Cinta Luarbiasa

Semalam ketika berhenti berehat di R & R Sungai Perak ketika dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Jitra, aku terdengar satu perbualan menarik antara seorang pakcik tua dan isterinya di telefon, kebetulan aku duduk di sebelah mejanya dan suaranya juga agak kuat.

Pakcik tersebut berusia mungkin sekitar hujung 60 an, berpakaian ala kampung dan menggunakan telefon bimbit nokia jenis Nokia 3210 yang amat klasik.

“Hallo Sayang, ni abang ni”

“ni abang nak bagitau, abang kat sungai badak ni, lagi 40 ke 50 batu sampai le”

Aku terkesima, bila masa pulak jadi sungai badak ni?

Pakcik tersebut menyambung lagi perbualannya...

“Sayang doakan abang selamat sampai ye, abang pun doakan sayang selamat dalam perjalanan ke rumah aminah sat lagi”

“Ok sayang, abang nak bagitahu, perbualan kita setakat sini dulu, sebab garisan di telefon abang ni dah tinggal satu”

“Ok ye sayang, assalamualaikum”

Seketika itu juga, pakcik itu bangun dan menuju ke tandas meninggalkan aku tersengih sendirian di meja. Begitu sekali pakcik tersebut cinta kepada isterinya, walaupun telah sampai ke usia emas, namun perasaan kasih dan mengambil berat akan isteri begitu sekali kelihatan di raut wajah dan suaranya.

Islam sangat-sangat menganjurkan pihak lelaki berbuat baik dan lemah lembut terhadap isterinya, bahkan Rasulullah telah menunjukkan teladan terbaik kepada kita semua tentang bagaimana seharusnya seorang suami harus melayan isterinya.

Namun realiti hari ini berlaku sebaliknya, kes – kes perceraian yang semakin meningkat naik, keganasan rumahtangga yang menakutkan menunjukkan bahawa umat Islam hari ini semakin jauh dari petunjuk agama dalam berumahtangga.

Ramai pasangan yang walaupun bercinta berbelas-belas tahun sejak dari alam persekolahan atau di universiti, akhirnya kecundang setelah hanya seketika berumahtangga, akhirnya anak-anak kecil menjadi mangsa.

Dimana silapnya?, ketika bercinta, segala-galanya kelihatan indah, janji bercinta hingga sanggup hendak merentasi lautan api, tapi hakikatnya cinta sebelum berkahwin hanyalah cinta berasaskan nafsu dihiaskan pula oleh syaitan yang pandai menipu.

Setelah akad dilafazkan, apa yang dahulunya indah kelihatan biasa-biasa sahaja, tanggungjawab makin memberat, perkara kecil pun boleh menjadi kudis yang membarah dalam rumahtangga. Akhirnya tanpa iman dan rasional yang memandu, maka terlaksanalah perkara halal yang paling dibenci Allah itu.

Walaupun jodoh pertemuan semuanya ditangan Allah, tetapi ia tidak seharusnya menjadikan kita manusia dungu yang hanya menunggu takdir semata-mata. Islam mengajar manusia agar menjadikan rumahtangga sebagai syurga dunia, syurga yang hiasannya bukannya pada rumah yang tersergam indah, perabut yang hebat-hebat atau kereta yang besar, tetapi syurga itu ada pada ketenangan dan kepercayaan pada sebuah ikatan perkahwinan. Biar bercinta hingga ke syurga.

Pada suara pakcik tua itu ada kasih pada isterinya, aku menceritakan perbualan pakcik tadi kepada isteriku kemudiannya, dia hanya tersenyum lalu bertanya

“Abang, nanti kalau umur kita panjang, abang sayang kat syifa macam tu lagi tak”
Aku hanya mampu mengucapkan, “Insyaallah” mudah-mudahan dengan izin Allah, kita akan bercinta hingga ke syurga.

Indahnya Syawal

Antara salah satu keistimewaan sambutan Syawal di wilayah nusantara adalah sambutannya cukup meriah sepanjang bulan. Budaya kunjung mengunjung, rumah terbuka, bermaaf-maafan adalah satu budaya yang cukup indah dan harus diteruskan oleh setiap generasi.

