Cerpen : Mendakap Cahaya (Bahagian Akhir)

Oleh : Mohd Hisham Mohd Sharif

Kim Swee bersila dengan tenang di atas dek kapal George Galloway, nama simbolik yang diambil sempena seorang warga Britain yang cukup cekal membantu Palestin sepanjang hayat kehidupannya.

Kim Swee membiarkan sahaja wajahnya ditampar oleh angin kencang yang bertiup. Rambutnya yang kemas, kelihatan sedikit tergugat oleh tamparan angin lautan Meditteranean yang agak kencang. Sesekali kelihatan ikan lumba-lumba berenang-renang di sisi kapal dalam ritma yang cukup harmoni. Memang cukup indah jika dipandang dengan mata hati. Laut yang tenang dan bulan yang terang ditambah dengan bintang-bintang yang bersinar cemerlang menambahkan lagi keindahan dan kedamaian luarbiasa malam itu. Tidak akan ada pelukis yang mampu melukis detik-detik penuh keajaiban ini.


ku melabuhkan punggung disebelahnya, ku lihat dia masih larut dengan lamunannya yang telah mengembara entah kemana. Malam ini malam kedua kami berada di lautan setelah mengharungi pelbagai dugaan dan ujian di sepanjang perjalanan sebelum akhirnya kami berjaya belayar menuju ke perairan Gaza bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan.

“Apa yang difikirkan tu Kim Swee? teringat pada keluarga barangkali”

Aku memecahkan kesunyian bicara antara kami berdua tatkala kebanyakan dari penghuni kapal telah hanyut dalam lena. Kelihatan beberapa pemuda Turki sedang khusyuk menunaikan solat malam di atas dek kapal.

Aku dan beberapa rakan dari Aman Palestin ditugaskan untuk berkawal malam itu, dan aku mengajak Kim Swee untuk keluar bersama menemaniku.

Juga kelihatan beberapa pemuda Arab bertubuh sasa yang memegang lampu suluh kecil dan kelihatan juga sekumpulan pemuda melayu dari Indonesia dan Malaysia sedang meronda-ronda sekeliling kapal bagi memastikan keselamatan barang-barang bantuan yang akan dihantar ke Gaza melalui jalan lautan. Kapal yang dibeli dengan harga 10000 pound ini memuatkan barangan bantuan bernilai jutaan ringgit hasil sumbangan masyarakat dari seluruh dunia.

Terkandung di dalamnya barang-barang keperluan asas, buku-buku, permainan kanak-kanak, baju dan kain, peralatan pembinaan dan kelengkapan perubatan.

Misi bahaya yang disertai oleh puluhan NGO dari seluruh dunia dan salah satu darinya adalah NGO Aman Palestin dari Malaysia. Telah beberapa kali Israel dengan angkuh memberi amaran agar misi tidak diteruskan, namun kami bertekad untuk meneruskan juga misi bagi memecahkan kepungan Gaza yang telah berlangsung sejak tahun 2006 apabila parti Hamas yang bertanding secara sah melalui saluran demokratik dan pilihanraya yang diiktiraf bersih oleh bekas presiden Amerika Syarikat sendiri iaitu Jimmy Carter memenangi kerusi terbanyak dan membentuk kerajaan di Palestin.

Sejak itu, Gaza seolah terperangkap dalam penjara terbesar di dunia, mereka dijajah dan diserang setiap hari tanpa ada peluang untuk mempertahankan diri dengan sama rata.

Kepungan melalui darat dan lautan itu walaupun mendapat bantahan dari masyarakat dunia seluruhnya, namun kerajaan-kerajaan besar dunia seperti Russia, China, Perancis, U.K dan Pertubuhan Bangsa Bangsa bersatu tetap tidak berani membela. Kerana setiap kali resolusi diluluskan untuk membebaskan kepungan, pasti Amerika akan menggunakan kuasa vetonya untuk menghalang.

OIC dan negara-negara Arab juga lesu dan bisu, hanya mampu mengutuk dan mengecam di meja-meja kayu yang cantik beralaskan permaidani mahal dan ketika mereka duduk di kerusi kulit yang tinggi harganya. Langsung tidak boleh diharapkan, kebanyakan dari pemimpin mereka hanya sayangkan jawatan, pangkat dan harta yang dijamin oleh Amerika dan kuasa-kuasa besar dunia kepada mereka.

Melihat kepada lesunya badan-badan dunia dalam mengambil keputusan dan tindakan, banyak NGO-NGO mula ditubuhkan atas semangat kemanusiaan dan pembelaan mangsa-mangsa penjajahan yang tertindas.

