Bersama Angkasawan Negara



Kali terakhir aku menghadiri kursus BTN adalah pada usiaku 17 tahun, selepas peperiksaan SPM sementara menunggu panggilan ke matrikulasi, 13 tahun telah berlalu sejak itu, minggu lepas sekali lagi aku berkursus, kali ini di Balik Pulau, bersama calon-calon lain yang akan melanjutkan pelajaran ke luar Negara.

Berpeluang bersama dengan antara yang terbaik di Malaysia membuat aku merasa bertuah, bukan mudah untuk dikumpulkan bersama intelek-intelek terbaik di Malaysia antaranya adalah doctor-doktor pakar, jurutera, pensyarah, PTD dari pelbagai latarbelakang dan antara yang paling mengejutkan, Mejar Faez Khaled, calon angkasawan Negara juga bersama kami disini berkursus sebelum ke Moscow untuk melanjutkan pelajaran.

Mengenali Mejar Faez secara dekat, beraktiviti dan berbual dengannya adalah satu keistimewan dimana aku dapat memerhatikan dengan jelas kualiti diri yang ada padanya yang memungkinkan beliau menjadi angkasawan Negara.

Mejar Faez seorang yang mudah mesra, rendah diri dan tidak lokek untuk melayan sesiapa sahaja yang berinteraksi dengannya, dari penceramah, jurulatih hingga ke tukang masak di dewan makan semua disapa dengan mesra dan penuh senyuman yang tidak pernah lekang diwajah.

Semasa sesi ceramah,aku perhatikan beliau amat fokus, tidak pernah walau sekali aku memerhatikannya mengantuk dalam setiap sesi yang walaupun membosankan dan melenakan ramai peserta, beliau tetap dalam kedudukan fokus dan sentiasa bersedia.

Dalam aktiviti-aktiviti lain, beliau sentiasa memberikan yang terbaik walau dalam aktiviti yang remeh, kesungguhan sentiasa terpancar pada wajahnya yang sentiasa fokus dan dirinya sentiasa proaktif dalam apa jua aktiviti.

Tarbiyyah Islam seharusnya melahirkan ramai individu muslim seperti Mejar Faez, mempunyai kualiti diri yang tinggi dan bukan hanya menjadi pak turut yang akur pada setiap arahan tanpa berfikir, mampu untuk berfikiran positif dalam setiap keadaan, sentiasa berinisiatif, mesra dengan masyarakat, menepati masa dan pelbagai lagi.

Amat malang jika ada pendakwah yang telah bertahun-tahun berusrah tetapi kualiti dirinya langsung tidak menunjukkan peningkatan, bahkan lebih buruk. Pemimpin dakwah harus bersungguh-sungguh untuk mengkaji perkara ini, kerana dakwah tidak akan kemana dengan ahli yang jiwanya sentiasa terlena.

Jahiliah Apakah Ini?



Melihat gambar-gambar ini di muka depan harian metro, aku kehilangan kata-kata, hampir setiap hari ada sahaja kes anak luar nikah yang dibuang ibarat sampah, kita sudah sampai ke tahap yang mungkin lebih teruk dari Jahiliah zaman dahulu, ketika itu anak-anak perempuan sahaja yang ditanam hidup-hidup, tetapi jahiliah moden menyaksikan anak-anak dibuang tanpa mengira jantina, atas dosa apakah mereka dihukum sedemikian?

Perlakuan zina sudah sampai ke tahap yang membimbangkan, dalam laporan berita tersebut, ada yang mengandungkan anak luar nikah hingga 6 kali!, apakah kita menunggu bala yang tidak hanya khas untuk orang-orang yang zalim sahaja.

Apakah kita masih merasa selesa dengan kehidupan tanpa berbuat apa-apa terhadap tragedi yang sedang melanda umat ini, apakah jawapan kita dihadapan Allah Rabbul Jalil di hari mahsyar nanti?