Bulan Syawal adalah bulan dimana Birr Walidain menjadi keutamaan dan ukhuwwah yang kian lama renggang, dieratkan. Berada dalam negara Malaysia yang cukup makmur, kita seharusnya merasa bertuah kerana turut sama menjadi sebahagian dari sambutan ini. Inilah bulannya dimana kita dapat berlama-lama di rumah kedua orang tua dan mertua untuk membahagiakan mereka.

Mengunjungi sanak saudara, sepupu sepapat yang kian lama berjauhan bertanya khabar dan bersapa mesra. Inilah juga bulannya kita dapat berziarah ke rumah jiran-jiran yang saban masa tenggelam dalam kesibukan kerja yang tidak berkesudahan.

Sesungguhnya Syawal adalah anugerah dari Allah buat hamba-hambanya yang beriman, dengan kasih sayangnya dibukakan pintu hati kita untuk bermaaf-maafan, mengeratkan kembali ukhuwwah dan menyambung kembali ikatan silaturrahim. Keindahan anugerah Syawal wajar kita syukuri dengan menyambung koleksi amal soleh yang kita lakukan ketika Ramadhan. Teruslah bertilawah, berpuasalah 6 hari, hidupkan malam dengan solat-solat sunat, teruslah bersedekah walau hanya dengan sekuntum senyum.

Setiap amal walau sebesar atom akan ada nilaiannya oleh Allah, moga amalan kita sepanjang bulan Syawal ini akan termasuk dalam buku catatan amal di sebelah kanan buat memberat timbangan amal di hari tidak berguna harta dunia.

Pemergianmu Ditangisi

Berlalulah sudah pesta ibadah buat umat Islam sedunia, Ramadhan pergi meninggalkan setiap insan, ada yang tertawa, ada pula yang berduka, namun jiwa mu’min yang sebenar seharusnya merasakan pemergian Ramadhan ibarat pemergian seorang kekasih yang amat dicintainya. Jiwa mu’min akan sentiasa merindukan kedatangan Ramadhan, mereka sentiasa berdoa agar dipertemukan lagi dengan Ramadhan akan datang.

Selepas Ramadhan, Syawal menjelma, 1 Syawal menjanjikan kegembiraan buat umat Islam seluruhnya, baik yang berpuasa dengan tingkatan yang tertinggi atau yang berpuasa hanya sekadar lapar dan dahaga, setiap jiwa pasti merasa gembira dengan kehadirannya. Syawal menjadi saksi kembalinya jiwa-jiwa yang pasrah kepada fitrah asal kejadiannya, bebas dari dosa dan kesalahan terhadap penciptanya, namun Syawal juga menjadi saksi akan jiwa-jiwa yang tersiksa, terperangkap dalam kelam hitam dosa sepanjang kehidupan tanpa ada usaha untuk mendapat keampunan.

Moga Allah akan menerima segala amal soleh kita di sepanjang bulan Ramadhan kali ini dan moga-moga dipanjangkan usia kita untuk dipertemukan lagi dengan bulan penuh kebaikan ini pada hayat kita yang akan datang.

Janganlah kita menjadi hamba Ramadhan tetapi sembahlah Allah dan jadilah hambanya pada setiap masa dan ketika

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin dari kami sekeluarga.

Mohd Hisham Mohd Sharif
Hasifah Zainuddin
Humaira Mohd Hisham
Khadijah Hanan Mohd Hisham

Selamat Mencari Malam Al Qadr



Sedar tak sedar, Ramadhan masuk ke fasa ke 3 bermula malam ini, fasa yang paling penting untuk kita bersungguh-sungguh memperbanyakkan amalan. Jika awal dan pertengahan Ramadhan tidak dapat kita manfaatkan dengan baik, marilah kita sama-sama berazam untuk menggandakan lagi amalan kita pada 10 akhir Ramadhan ini.

Usahlah kesebokan kita dengan persiapan Aidilfitri menghalang kita dari mengimarahkan 10 malam terakhir dengan bersungguh-sungguh.

