Inilah Zionis, Tapi Dimana Al Mu’tasim?


Tindakan Zionis terhadap kapal Mavi Marmara sebenarnya bukanlah satu tindakan yang mengejutkan, kerana mereka memang telah sinonim dengan tindakan-tindakan kejam dan pengecut seperti di Sabra Shatilla, Deir Yassin, Jenin dan Gaza. Inilah wajah Zionis yang sebenar buat mereka yang belum tahu. Wajah yang telah mereka tonjolkan selama 62 tahun yang menampilkan kebusukan hati perut dan ketidakpedulian mereka akan pandangan dan kecaman dunia terhadapnya. Mereka tidak peduli, kerana mereka tahu kecaman akan hanya tinggal kecaman tanpa tindakan konkrit yang boleh menjejaskan mereka.

Melihat kebiadapan dan kekejaman pihak Zionis yang kini semakin menjadi-jadi, hingga rakyat Malaysia pun menjadi tawanannya, hati pasti akan merasa pedih dan hiba, kerana kita tidak mampu untuk berbuat apa-apa selain berdoa dan berharap agar Allah melindungi para pahlawan yang gagah berani itu.

Dalam keadaan genting seperti ini, dimanakah pembela bagi umat Islam? Dimanakah Al Mu’tasim zaman ini dan tentera-tenteranya yang gagah berani berjuang hanya untuk membela maruah seorang wanita muslimah yang dicalari oleh tangan-tangan Yahudi.

Perjalanan ini masih panjang dan jauh, selepas tragedi ini, akan muncul lagi tragedi demi tragedi yang pasti akan meruntun air mata dan membakar semangat para pemuda. Namun apakah kita telah menelusuri jalan yang tepat untuk membina kembali peribadi-peribadi hebat seperti Khalifah Al Mu’tasim dan tentera-tenteranya.

Buat mereka yang sedang diuji dan dianugerahkan kesempatan untuk berdepan dengan musuh-musuh Allah yang bernama Zionis, semoga mereka dianugerahkan kesabaran dan ditetapkan hati-hati mereka untuk terus tabah dan tsabat diatas jalan perjuangan, semoga mereka beroleh ganjaran untuk menjadi syuhada.

Buat yang telah gugur syahid, tahniah diucapkan dan semoga mendapat rezqi yang berterusan di alam baqa’ dari pencipta syurga dan neraka. Kematian sebagai syuhada adalah sebaik-baik kematian bagi seorang mu’min.

No comments:

Post a Comment