Siapa yang lebih dipercayainya?

“waaahhh, ada durian, bestnya!” Humaira melompat kegembiraan tatkala melihat aku keluar dari kereta sambil menjinjit plastik besar durian D99 yang dibeli di MARDI Bukit Tangga tengahari tadi.

Dia menurutku masuk ke rumah, namun setelah kawan-kawannya memanggil, dia keluar semula untuk bermain. Setelah durian dibelah, terlihatlah isinya yang kuning keemasan, lantas aku mengisi beberapa ulas ke dalam mangkuk untuk diberi kepada Humaira dan kawan-kawannya.

“Humairaaaaa, mai sini sat” aku memanggilnya untuk memberikan mangkuk durian tadi, dengan wajah yang ceria dia menyambut dan terus dia berlari keluar dengan mangkuk durian tadi. Memang sejak kecil kami sentiasa mengajar Humaira untuk berkongsi apa sahaja dengan kawan-kawannya, dari coklat, pisang, kueh dan macam-macam lagi, ternyata Humaira begitu gembira apabila berpeluang untuk memberi.

Sebentar kemudian, dia masuk semula dengan wajah yang agak kelat, durian di dalam mangkuk masih belum terusik. “Eh kenapa maira?” aku bertanya kepadanya.

“Humaira mana boleh makan durian, sebab tengah gatal-gatal kulit” dia meluahkan perasaannya sambil menghulurkan mangkuk durian itu kepadaku kembali. Kebetulan, Humaira sedang dijangkiti oleh penyakit kulit yang kelihatan seperti demam campak, namun bukan demam campak, penyakit jangkitan kulit yang biasa menjangkiti kanak-kanak seusianya.

“Laa, durian boleh la, kalau udang ke sotong ke ayam ke memangla tak boleh sebab gatal” aku menerangkan kepadanya.

“Tak boleh, Ome cakap tak boleh” Ome adalah rakan sekelasnya di tadika yang tinggal dihadapan rumah kami, dia yang “menasihati” Humaira agar tidak makan durian rupanya.

“Boleh la maira, ayah kata boleh” aku menerangkan kembali kepadanya, sambil menahan ketawa.

“Tak boleh, ome kata tak boleeeeeeeeh...” dia masih tegar dengan “nasihat” dari rakannya, ternyata kata rakannya yang berusia 5 tahun lebih dipercayainya dari kata-kata ayahnya yang dah banyak makan garam.

Lalu terus dia berlari keluar dengan meninggalkan durian di dalam mangkuk yang tidak terusik meninggalkan kami dalam keadaan gelihati.

Namun, di dalam hati aku berfikir sendiri, jika pada usia 5 tahun dia lebih “tsiqah(percaya)” kepada orang lain selain dari ayah dan ibunya sendiri, bagaimanakah cabaran yang aku akan hadapi 10 atau 15 tahun lagi.

Ya Allah, lindungilah kami dari menjadi bahan bakar api nerakamu....

No comments:

Post a Comment