Kebalkah kulit kita dari api neraka?
**********************************************************************************
KUALA LUMPUR: Amalan seks bebas di kalangan remaja pada masa ini boleh dianggap memasuki zon kritikal apabila data dikumpul daripada dua rumah perlindungan wanita di Lembah Klang mencatatkan 2,701 kes kehamilan luar nikah sejak 1996 sehingga September lalu.

Jika diambil kira statistik rumah perlindungan lain di seluruh negara, kes yang tidak dilaporkan dan kejadian buang bayi yang berlaku hampir setiap hari, angka sebenar remaja hamil luar nikah pasti meningkat berlipat kali ganda.

Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahya Mohamed Yusof, berkata sejak beliau membuka rumah perlindungan itu 21 tahun lalu yang secara khusus menguruskan kebajikan wanita hamil luar nikah, secara purata 191 bayi tak sah taraf dilahirkan di Kewaja setiap tahun atau 16 bayi sebulan.

“Lebih membimbangkan, ketika jumlah kes yang saya kendalikan meningkat, usia wanita hamil luar nikah itu makin menurun kerana ada yang baru berusia 15 tahun,” katanya.
Bagi Yang Dipertua Baitul Fiqh, Juhaidi Yean Abdullah, secara purata pihaknya menguruskan lapan hingga 10 wanita hamil luar nikah setiap bulan dan sepanjang lima tahun kewujudannya rumah perlindungan itu menguruskan 220 kes wanita hamil luar nikah.

“Yang dikesalkan, ketika kami beri bantuan kepada wanita hamil luar nikah dengan matlamat utama bagi mengelak mereka menggugurkan kandungan atau membuang bayi, ada yang cuba ambil kesempatan.

“Ini terbukti apabila seorang wanita berulang kali datang kepada kami apabila hamil luar nikah enam kali. Dia akhirnya kami serahkan kepada pusat pemulihan akhlak untuk tindakan lanjut. Ia kes kronik, tetapi kami tidak boleh berbuat apa-apa jika empunya diri tidak mahu mengubah sikap,” katanya.

Juhaidi berkata, bukan mudah menjaga sekumpulan hamil luar nikah dalam satu masa tetapi pihaknya sanggup memikul tanggungjawab itu demi kepentingan anak yang bakal lahir.

Menurutnya, antara bantuan Baitul Fiqh kepada wanita hamil luar nikah ialah mengurus proses kelahiran di hospital dan pendaftaran kelahiran bayi.

“Kami turut membantu mencari ibu bapa angkat untuk bayi itu dengan prosedur ketat. Setiap permohonan disaring dengan mengambil kira latar belakang, pendapatan dan pengetahuan agama,” katanya.

Sementara itu, Yahya menekankan kerjasama seluruh anggota masyarakat bermula daripada pemimpin, guru, agensi penguat kuasa dan ibu bapa untuk menghentikan percambahan anak luar nikah di kalangan masyarakat negara ini.

“Trend wanita lahir anak luar nikah kini sangat membimbangkan kerana ia dianggap perkara biasa dan bukan lagi hal besar. Bayangkan, hampir setiap hari secara purata saya terima dua panggilan telefon berkaitan masalah hamil luar nikah.

“Sampai satu tahap Kewaja terpaksa tolak permintaan mereka untuk mendapatkan bantuan dan perlindungan kerana kami tidak lagi mampu. Namun mereka tetap mendesak dan ada yang merayu,” katanya.

Ditanya punca meningkatnya kes kehamilan luar nikah, Yahya, 45, merumuskan masalah keluarga menjadi penyebab utama.

“Ibu, ayah, adik beradik dan keluarga hidup dalam penuh kejahilan. Penghayatan agama entah ke mana dan ada ibu bapa menyalahkan anak kerana ‘tidak pandai jaga’ yang bermaksud boleh melakukan hubungan terlarang tetapi jangan sampai mengandung.

