Untung Besar!

Diriwayatkan bahawa Saidina Ali telah berkata bahawasanya ganjaran buat mereka yang membaca al quran dalam keadaan solat adalah sebanyak 100 hasanah bagi setiap huruf yang dibaca, manakala bagi mereka yang solat dalam keadaan duduk pahalanya adalah 50 hasanah. Bagi mereka yang membaca al quran dalam keadaan berwudhu’ pula pahalanya adalah 25 hasanah dan bagi yang tidak berwudhu pahalanya adalah sebanyak 10 hasanah.

Masyaallah! Betapa hebatnya ganjaran yang Allah kurniakan buat mereka yang membaca Al Quran. Apatah lagi dalam bulan Ramadhan ini dimana Allah telah menjanjikan gandaan pahala yang tiada taranya. Jika kita umpamakan 1 hasanah itu adalah seperti RM 1 di dunia dan sebenarnya tiada bandingannya kerana 1 hasanah pasti lebih baik dari dunia dan seisinya maka berapa agaknya ganjaran yang akan kita terima jika kita istiqamah solat terawih + witir 11 rakaat dibulan Ramadhan ini dengan andaian bahawa setiap rakaat kita hanya membaca fatihah sahaja. Mari kita sama-sama kira.

Dalam al fatihah terkandung lebih kurang 115-118 huruf, katalah kita ambil 115, maka 115 x 11 rakaat x 100 hasanah x 29 hari = 3,668,500. Subhanallah, dengan fatihah sahaja kita telah menjadi jutawan, apatah lagi jika kita solat 23 rakaat. Itu belum dikira solat fardhu yang wajib dan solat-solat sunat lain seumpama solat dhuha, tahajud, taubat dan hajat. Dan jangan lupa bahawa Allah telah menjanjikan dalam bulan Ramadhan gandaan pahala yang cukup hebat.

Jika dinilai dari sudut matabenda dunia, maka angka 3 juta lebih tersebut amatlah besar nilaiannya, tetapi ingat, 1 hasanah nilaiannya lebih baik dan lebih utama dari apa sahaja harta dunia yang tidak kekal. Segala modal keuntungan perniagaan ibadah kita di dunia ini akan kita gunakan untuk membeli aset-aset abadi buat kita hidup bahagia di akhirat sana.

Hiduplah untuk kehidupan akhirat yang lebih panjang dan abadi, ibarat kata seorang teman selepas solat asar tadi.

“Para sahabat dan salafussoleh yang celik mata akhiratnya sanggup bermati-matian dan bergolok gadai segalanya untuk menebus dunia bagi mendapatkan akhirat yang lebih utama, kerana mereka lebih sedar dan yakin bahawa dunia ini hanya perjalanan singkat yang akan tamat bila-bila masa.”

No comments:

Post a Comment