Kini dunia akan menyaksikan himpunan NGO-NGO yang sama-sama cintakan kedamaian dan kebebasan ini akan cuba untuk merempuh sekatan walau mereka tahu, Israel akan menghalang dengan segenap kekuatan.

Sejak perbualan penuh bersejarah di kafe hijau kuning pada petang yang aku akan ingati hingga bila-bila itu, kami mula mengorak langkah bagi menyertai misi keamanan anjuran Aman Palestin yang akan berlepas ke Gaza.

Aku sendiri telah mengambil cuti tanpa gaji selama sebulan untuk menguruskan keberadaan kami dalam misi ini manakala Kim Swee sendiri menangguhkan pengajian semester akhirnya. Walaupun mendapat tentangan hebat dari seluruh ahli keluarganya, dia tetap berkeras untuk bersama.

Hingga saat ini, aku harus bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada pengerusi Aman Palestin sendiri iaitu Ustaz Abdullah kerana banyak membantu kami dalam menguruskan kehadiran kami pada misi yang penting ini.

“Ah, En. Hisham, maaf tak perasan pula tadi, En. Hisham tanya apa tadi?”

Dia membalas sapaanku dengan tepukan mesra pada bahu. Wajahnya dipalingkan dan dalam samar-samar malam yang disinari cahaya bulan yang terang kelihatan matanya sedikit basah.

“Menangis? Teringat keluarga ke?”

Pendek sahaja aku bertanya untuk menduga perasaannya, terasa kesal juga kerana menganggu lamunannya.

“Takdelah En. Hisham, saya sedang melayan rasa masih tak percaya yang saya berada di sini sekarang ini.”

“En. Hisham, harap-harapnya semuanya baik-baik belaka ye dan moga tuhan memelihara perjalanan kita, sebab saya berharap sangat nak sampai ke sana dan membantu orang-orang yang susah di Gaza.”

Kim Swee meluahkan apa yang sedang difikirkan sehingga basah airmatanya. Ternyata pemuda ini begitu lembut jiwanya, dan kegundahannya bukanlah pada urusan dunia, sedang aku hampir tidak keruan mengingatkan dua anak kecilku Humaira dan Khadijah yang telah ku tinggalkan hampir tiga minggu.

Jenuh juga aku memujuk mereka dan ibunya walaupun pada asalnya aku sendiri agak keberatan untuk meninggalkan mereka selama sebulan. Apatah lagi mengingatkan risiko diserang atau ditahan di penjara Israel yang mungkin jika tertangkap dan dipenjara tidak akan dibebaskan hingga bila-bila.

Aku membatukan diri, membiarkan sahaja dia meluahkan perasaannya.

“En. Hisham, saya rasa sekarang hati saya cukup tenang dan bahagia, tidak pernah saya rasakan begini sebelum ini”

“Sebelum ini hidup saya hanyalah untuk mengejar kecemerlangan dan wang yang banyak, itu sahaja impian saya dalam kehidupan ini. Saya tidak pernah memikirkan tentang kehidupan dan perasaan orang lain, apa yang penting hanyalah untuk menkayakan diri dan keluarga saya sahaja.”

“Saya lihat ayah saya walaupun kaya raya, tetapi jiwanya tetap tidak bahagia. Kehidupannya saya lihat sentiasa penuh dengan penipuan demi penipuan. Bukan penipuan dalam perniagaan yang diusahakannya, tapi dia menipu dirinya sendiri dengan mengejar sesuatu yang tidak pasti.”

“Ayah saya amat suka berjudi dan menghabiskan wang untuk minum arak yang berjenama mahal harganya. Walaupun dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab pada keluarga, menyediakan wang dan segalanya untuk kami sekeluarga, tapi kehidupannya penuh kecelaruan dan keserabutan yang tidak mampu saya ungkapkan dengan kata-kata.”

“Orang luar mungkin melihat kami bahagia dengan kereta besar, rumah besar dan harta yang melimpah ruah, tapi hakikatnya hanya kami sahaja yang tahu. Rumah kami ibarat sangkar emas yang menyesakkan jiwa setiap penghuninya.”

“Kami bebas melancong ke serata dunia, tapi jiwa kami tetap terpenjara, terperangkap dalam dunia material yang tidak pernah ada kesudahannya”

Aku mendengar dengan penuh perhatian kisah kehidupannnya. Inilah kali pertama dia menceritakan segalanya dengan begitu telus. Seolah-olah dia ingin melepaskan bebanan berat yang telah dipikulnya selama ini.