“Kesudahannya, walaupun bertaubat dan menyesal, suasana kehidupan seperti itu menyebabkan mereka kembali terjebak. Apa pun, kes berulang seperti ini tidak banyak, ” katanya.

Beliau mencadangkan satu peraturan yang membuatkan sesiapa saja takut untuk terbabit dengan seks bebas sehingga mengandung anak luar nikah diwujudkan.

“Sebagai contoh, mana-mana pasangan yang dikesan melakukan hubungan seks selain suami isteri, tidak kira sama ada yang beragama Islam atau dengan pasangan berbeza agama, mereka perlu dihukum.

“Operasi seperti mencegah lumba haram atau dadah juga perlu diselitkan dengan siasatan sama ada yang terbabit dengan gejala negatif itu melakukan seks bebas. Tangkap dan hukum mereka, baru timbul perasaan takut,” katanya yang kini menguruskan 61 wanita hamil luar nikah di pusat perlindungan kelolaannya.

Dakwah Untuk Semua


“Serulah ke jalan tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang baik; Sesungguhnya tuhanmu dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang sesat dari jalannya dan dialah jua yang mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk” (An Nahl : 125-126)

Memilih untuk berada bersama-sama dengan ketumbukan orang-orang yang berdakwah adalah perkara paling indah yang berlaku dalam kehidupanku. Aku berpeluang untuk memahami Islam dengan maknanya yang luas dan sempurna, mempraktikannya bersama dengan orang-orang yang beriltizam dan menjadikan tujuan hidup untuk mencapai kebahagiaan yang sebenar di akhirat, bagiku itulah sebaik-baik kehidupan.

Dakwah adalah tujuan hidup terbesar bagi seorang mu’min. Dakwah bukan hanya menyeru manusia solat 5 waktu, berpuasa, berzakat dan menunaikan haji sahaja. Dakwah juga tidak hanya terhad dalam menyeru manusia kepada aktiviti-aktiviti kebaikan dan mencegah manusia dari melakukan kemunkaran sahaja, tetapi makna dakwah adalah dalam mengajak manusia seluruhnya untuk bebas dari perhambaan sesama manusia dan menjadikan sistem Allah yang sempurna sebagai satu-satunya cara hidup bagi manusia seluruhnya.

Dakwah bukanlah milik ustaz-ustaz lulusan azhar, imam-imam dan AJK masjid, aktivis NGO islam, dan badan-badan agama sahaja, tetapi ia adalah tanggungjawab bagi setiap muslim. Setiap muslim yang faham akan agamanya tidak perlu merasa malu untuk menerangkan tentang kebaikan Islam dengan apa jua cara sekalipun. Dakwah tidak hanya terhad setakat berceramah, berusrah, berqiamullail dan aktiviti-aktiviti masjid sahaja, dakwah adalah mengajar manusia tentang kesempurnaan Islam dalam segenap aspek kehidupan manusia.

Setiap muslim boleh melakukan dakwah dengan cara masing-masing dan kemahiran masing-masing yang tersendiri. Ada yang mahir berkata-kata, berdakwahlah dengan lisan, ada yang mahir menulis, berdakwahlah dengan penulisan cerpen, syair, novel atau apa sahaja, ada yang mahir melukis, hasilkanlah karya-karya komik islam yang membimbing manusia kearah kebenaran, ada yang mahir dalam adobe photoshop, flash atau 3D Max, berdakwahlah dengan kemahiran seni animasi yang dikurniakan, ada yang mahir bersosial melalui facebook, friendster, twitter, blogspot dan sebagainya, gunakanlah wasilah itu sebaiknya untuk dakwah, ada yang mahir bersukan, gunakanlah kemahiran sukan untuk dakwah.

Dakwah tidak semestinya dengan kata-kata atau penulisan sahaja, dakwah juga boleh hadir dalam akhlak yang baik dipadang bola, teladan yang baik di laman facebook, pakaian yang menutup aurat ketika bersosial, memelihara waktu solat ketika mesyuarat, lagu-lagu yang mengajak manusia kepada tuhan dan seribu macam lagi kepelbagaian dakwah dalam segenap aspek kehidupan manusia.

