Keseimbangan



Antara tempat yang paling aku tidak suka untuk mengunjunginya adalah klinik gigi. Sejak dari kecil entah mengapa aku phobia dengan klinik yang satu ini. Namun semalam aku terpaksa, kerana sakit yang telah tidak tertanggung sejak sekian lama, aku gagahkan diri juga untuk ke klinik tersebut.

Hasil pemeriksaan menunjukkan gigi geraham ku telah reput dan perlu dicabut segera, jika tidak ia mungkin akan menyebarkan kuman ke gigi yang lain. Aku akur, gigi itu terpaksa dicabut juga akhirnya.

Proses mencabut gigi geraham dilakukan oleh Dr. Salmee, prosesnya begitu menyakitkan walaupun bius telah diberi, kesakitan itu masih terasa hingga saat ini.

Kehilangan gigi geraham yang satu itu, aku terasa begitu janggal, nikmat makan berkurangan kerana tiada lagi geraham untuk mengunyah disebelah kiri. Sedih juga rasanya.

Setiap apa yang diciptakan Allah, pasti ada fungsinya yang tersendiri, hatta sebatang jari atau sebatang gigi, atau seekor nyamuk atau lumut di tepi longkang, pasti ada peranannya yang tersendiri dalam ekosistem masing-masing, keseimbangan dan keharmonian akan lenyap apabila fungsi-fungsi ini gagal dilaksanakan atas apa jua sebab sekalipun.

Manusia diciptakan untuk menjadi khalifah diatas muka bumi, apabila manusia gagal melaksanakan fungsi kejadiannya, maka akan hilanglah nikmat keseimbangan dan keharmonian diatas muka bumi, apatah lagi jika manusia melanggar fitrah kejadiannya dengan melakukan kerosakan diatas muka bumi.

Islam adalah ibarat matahari yang menjadi pelengkap kepada ekosistem kehidupan manusia. Kegagalan melaksanakan Islam dalam setiap aspek kehidupan ibarat suasana alam apabila matahari gagal terbit dipagi hari. Kehidupan akan menjadi gelap, tidak terpandu dan kehilangan cahaya petunjuk, manusia akan menjadi seperti kawanan burung yang kehilangan arah dalam kegelapan tanpa arah tujuan.

Hari ini seluruh tubuhku sakit kerana gigi geraham yang dicabut, tetapi dunia lebih sakit apabila Islam dicabut dari sistem kehidupan manusia.

No comments:

Post a Comment