“Walaupun kami beragama Budhha, tapi saya langsung tidak pernah mengetahui tentang ajaran-ajarannya apatah lagi untuk menjejakkan kaki ke rumah ibadat dan melakukan sebarang upacara penyembahan”

“Hidup kami bebas, bagi kami tuhan itu tiada dan tidak relevan, apa yang penting adalah duit, duit dan duit semata-mata.”

“Setelah saya masuk ke Universiti, dan masuk ke kelas En. Hisham, pada mulanya saya tidak merasakan apa-apa, tapi selepas pesanan dan nasihat demi nasihat berkaitan dengan agama yang En. Hisham berikan di dalam kelas, saya mula tertarik dan ingin mengkaji dengan lebih lanjut berkaitan dengan Islam.”

Kembang seketika hatiku mendengar pujian darinya, namun cepat-cepat aku beristighfar agar amal dakwahku tidak luruh semuanya akibat riak dan ujub yang melanda jiwa.

“Kemudian saya terjumpa pautan Aman Palestin dalam blog En. Hisham, dari situlah saya mula mengkaji tentang Palestin. Banyak buku yang telah saya baca berkenaan isu Palestin ini, terutamanya karangan Dr. Mohsein Salleh dan Ustaz Yusuf Qardhawi. Kini hati saya cukup rindu untuk mencium tanah di bumi yang bersejarah itu.”

“Saya nekad petang itu untuk mengajak En. Hisham bersama saya untuk ke Palestin, dan saya cukup yakin En. Hisham tidak akan mengecewakan saya, dan sememangnya saya harus berterima kasih pada En. Kerana dengan jasa En. Saya akhirnya berjaya menyertai misi ini.”

Aku terdiam dalam kekaguman, kemudian aku teringat akan satu janji yang pernah diungkapkannya dahulu.

“Kim Swee, kamu ingat tak satu janji yang pernah kamu lafazkan dahulu?”

“Saya ingat En. Hisham, dan saya rasa kini saya sudah bersedia untuk mendakap cahaya kebenaran itu.”

Aku hampir menangis mendengar jawapannya, namun aku mengawal emosiku agar dia terus setia dan tidak berubah hati.

“Baiklah, Kim Swee, sekarang genggam tangan saya, dan lafazkanlah mengikut apa yang saya sebutkan”

“Baik En. Hisham” matanya kelihatan berkaca-kaca.

“Aku naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah” aku memulakan ucapan lafaz keramat itu.

“Aku naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah” Kim Swee tanpa sebarang keraguan mengikut dengan tepat bacaanku.

“dan aku naik saksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah” dan aku melafazkan kalimah keramat bahagian kedua yang cukup mulia.

“Aku naik saksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah” dia mengulangi kalimah itu dan sejenak itu juga aku memeluk tubuhnya erat.

Airmatanya jatuh berguguran dan airmataku juga tidak tertahan lagi.

“Selamat kembali Kim Swee kepada fitrah kehidupanmu yang cukup indah dan bersih” perlahan-lahan aku berbisik ditelinganya.

Airmatanya gugur semakin lebat, kedengaran esak tangis yang ditahan-tahan. Kemudian dia mengangkat wajahnya dan kelihatan cahaya yang terang menyinari wajahnya.

Aku kehairanan, cahaya apakah ini?

Seketika itu juga suasana di atas dek kapal mula menjadi kelam kabut. Pemuda-pemuda yang berkawal tadi berkumpul di suatu tempat sambil melambai-lambaikan tangan tanda mereka datang dengan aman. Dari jauh kelihatan cahaya terang dari kapal yang tidak dikenali, menyuluh dek kapal dengan begitu biadap.

Aku dan Kim Swee kaget seketika, kemudian kami bangun dan berlari menuju ke tempat pemuda-pemuda tadi berkumpul. Ketua rondaan malam itu Abang Azman dari NGO HALUAN Palestin kelihatan agak cemas, dia kesana dan kesini mengatur posisi untuk mempertahankan kapal dari dicerobohi.

Tiba-tiba kedengaran bunyi seperti bertih jagung yang sedang meletus, cuma bunyinya lebih kuat dan menggerunkan.

“Israel!”

“Tunduk”

“Allahuakbar!”

“Allahuakbar!”

“Allahuakbar!”