Dakwah adalah milik semua dan untuk semua, tunggu apa lagi, jom berdakwah!

Belajar Dari Rocky Balboa



Pernah dengar tentang kisah Rocky Balboa? Generasi sekarang mungkin lebih mengenali hero-hero baru dalam filem Transformers, Terminator, Spiderman, Batman dan entah apa-apa lagi hero yang tidak logik yang dihidangkan kepada audiens. Bagi aku yang melalui zaman remaja pada zaman 90 an, aku lebih mengenali Mcgyver dan yang paling hebat tentulah Sylvester Stallone. Lakonannya dalam mana-mana filem, aku pasti akan teruja untuk menontonnya, kerana dia adalah dirinya sendiri dalam setiap filem yang dilakonkan.

Namun antara sekian banyak filem yang dilakonkan oleh Sly, yang paling memberi kesan tentulah lakonannya dalam sequel Rocky. Kisah peninju jalanan yang menggapai kegemilangan melalui kerja keras dan susah payah, kesungguhan dan hatinya yang sasa telah memberi inspirasi kepada jutaan penonton filem ini.

Semalam aku berkesempatan menonton sequel terakhir filem Rocky iaitu Rocky Balboa dalam slot Mega Movie TV3. Bagiku ini adalah antara filem motivasi terbaik yang perlu ditonton oleh sesiapa sahaja yang ingin mendapatkan inspirasi dalam kehidupannya. Dialog yang berkesan, jalan cerita yang baik, kisah pencarian yang penuh dengan kegigihan dan semangat waja menjadi tunjang filem ini. Antara dialog menarik penuh inspirasi yang masih melekat dikepalaku adalah antara Rocky dan anaknya :

I'd hold you up to say to your mother, "this kid's gonna be the best kid in the world. This kid's gonna be somebody better than anybody I ever knew." And you grew up good and wonderful. It was great just watching you, every day was like a privilige. Then the time come for you to be your own man and take on the world, and you did. But somewhere along the line, you changed. You stopped being you. You let people stick a finger in your face and tell you you're no good. And when things got hard, you started looking for something to blame, like a big shadow. Let me tell you something you already know. The world ain't all sunshine and rainbows. It's a very mean and nasty place and I don't care how tough you are it will beat you to your knees and keep you there permanently if you let it. You, me, or nobody is gonna hit as hard as life. But it ain't about how hard ya hit. It's about how hard you can get it and keep moving forward. How much you can take and keep moving forward. That's how winning is done! Now if you know what you're worth then go out and get what you're worth. But ya gotta be willing to take the hits, and not pointing fingers saying you ain't where you wanna be because of him, or her, or anybody! Cowards do that and that ain't you! You're better than that! I'm always gonna love you no matter what. No matter what happens. You're my son and you're my blood. You're the best thing in my life. But until you start believing in yourself, ya ain't gonna have a life.

Begitu juga saat lawan Rocky dalam filem ini (Mason ‘The Lion’ Dixon) ketika berbicara dengan bekas jurulatih lamanya :

You got everything money can buy, except what it can't. Its Pride. Pride is what got your ass out here, and losing is what brought ya back. But people like you, they need to be tested. They need a challenge.

But you know that ain't never gunna happen, there ain't anybody out there Martin.

Theres always somebody out there. Always. And when that time comes and you find something standing if front of you, something that ain't running and ain't backin up and is hittin on you and your too damn tired to breathe. You find that situation on you, that good, Cuz thats the situation when you’re under fire! Once you get thru that and you’ll find the only kind of respect that matters in this world, Self respect.


Susah untuk mencari filem tempatan yang memaparkan kisah-kisah begini, aku harap suatu hari nanti Malaysia juga akan melahirkan filem atau pelakon hebat seperti Sylvester Stallone, tapi lebih gagah, lebih beriman dan lebih bersemangat waja dari Rocky Balboa dalam filem ini.

