Cinta Luarbiasa

Semalam ketika berhenti berehat di R & R Sungai Perak ketika dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Jitra, aku terdengar satu perbualan menarik antara seorang pakcik tua dan isterinya di telefon, kebetulan aku duduk di sebelah mejanya dan suaranya juga agak kuat.

Pakcik tersebut berusia mungkin sekitar hujung 60 an, berpakaian ala kampung dan menggunakan telefon bimbit nokia jenis Nokia 3210 yang amat klasik.

“Hallo Sayang, ni abang ni”

“ni abang nak bagitau, abang kat sungai badak ni, lagi 40 ke 50 batu sampai le”

Aku terkesima, bila masa pulak jadi sungai badak ni?

Pakcik tersebut menyambung lagi perbualannya...

“Sayang doakan abang selamat sampai ye, abang pun doakan sayang selamat dalam perjalanan ke rumah aminah sat lagi”

“Ok sayang, abang nak bagitahu, perbualan kita setakat sini dulu, sebab garisan di telefon abang ni dah tinggal satu”

“Ok ye sayang, assalamualaikum”

Seketika itu juga, pakcik itu bangun dan menuju ke tandas meninggalkan aku tersengih sendirian di meja. Begitu sekali pakcik tersebut cinta kepada isterinya, walaupun telah sampai ke usia emas, namun perasaan kasih dan mengambil berat akan isteri begitu sekali kelihatan di raut wajah dan suaranya.

Islam sangat-sangat menganjurkan pihak lelaki berbuat baik dan lemah lembut terhadap isterinya, bahkan Rasulullah telah menunjukkan teladan terbaik kepada kita semua tentang bagaimana seharusnya seorang suami harus melayan isterinya.

Namun realiti hari ini berlaku sebaliknya, kes – kes perceraian yang semakin meningkat naik, keganasan rumahtangga yang menakutkan menunjukkan bahawa umat Islam hari ini semakin jauh dari petunjuk agama dalam berumahtangga.

Ramai pasangan yang walaupun bercinta berbelas-belas tahun sejak dari alam persekolahan atau di universiti, akhirnya kecundang setelah hanya seketika berumahtangga, akhirnya anak-anak kecil menjadi mangsa.

Dimana silapnya?, ketika bercinta, segala-galanya kelihatan indah, janji bercinta hingga sanggup hendak merentasi lautan api, tapi hakikatnya cinta sebelum berkahwin hanyalah cinta berasaskan nafsu dihiaskan pula oleh syaitan yang pandai menipu.

Setelah akad dilafazkan, apa yang dahulunya indah kelihatan biasa-biasa sahaja, tanggungjawab makin memberat, perkara kecil pun boleh menjadi kudis yang membarah dalam rumahtangga. Akhirnya tanpa iman dan rasional yang memandu, maka terlaksanalah perkara halal yang paling dibenci Allah itu.

Walaupun jodoh pertemuan semuanya ditangan Allah, tetapi ia tidak seharusnya menjadikan kita manusia dungu yang hanya menunggu takdir semata-mata. Islam mengajar manusia agar menjadikan rumahtangga sebagai syurga dunia, syurga yang hiasannya bukannya pada rumah yang tersergam indah, perabut yang hebat-hebat atau kereta yang besar, tetapi syurga itu ada pada ketenangan dan kepercayaan pada sebuah ikatan perkahwinan. Biar bercinta hingga ke syurga.

Pada suara pakcik tua itu ada kasih pada isterinya, aku menceritakan perbualan pakcik tadi kepada isteriku kemudiannya, dia hanya tersenyum lalu bertanya

“Abang, nanti kalau umur kita panjang, abang sayang kat syifa macam tu lagi tak”
Aku hanya mampu mengucapkan, “Insyaallah” mudah-mudahan dengan izin Allah, kita akan bercinta hingga ke syurga.

No comments:

Post a Comment