Jeritan demi jeritan dan laungan takbir saling bersahut-sahutan. Perasaanku bercampur baur, keliru, takut, marah dan sesak semuanya saling berhimpun hingga menyebabkan kepalaku terasa berat.

Aku berlari ke satu sudut kapal sambil menarik tangan Kim Swee. Kemudian di satu penjuru aku membatukan diri dan memeluk Kim Swee yang baru melafazkan syahadah dengan erat, sesungguhnya tidak pernah tergambar dalam imaginasiku yang paling liar bahawa aku akan berhadapan dengan suasana begini.

Seingat aku suasana genting paling hebat yang pernah aku rasai adalah ketika hampir bertumbuk dengan Rasfan, pelajar tingkatan lima di sekolahku tika aku menegurnya kerana berdua-duaan dalam kelas semasa aku menjadi ketua kelas 4 Aset. Itupun mujur tidak ada tumbukan yang sempat mengena kerana aku mengaplikasikan kemahiran langkah seribu menuju ke bilik guru mencari Cikgu Ariffin, guru displin yang dihormati semua. Mujur Rasfan ketika itu badannya seperti Big Show dalam rancangan gusti WWE. Sementara aku yang kurus kering tika itu ala-ala Rey Mysterio, sememangnya handal dalam acara larian jarak jauh.

Selepas bermaafan dengannya ketika “re-union” sekolah lapan tahun lepas, aku tidak lagi berjumpa dengannya. Kali terakhir aku dengar tentang Rasfan adalah dari sahabatku Shah Nizam yang menyatakan dia ke Pakistan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang hadis.

Dalam suasana begini, aku mengingatkan ayat-ayat tentang jihad yang sering dibaca oleh naqib usrahku, Dr. Kamarun. Mengingat ayat dari surah Ali Imran ayat 142 dan 143 aku jadi lebih tenang.

Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk surga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antaramu, dan belum nyata orang-orang yang sabar.



Sesungguhnya kamu mengharapkan mati (syahid) sebelum kamu menghadapinya; (sekarang) sungguh kamu telah melihatnya dan kamu menyaksikannya.



Jika sebelum ini aku sentiasa mengimpikan mati syahid untuk mengelakkan dari dihisab dengan teliti pada hari kiamat, namun kini tatkala berhadapan sendiri dengan situasi mencemaskan dan mengerikan seperti ini, barulah aku mengerti mengapa hadiah kepada para syuhada itu amat tinggi nilaiannya.

Bunyi tembakan dari mesingan Israel cukup menggerunkan, aku masih duduk di suatu sudut bersama Kim Swee dalam ketakutan, tidak pernah kami diberi latihan untuk menghadapi suasana begini kerana tujuan asal misi adalah untuk menyampaikan bantuan dan memecahkan kepungan dengan jalan yang aman.

Bunyi kipas helikopter yang semakin mendekat menambahkan lagi suasana cemas, kelihatan tentera-tentera berbaju hitam sedang turun dari tali yang dicampakkan dari helikopter ke atas dek kapal.

Melihat kebiadapan mereka, perasaan takutku perlahan-lahan hilang, rasa marah kian bangkit di dalam jiwa. Kali ini aku tidak peduli lagi, rasa marah yang meluap-luap mengatasi perasaan takut kepada kematian. Persetankan ketakutan, kerana kematian boleh berlaku di mana-mana, jika tidak di sini mungkin di atas jalan raya di Malaysia atau kerana tercekik sup tulang di kedai makan.

“Kim Swee bangun! Kita lawan” aku berdiri, memperoleh semangat baru.

Dengan pantas aku dan beberapa pemuda Arab menuju ke arah tentera berbaju hitam yang baru turun. Seorang pemuda Arab menendang tentera itu dengan tendangan layang yang cukup kuat hingga menyebabkan tentera itu tersungkur jatuh.

Aku, Kim Swee dan seorang pemuda Turki lantas mencapai batang besi paip dan memukul tentera yang tidak berdaya itu dengan perasaan marah yang bersangatan. Puas memukulnya, kami lantas mengangkat dan mencampakkannya ke lautan.

Helikopter semakin banyak dan tentera yang turun juga semakin ramai, perlawanan semakin sengit, pemuda-pemuda Arab yang sememangnya telah lama menantikan saat-saat begini, melakukan penentangan dengan bersungguh-sungguh. Aku melihat Sheikh Solah yang berusia 60 tahun juga turut serta dengan begitu cekal dalam pertarungan itu.