Banyakkan membaca dan tadabbur al quran, beriktikaflah pada malam-malam yang ganjil (tiap2 malam lagi bagus), banyakkan lagi bersedekah, terus istiqamah dengan terawih dan witir, banyakkanlah berdoa dan memohon ampun.

Selamat mencari Al Qadr buat semua, ia lebih berharga dari segala-galanya, moga kita semua diberi kekuatan dan istiqamah untuk mendapat rahmat, keampunan dan pembebasan dari api neraka.

Keseimbangan



Antara tempat yang paling aku tidak suka untuk mengunjunginya adalah klinik gigi. Sejak dari kecil entah mengapa aku phobia dengan klinik yang satu ini. Namun semalam aku terpaksa, kerana sakit yang telah tidak tertanggung sejak sekian lama, aku gagahkan diri juga untuk ke klinik tersebut.

Hasil pemeriksaan menunjukkan gigi geraham ku telah reput dan perlu dicabut segera, jika tidak ia mungkin akan menyebarkan kuman ke gigi yang lain. Aku akur, gigi itu terpaksa dicabut juga akhirnya.

Proses mencabut gigi geraham dilakukan oleh Dr. Salmee, prosesnya begitu menyakitkan walaupun bius telah diberi, kesakitan itu masih terasa hingga saat ini.

Kehilangan gigi geraham yang satu itu, aku terasa begitu janggal, nikmat makan berkurangan kerana tiada lagi geraham untuk mengunyah disebelah kiri. Sedih juga rasanya.

Setiap apa yang diciptakan Allah, pasti ada fungsinya yang tersendiri, hatta sebatang jari atau sebatang gigi, atau seekor nyamuk atau lumut di tepi longkang, pasti ada peranannya yang tersendiri dalam ekosistem masing-masing, keseimbangan dan keharmonian akan lenyap apabila fungsi-fungsi ini gagal dilaksanakan atas apa jua sebab sekalipun.

Manusia diciptakan untuk menjadi khalifah diatas muka bumi, apabila manusia gagal melaksanakan fungsi kejadiannya, maka akan hilanglah nikmat keseimbangan dan keharmonian diatas muka bumi, apatah lagi jika manusia melanggar fitrah kejadiannya dengan melakukan kerosakan diatas muka bumi.

Islam adalah ibarat matahari yang menjadi pelengkap kepada ekosistem kehidupan manusia. Kegagalan melaksanakan Islam dalam setiap aspek kehidupan ibarat suasana alam apabila matahari gagal terbit dipagi hari. Kehidupan akan menjadi gelap, tidak terpandu dan kehilangan cahaya petunjuk, manusia akan menjadi seperti kawanan burung yang kehilangan arah dalam kegelapan tanpa arah tujuan.

Hari ini seluruh tubuhku sakit kerana gigi geraham yang dicabut, tetapi dunia lebih sakit apabila Islam dicabut dari sistem kehidupan manusia.

Hingga Lenguh Kaki...



Dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa pernah suatu ketika Saidatina Aisyah bertanya kepada Rasulullah

"Wahai Rasulullah, mengapa demikian sekali ibadah malam mu(solat sehingga bengkak kakinya)walhal Allah telah mengampunkan segala dosamu

Jawab Rasulullah "Tidakkah patut aku menjadi hambanya yang bersyukur"

Terawih malam semalam seperti biasa, cuma yang agak istimewa adalah solat diimamkan oleh Ustaz Fahruradzi juara akademi Quran, memang hebat bacaannya.

Malam semalam juga Humaira' ikut seperti biasa, namun semalam aku memberinya beberapa syarat

"Humaira kalau nak ikut ayah hari ni kena bawa telekung dan solat baik-baik ye"

Sebelumnya dia hanya berlari-lari dan bermain-main dengan kawan-kawannya sahaja dibelakang, kadang-kadang kerana terlalu seronok bermain, terkencinglah dia dalam seluar.

"Boleh ayah, nanti Humaira solat elok-elok" dengan yakin dia menjawab.

Ketika qamat dilaungkan, Humaira menyusup masuk ke tempat solat wanita sementara aku terus ke saf hadapan. Sangkaku pastilah dia hanya akan dapat bertahan sehingga selesai solat isya sahaja, kerana sebelum ini, setiap kali sebelum solat waktu pasti dia akan sebok bertanya berapa bilangan rakaatnya.