Penantian Di Mahsyar

Semalam, entah buat kali yang ke berapa, aku memasuki dewan konvokesyen UUM kali ke 22. Kali pertama aku memasuki dewan ini adalah pada tahun 2001 sebagai pelajar. Kemudian bermula tahun 2003, saban tahun aku memasuki dewan ini sebagai pensyarah. Terasa bangga juga apabila melihat pelajar-pelajar didikanku bergraduat, melihat perkembangan mereka dari awal semester hingga tamat pengajian, terasa begitu pantas masa berlalu dan sedar tak sedar semalam adalah batch ke 6 pelajar perakaunan sistem maklumat yang telah tamat pangajian sejak aku menjadi salah seorang tenaga pengajar penting dalam program tersebut. Tahniah untuk bekas-bekas pelajarku yang telah bergraduat, kepada Sue Chern, Fui Shi, Jenni, Nawal, Hafiz, Irshahidin, Irzahidin, Hadi, Zahid, Faizah, Bahiah, Haiza, Farizan, Su, Arasy, Adilah, Cahaya, Ruqaiyah, Hazwani, Hasyida dan semua bekas-bekas pelajarku yang berkonvokesyen semalam, tahniah saya ucapkan dan selamat melangkah ke alam baru yang lebih mencabar.

Seperti biasa, penantian di dalam dewan konvokesyen adalah satu penantian yang cukup panjang, mana tidaknya seramai hampir enam ke tujuh ratus orang pelajar dipanggil satu demi satu untuk mendapatkan sampul kosong buat mengisi sekeping sijil yang dipanggil ijazah.

Dalam pada penantian itu, aku percaya setiap pensyarah pasti mempunyai agenda tersendiri bagi menghabiskan masa lapang, ada yang leka dengan telefon bimbit, bermain game agaknya, ada yang membaca artikel, ada yang berbual-bual dan tidak kurang juga yang mengambil peluang untuk melelapkan mata.

Melihat seorang demi seorang pelajar dipanggil, aku terbayang bagaimanakah nanti suasana penantian di Mahsyar. Tatkala lautan manusia sejak zaman Nabi Adam hingga hari Kiamat akan berkumpul untuk dihisab segala amal perbuatan. Jika baik amalannya maka kitab akan diberi dari arah kanan dan selamat sejahteralah dia, jika kitab amalan diberi dari sebelah kiri maka celakalah dia. Di waktu itu, manusia akan berbaris-baris mengikut amalan masing-masing, ada yang bersinar-sinar wajahnya dan tidak ada kebimbangan dalam penantian untuk hisab, tetapi malang bagi yang hitam legam wajahnya, penantian untuk hisab di hadapan Allah tatkala semua aibnya terbuka, tatkala dosanya dihitung satu persatu, diwaktu itu penantian adalah suatu penyeksaan.
jika di dalam dewan konvokesyen, setiap pelajar yang dipanggil akan diserahkan ijazahnya dengan penuh kegembiraan, tiada yang berduka apabila menerima ijazah itu, tetapi bagaimanakah agaknya nasib kita disana ketika kita tidak mengetahui buku amalan kita akan diserahkan dari sebelah mana.

Hisablah dirimu sebelum dirimu dihisab...

Apabila Gambaran Kiamat Dipertontonkan

“Apabila langit terbelah,
Dan apabila bintang-bintang jatuh berserakan
Dan apabila lautan dijadikan meluap
Dan apabila kuburan-kuburan dibongkar
Maka setiap jiwa akan mengetahui apa yang telah dikerjakan dan yang dilalaikannya”
(Al Infitar 1-5)

Apabila gambaran kiamat telah dipertontonkan sebahagiannya kepada kita, apakah kita masih lagi belum sedar dan insaf, apakah kita merasakan bahawa ia masih jauh dan tidak ada kena mengena dengan kita.

