil."

"Three: You will be able to correct any mistakes you might make."

"Four: The most important part of you will always be what's inside."

"And Five: On every surface you are used on, you must leave your mark. No matter what the condition, you must continue to write."

The pencil understood and promised to remember, and went into the box with purpose in its heart.


Now replacing the place of the pencil with you.

Always remember them and never forget, and you will become the best person you can be.

One: You will be able to do many great things, but only if you allow yourself to be held in God's hand. And allow other human beings to access you for the many gifts you possess.

Two: You will experience a painful sharpening from time to time, by going through various problems in life, but you'll need it to become a stronger person.

Three: You will be able to correct any mistakes you might make.

Four: The most important part of you will always be what's on the inside.

And Five: On every surface you walk through, you must leave your mark. No matter what the situation, you must continue to do your duties.

Allow this parable on the pencil to encourage you to know that you are a special person and only you can fulfill the purpose to which you were born to accomplish.

Never allow yourself to get discouraged and think that your life is insignificant and cannot make a change.

Konflik Perasaan Kakak Humaira



Mendapat anugerah anak kedua adalah suatu keseronokan yang tiada taranya, syukur kepada Allah yang telah mengurniakan keselamatan kepada kedua-duanya. Moga hari-hari mendatang akan boleh kami hadapi dengan lebih ceria dan bermakna selepas ini.
Hampir seminggu, hidupku sedikit kusut masai, segala urusan bertaburan disana dan disini, harini baru hendak dikutip kembali serpihan-serpihan itu untuk disusun kembali.

Bagi Kakak Humaira, kedatangan adik baru yang ditunggu sekian lama, membuahkan perasaan yang bercampur baur pada dirinya. Tingkahlakunya sedikit berubah, pelbagai helah dibuatnya untuk mendapatkan perhatian kami.

Mulanya aku tidak berapa perasan perubahan dirinya, namun suatu malam tika mana sengaja dia menumpahkan air dari botol berkali-kali, aku menghampirinya dan bertanya.

“Humaira ni kenapa?” dengan nada sedikit tinggi...

Dia diam sahaja, sambil mata memandang ke bawah dan jemarinya mengenggam bajuku.
Aku bertanya lagi

“Humaira sengaja ke tak sengaja buat ni?” aku cuba merendahkan ton suara

Dia membatu lagi

“Humaira buat macam ni sebab apa, sebab takut ayah dengan ibu tak saying Humaira lagi ke?”

Dia mengangguk lantas tiba – tiba matanya berkaca, airmatanya jatuh berderai

“Humaira takut ayah, ibu dengan adik tak sayang Humaira dah” jawabnya kemudian diikuti dengan sedu sedan yang amat menyedihkan.

Aku lantas memeluknya, isteriku yang baru pulang petang itu dari wad juga terkesima, lantas aku membisikkan ke telinga anak kesayanganku

“Humaira, walau apa terjadi sekalipun, ayah tetap sayang Humaira sepenuh hati, ibu pun begitu juga”

Pelukannya makin erat, airmatanya makin lebat berguguran

Aku dan isteriku berpandangan sesama sendiri, selepas ini kami harus bijak bermain perasaan agar tidak mengguris hati kakak dan adik, kasih sayang harus diagihkan dengan seadil-adilnya.

Mempunyai anak yang ramai memang menyeronokkan, tetapi amanah yang dipikul juga makin berat, tanggungjawab ibu bapa bukan sekadar memberi makan minum dan belaian perasaan sahaja, tetapi perlu disertakan dengan hikmah dan kebijaksanaan sepertimana Luqman mendidik anaknya.

Moga Allah memberi kami kekuatan

Kelas Hari Ini Dibatalkan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Pengumuman ini adalah buat pelajar-pelajar kelas KAS 2043 kumpulan A dan KAS 3073 juga kumpulan A sesi A091.

Saya masih lagi dalam tempoh bercuti 7 hari isteri bersalin, oleh itu, kedua-dua kelas hari ini pada jam 10 - 12 dan 2 - 4 adalah dibatalkan

Harap dapat sebarkan maklumat ini kepada semua

Maaf atas segala kesulitan, dan jumpa semula pada hari Rabu ini. Kelas KAS 2043 Isnin (esok) akan berjalan seperti biasa

Harap Maklum