Terawih pun bermula, dengan bacaan yang merdu dari Ustaz Fakhrul, tidak terasa beratnya solat terawih malam itu, bacaan berjaya dihayati dengan khusyuk. Sesekali antara rakaat aku menoleh ke belakang untuk memastika Humaira tidak membuat bising, namun kelibatnya tidak kelihatan.

Sangkaanku samada dia berlari diluar atau dikawal ketat oleh Mamanya (Makcik Nor). Selesai sepuluh rakaat, kelibatnya masih belum kelihatan, lalu aku mengintai ke tempat solat perempuan, kelihatan kelibatnya dengan wajah yang agak kelat sedang mengangkat takbir. Terlihat aku, dia tidak jadi solat dan terus berlari ke arahku, Mamanya juga tidak kelihatan.

"Eh, Humaira solat dengan sapa tadi?" aku bertanya kepadanya.

"Humaira solat dengan Fatimah kawan Maira, banyaaak Humaira solat, sampai lenguh kaki Maira ni...Humaira solat betul-betul ayah...tak main-main"

Aku tergelak, langsung tidak aku sangka Humaira mampu menghabiskan sepuluh rakaat dengan sempurna malam itu. Melihat wajahnya yang keletihan, aku menghantarnya ke rumah.

Perasaanku bercampur baur malam itu,teringat setiap kali selepas solat aku sentiasa berdoa agar Allah sentiasa menjadikan aku termasuk dalam golongan orang yang menunaikan solat begitu juga dengan zuriat keturunanku.

Mungkin hikmah Ramadhan memberikan kekuatan kepada Humaira, moga dia akan termasuk dalam golongan orang yang mendirikan solat dengan sempurna.

Jika Humaira solat hingga lenguh kakinya, apapula alasan kita yang sihat untuk bermalas-malasan Ramadhan kali ini, ayuh kita gandakan amal...

Total Security Madness!



Bulan Ramadhan adalah bulan untuk mendidik kesabaran, namun minggu lepas aku hampir hilang sabar sebenarnya memang dah hilang sabar.

Dalam mengejar deadline untuk kertas soalan dan pelbagai tugasan, buat pertama kali dalam sejarah aku menggunakan komputer, aku diserang hingga hampir lumpuh. Hanya seketika aku uninstall Avira Antivirus dari laptop, seketika itu juga yang digunakan oleh Total Security 2009 untuk hijack laptop ku.

TS 2009 ini adalah sejenis Trojan yang menyamar sebagai anti virus, mengambil alih keseluruhan operasi komputer dengan mematikan fungsi executable hingga semua aplikasi tidak boleh di buka. TS juga telah mengunci mati fungsi regedit, task manager, command prompt malah segalanya. Pelbagai cara aku cuba untuk membunuh TS 2009 ini namun tidak berhasil. Pencarian di Internet juga gagal membuahkan hasil, pelbagai langkah yang dicadangkan telah aku turuti satu persatu, namun masih gagal.

Dengan mesej-mesej yang makin memualkan, aku semakin sakit hati dengan TS ini, akhirnya langkah terakhir yang aku pilih adalah dengan Format sahaja laptop. Mujurlah sebelumnya ada backup yang berjaya aku buat, tidaklah begitu teruk aku melakukan proses recovery. Namun habis juga saat-saat berharga yang sepatutnya aku boleh gunakan untuk tilawah Quran.

Pencipta virus ini bagiku adalah seorang yang gila, entah kepuasan apa yang didapatinya dengan menyusahkan hidup orang lain. Jika dia ada di depan mata, mahu sahaja aku baling kepalanya dengan kasut bola diadora dirumahku itu, biar lebih ketat skru di kepalanya.

Manusia yang cerdik, jika tidak dipandu oleh jiwa yang bersih akan merosakkan dunia ini, kecerdikan tanpa iman akan hanya melahirkan manusia-manusia ganas yang nyata ditangan-tangan mereka kerosakan yang dilakukan.

Class Materials

KAS2043
KAS3073
UBS