Dalam satu situasi, aku menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara tentera yang aku rasakan statusnya adalah komando dengan Sheikh Solah, entah kekuatan apa yang merasuk tubuhnya, dengan mudah Sheikh Solah mengalahkan komando laut Israel dan mengunci pergerakannya ibarat seorang pesilat gayung handalan yang telah menguasai bengkung merah.

Bom asap yang dilemparkan juga seakan tidak memberi kesan, angin yang bertiup seolah-olah menyebelahi kami. Setiap kali bom asap dilemparkan, angin akan meniupnya keluar sehingga kami langsung tidak merasai kesan dari gas pemedih mata yang dilemparkan kecuali hanya sedikit gatal-gatal pada abdomen.

Kami diserang dari atas dan bawah, dari bahagian bawah kapal, kelihatan komando-komandi Israel yang menaiki bot-bot laju kecil cuba memanjat kapal. Beberapa pemuda kelihatan menyembur dengan pancutan air deras untuk menghalang, terdapat beberapa bot kecil yang lari ketakutan, entah bagaimana mereka layak digelar komando jika hanya dengan pancutan air sahaja membuatkan mereka lari mencicit-cicit.

Suasana diatas kapal kian genting, semakin ramai komando dengan seragam hitam dan bertutup muka seperti perompak dan lanun yang ganas menyerbu. Pertarungan masih berlangsung hingga tiba-tiba aku melihat, seorang demi seorang dari ahli misi gugur secara tiba-tiba.

Aku mendongak ke atas, rupanya ada penembak curi yang menembak ahli misi yang sedang mempertahankan diri dan kapal dari diceroboh. Dasar pengecut! Aku pasti mereka menggunakan peluru hidup kerana bau hamis darah mula terasa menusuk di hidung.

Tiba-tiba aku teringatkan Kim Swee, Ah! Dimana pula dia dalam keadaan yang genting sebegini, selepas kami mencampakkan seorang tentera komando ke lautan, kelibatnya tidak lagi kelihatan.

Aku mencari-cari Kim Swee dengan merujuk kepada vest Aman Palestin yang dipakainya sejak pagi, dan pandanganku terhenti tatkala melihat Kim Swee sedang sibuk menyembur air ke bahagian bawah kapal bagi menghalang tentera Israel dari mencerobohi kapal.

“Kim Sweeeeeeee!” aku menjerit memanggil namanya.

Serentak itu juga aku mendengar suara Abang Azman menjerit.

“Semua tunduk dan berhenti melawan, mereka guna peluru hidup!”

Aku tidak peduli pada jeritan itu, yang ada pada pemikiranku ketika itu hanyalah Kim Swee, dia adalah dibawah tanggunganku, apa jua yang terjadi pada dirinya, akulah yang akan dipertanggungjawabkan kepada pihak Universiti dan lebih menggerunkan lagi tika memikirkan tentang keluarganya.

“Kim Swee, tunduk!” aku menjerit.

Sebelum sempat dia memalingkan kepalanya, kelihatan cahaya putih menyinari tubuhnya dan serentak itu juga dia rebah ke lantai kapal.

Aku panik, dalam kekalutan itu aku melihat abang Azman telah diikat, juga ramai yang telah gugur dan dipukul oleh tentera-tentera yang biadap dan tidak tahu malu itu. Sheikh Solah yang begitu berani, aku lihat juga rebah, terdapat kesan-kesan peluru tembakan yang banyak pada bahagian hadapan tubuhnya. Nyatalah bahawa dia telah syahid.

Aku terus berlari mendapatkan Kim Swee.

Jarak 50 meter terasa seakan begitu jauh, derap langkahku makin berat dan kepalaku juga semakin berpusing-pusing, namun aku gagahkan jua langkah walaupun aku terasa seperti ada kepanasan dan kesakitan luarbiasa pada bahagian kaki kanan ku.

Tiba padanya, bau hamis darah yang mencengkam tidak aku pedulikan lagi, aku merangkul tubuhnya yang panas, darah merah pekat mengalir laju dari ubun-ubun kepalanya. Kim Swee telah ditembak tepat pada dahi. Nadi dan nafasnya telah tiada lagi.

Aku meletakkan kepalanya diatas ribaanku, sambil menangis teresak-esak.

Kim Swee mati syahid walaupun belum sempat untuk menunaikan solat walau satu rakaat. Dia telah melafazkan syahadah dengan penuh keikhlasan dan berjuang bermati-matian untuk mempertahankan apa yang dipercayainya.