Melihat bencana yang berlaku hari ini sungguh menakutkan, gempa bumi yang bersahut-sahutan, ribut taufan dan banjir disana dan disini, ribuan manusia kehilangan jiwa, apakah masih ada waktu untuk kita?

Bala ini adalah peringatan yang pedih buat umat manusia, betapa perintah tuhan telah dilalaikan,bahawa manusia telah jauh dari jalan yang lurus.

Apabila kesatuan orang-orang yang amanah telah lalai dan mengabaikan tanggungjawab maka natijahnya adalah bala yang tidak hanya khas menimpa orang-orang yang zalim sahaja.

Wahai tuhan, selamatkanlah kami dari musibah dan bala bencana yang menimpa, ampunkanlah dosa kami dan masukkanlah kami ke dalam syurgamu yang abadi

Kasih Ayah & Kasih Anak : Dua Dunia Berbeza

“Tak kira nak jugak basikal tu, ma dengan dedi memang dah tak sayang dah”

Masih segar diingatanku tangisan hiba disuatu petang apabila ayahku menolak permintaanku untuk menggantikan basikal lama yang dengan basikal lumba baru. Tanpa memikirkan tentang keadaan ekonomi keluarga yang cukup getir ketika itu, aku hanya mementingkan keinginan ku semata-mata.

Puas ayah dan ibuku memujuk, namun waktu itu, aku merajuk panjang dan menangis semahu-mahunya dek kerana basikal lumba berwarna merah yang satu itu.

Akhirnya ayahku mengalah, aku tidak tahu apa yang mereka korbankan untuk mendapatkan sebuah basikal lumba jenis Marpex warna merah yang cukup gah ketika itu. Sungguh, tatkala terlintas peristiwa itu, aku merasa cukup malu dengan diriku sendiri.

Tahun ini, aku telah berumur 30 tahun, anak telah bertambah menjadi 2 orang, kini aku memahami perbezaan kasih sayang antara seorang ayah dengan anaknya dan seorang anak dengan ayahnya.

Kasih ayah adalah kasih tanpa syarat, cinta tanpa dibuat-buat, sayang ayah kepada anaknya adalah kasih yang tidak bertepi, melebihi kasih suami kepada isterinya. Seorang ayah tetap akan menyayangi anak-anaknya walau apa jua yang terjadi, walau bagaimana derhaka anaknya itu, jauh di dalam, kasih ayah kepada anaknya tetap ada.

Berbeza dengan kasih anak kepada ayahnya, kasih anak adalah kasih yang bersyarat. Seorang anak menyayangi ayahnya kerana ada kepentingan-kepentingan tertentu. Duka seorang anak terhadap ayahnya adalah apabila kehendaknya tidak terpenuhi.

Mungkin ada anak yang mampu taat kepada ayahnya secara total seperti taatnya Nabi Ismail kepada ayahnya, mungkin ada anak yang menyayangi ayah dan ibunya sepenuh hati, tetapi tetap tidak akan sama dengan kasih ayah kepada anaknya. Apabila kita mempunyai anak, maka barulah kita akan mengerti perasaan itu.

Oleh kerana itulah, Islam mengajar penganutnya bahawa berbuat baik kepada kedua ibu bapa adalah antara amalan yang paling utama. Sepatah kata yang boleh mengguris luka dihati orang tua, besar jenayahnya disisi Allah.

Islam mengajar agar anak-anak sentiasa berbuat baik kepada kedua orang tuanya, terutama apabila mereka telah lanjut usia. Tidak kira jika orang tua itu berlainan agama atau apa saja kesalahannya, seorang anak tetap dituntut untuk berbuat baik kepada mereka.

Hubungilah, gembirakanlah, ziarahilah, mohonlah ampun dari mereka, kerana sampai satu masa ketika mereka telah tidak bersama kita lagi didunia ini, menangis air mata darah pun sesal tidak akan berguna lagi.