Bau hamis darah tiba-tiba diselubungi oleh harum kasturi yang entah dari mana hadirnya.

Aku menyeka wajahnya yang berlumuran darah merah pekat, kelihatan seakan-akan wajahnya tersenyum riang menikmati janji-janji tuhan kepada hambanya yang gigih berjuang.

Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak merubah (janjinya),



supaya Allah memberikan balasan kepada orang-orang yang benar itu karena kebenarannya, dan menyiksa orang munafik jika dikehendaki-Nya, atau menerima tobat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Kim Swee syahid sejurus selepas dia melafazkan syahadah dengan penuh kesedaran dan keikhlasan. Ayat-ayat dari surah Al Ahzab ayat 23 dan 24 menenangkan hatiku. Berbahagialah Kim Swee, kerana sesungguhnya para syuhada itu tidak mati, bahkan tetap hidup dan menikmati rezeki dari sisi Allah.

Janganlah kamu mengira bahwa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezki.

Cerpen : Mendakap Cahaya (Bahagian 1)

Oleh : Mohd Hisham Mohd Sharif

Hai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kamu, dan ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya dan sesungguhnya kepada-Nya lah kamu akan dikumpulkan.

Al Anfal: 24
Langit kelihatan cerah dan cantik, awan putih yang terbentuk menambahkan keindahan dan keagungan tanda-tanda kebesaran tuhan. Mentari yang terik adakalanya menyorok di sebalik awan putih yang bertompok-tompok menyajikan suasana cerah yang menceriakan suasana. Burung-burung kecil dan besar berterbangan bebas di udara mencari rezeki yang dijanjikan oleh tuhan.

Suasana indah petang itu aku nikmati di Kafe Hijau Kuning bersama seorang pelajar. Kafe terbuka yang dikelilingi oleh bangunan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan itu agak sepi di waktu petang begini.

Rata-rata pelajar telah tamat sesi kelas dan kini berbondong-bondong pulang ke dewan penginapan masing-masing untuk berehat dan berekreasi. Hanya kelihatan beberapa staf akademik dan pentadbiran sedang minum dan berbual-bual sesama sendiri. Kedai-kedai juga telah mula ditutup perlahan-lahan.

“En Hisham, boleh saya tanya satu soalan”

Kim Swee yang senyap dari tadi memulakan bicara. Air sirap bandung di mejanya masih belum terusik. Kerutan di dahinya sedikit sebanyak menunjukkan seperti dia sedang memikirkan sesuatu perkara yang berat.

Aku memandang wajahnya dan ku hadiahkan sebuah senyuman manis. Dalam diam aku harus mengakui bahawa pemuda yang bernama Tan Kim Swee ini cukup tampan seperti pelakon dari Negara Korea dalam drama Winter Sonata.

Matanya tidaklah begitu sepet, wajahnya kekuning-kuningan dan sangat bersih. Hidungnya sedikit mancung, agak lucu aku melihatnya. Aku sendiri tidak pasti dari mana dia mewarisi hidung mancung sedemikian, mungkin ada salasilah keturunannya yang berasal dari Eropah atau India agaknya.

Rambutnya yang lurus disisir rapi, tipikal seperti mana-mana pemuda sebangsa dengannya, jambulnya yang ala-ala Chow Yuen Fatt tetap tidak terjejas walau apa jua situasi, kesan gel rambut tebal jenama Brylcreem yang dipakai agaknya.

Bajunya yang sentiasa kemas dan berpadanan warna dengan seluar dan tali leher yang dipakainya menambahkan lagi kehebatan penampilan dirinya. Tidak mustahil jika ramai anak dara sebangsa denganku dan sebangsa dengannya yang mengimpikan untuk bertemu janji atau berkahwin dengannya.

“Apa dia Kim Swee?”

Aku menjawab pendek, sambil menghirup kopi Radix yang cukup enak dihirup panas-panas diwaktu petang selepas habis tugasan pengajaran. Kebetulan, ketika aku hendak pulang ke rumah tadi selepas selesai sesi tutorial kelas pengaturcaraan, Kim Swee, bekas pelajarku semester lepas dan kini semester akhir dalam jurusan Perakaunan Sistem Maklumat datang mengetuk pintu dan menyatakan hasratnya untuk bertanyakan sesuatu.

Jika pelajar lain yang datang, aku pasti menolak pelawaan kerana hambatan-hambatan tanggungjawab rumahtangga yang menanti, tetapi ketika melihat kesungguhan dan keseriusan Kim Swee aku merasakan ada sesuatu yang sangat penting dan melihat rayuan dari bahasa tubuhnya membuatkan aku tidak mampu menolak.

Kim Swee memang agak rapat denganku dari semester lepas, dia adalah seorang pelajar yang aktif, mudah mesra dan tidak pernah malu untuk bertanya jika terdapat persoalan-persoalan dan konsep berkenaan subjek pelajaran yang masih belum difahaminya. Dalam ramai-ramai pelajar, dia antara pelajar yang paling kerap berjumpa denganku.

Jika bukan berkenaan dengan pelajaran, pasti dia akan datang untuk bertanya berkenaan dengan Islam atau tentang motivasi kehidupan. Walaupun kadang kala sibuk, tetapi aku tetap berusaha meluangkan masa untuk melayani setiap pertanyaannya, kerana aku tahu pada setiap pertanyaannya ada persoalan yang besar yang sedang bermain di kepalanya.

***

“Allah itu tuhan orang Islam, tapi mengapa umat Islam di Palestin tidak dibantunya?”

Aku terkejut seketika mendengar soalan itu, tidak ku sangka bahawa soalan itu akan terbit dari bibirnya. Sebelum ini memang dia ada juga bertanya tentang asas-asas agama Islam kepadaku, antaranya soalan-soalan tentang Allah, solat, puasa, zakat, haji, Al Quran, peperangan dalam Islam dan sebagainya.

Tetapi tidak ku sangka bahawa isu Palestin juga menarik perhatiannya.

Dia melepaskan satu soalan yang agak mengejutkan tapi cukup menarik untuk dibincangkan, dan jawapannya bukan hanya berguna bagi mereka yang belum memeluk kebenaran, tetapi juga sangat baik untuk difahami oleh kebanyakan umat Islam yang lemah kefahamannya tentang bagaimana agama ini berfungsi.

“Begini Kim Swee, saya yakin kamu telah mengkaji tentang Islam, jika tidak kamu pasti tidak akan bertanyakan soalan ini dan soalan-soalan yang telah kamu tanya sebelumnya ketika sesi diskusi di bilik saya, dan pastinya kamu sentiasa mengambil berat tentang nasib umat Islam kerana jika kamu tidak peduli kamu tidak akan membangkitkan isu tentang Palestin”

Aku memulakan bicara.

Kim Swee mendengar dengan penuh minat, bicaraku yang berbentuk persoalan tidak dijawabnya, dia hanya mengangguk dan mendengar dengan wajah yang serius.

“Sebelum saya menjawab persoalan tadi, saya mahu meletakkan keyakinan bahawa Allah itu adalah tuhan yang maha berkuasa, menguruskan segala-galanya di alam ini.”

“Allah Menciptakan bumi, bulan, bintang dan seluruh alam cakerawala dari sistem suria yang terkandung di dalamnya bumi, matahari dan planet-planet lain hinggalah kepada galaksi-galaksi luas seperti Bima Sakti dan berjuta galaksi lain yang tidak akan terhitung jumlahnya oleh manusia yang cuba menghitung.”

“Segalanya cukup indah dan berseni, tersusun rapi hingga tidak ada satu planet pun yang pernah tersasar dari orbit laluannya. Begitu juga jarak bumi dengan matahari, jika berlaku kesilapan dalam jarak walaupun satu meter, iklim bumi akan menjadi panas atau sejuk hingga tidak akan ada lagi hidupan yang mampu hidup di dalamnya. Begitu juga dengan bulan, jika bulan itu mendekat walau pada jarak yang kecil, apa agaknya yang akan terjadi pada ombak dan pasang surut air di lautan?”

“Keluasan dan ketelitian dalam penciptaan alam ini adalah diluar jangkauan pemikiran manusia. Insan yang sebijak Stephen Hawking pun akhirnya menemui jalan buntu dalam mencari rahsia alam ciptaan tuhan yang maha luas ini.”

“Melihat fakta-fakta ini, adakah logik jika kita katakan bahawa alam itu terjadi dengan sendirinya. Logikkah jika kita masuk ke dalam sebuah rumah dan perabot dan susunannya tersusun elok kita katakan bahawa perabot itu menyusun dirinya sendiri?”

“Pasti ada tangan yang menyusunnya bukan?”

aku bertanya kepadanya.

Kim Swee hanya mengangguk-angguk, mungkin juga konsep itu telah difahaminya. Namun aku tidak mahu terburu-buru memberikan jawapan kepada persoalan yang dibicarakannya.

“Begitu juga jika kita lihat di dalam tubuh kita sendiri, jantung kita yang tidak berhenti berdegup walaupun ketika kita tidur, sistem pencernaan tubuh yang tidak mampu kita mengawalnya, perjalanan darah, sistem pertahanan badan yang mengawal dan mencegah tubuh kita dari pelbagai penyakit dengan caranya yang tersendiri dan segalanya dalam tubuh kita yang sebenarnya menggambarkan bahawa manusia ini adalah makhluk yang sangat lemah dan sentiasa berkehendak kepada tuhan yang mengawal segala-galanya. Hingga hari ini, masih ada lagi rahsia tubuh badan kita yang masih lagi misteri.”

“Cuba lihat pada ibu jari kita, walaupun lekukannya seakan-akan sama, namun tidak pernah ada dalam sejarah manusia, ada individu yang mempunyai cap jari yang sama. Begitu juga dengan wajah kita, setiap dari kita ada mata, hidung, mulut dan telinga, tapi mengapa wajah kita berbeza-beza? Sepanjang saya belajar dan mengajar di sini belum pernah saya jumpa seseorang yang iras wajahnya kecuali kembar.”

Mendengar pernyataanku ini, dia tersenyum menampakkan barisan giginya yang putih bersih.

Aku meneruskan bicara dengan membincangkan tentang konsep kekuasaan Allah pada alam dan manusia agar mantap hatinya dengan keyakinan terhadap kekuasaan Allah yang mutlak terhadap semua perkara.

Memahami tauhid rububiyah dan meyakini bahawa Allah adalah penguasa kepada seluruh makhluk dalam alam ini adalah satu konsep penting yang akan membuahkan keimanan yang lebih mantap dan tertancap pada hati.

Terdetik dalam hatiku bahawa hati pemuda ini telah mula disinari cahaya, dan aku ingin menjadi orang yang bertuah untuk menerima ikatan lafaz kalimah syahadah yang akan diungkapkannya nanti.

Ah! Terlalu jauh pula anganku pergi,

Astaghfirullah hal Azim.

Bukankah hidayah itu adalah hak mutlak dari Allah.

Aku kemudian menyambung bicara.

“Jadi maknanya, kalau Allah ingin membantu umat Islam di Palestin, sekelip mata sahaja boleh dibantunya, Negeri Israel itu boleh dimusnahkan dengan gempa bumi berukuran 9 skala richter yang akan menjungkir balikkan segala isi bumi dan akan menghancurkan segala kekuatan persenjataan dan teknologi nuklear mereka.”

Mungkin juga Allah bisa memusnahkan mereka dengan taufan ganas yang datang membadai dalam waktu yang singkat dan menghancurkan segala-segalanya.”

“Bahkan mungkin negeri Israel itu boleh dimusnahkan dengan satu hentaman meteor yang jatuh dari langit sahaja seperti mana Allah telah mempupuskan generasi dinasor satu ketika dahulu yang saya percaya kamu pernah saksikan dalam filem Armageddon atau dengan bencana besar yang datang berturutan seperti dalam filem 2012.”

“Mungkin juga Allah boleh memusnahkan mereka dengan meledakkan sebuah gunung berapi besar dari bawah tanah yang akan memuntahkan lahar di bumi itu dan memusnahkan mereka sehancur-hancurnya hingga tiada lagi generasi mereka yang tersisa.”

Kali ini dia menyampuk,

“Hmmm, mengapa tidak Allah bertindak begitu?, bukankah dalam Quran Allah menceritakan bahawa kaum-kaum yang dahulunya tidak beriman dimusnahkan dengan pelbagai keadaan, seingat saya kaum Nabi Nuh yang ingkar dilemaskan dengan banjir besar, manakala kaum Nabi Soleh dimusnahkan dengan satu suara yang keras”

Wah, mendalam juga pengetahuannya, dalam diam aku meluahkan rasa kagum dengan kajiannya yang agak dalam tentang Al Quran. Jauh lebih mendalam pengetahuannya tentang Quran dari kebanyakan pemuda melayu yang telah Islam lebih dahulu darinya.

Aku pasti dia telah membaca sebahagian dari surah Hud dan surah Anbiya yang banyak menceritakan tentang perjuangan nabi-nabi terdahulu.

Memang benar bahawa kebanyakan dari mereka yang baru memeluk Islam selalunya lebih menghargai hidayah yang diterima, kerana berdasarkan pencarian dan kajian mereka, mereka merasakan bahawa mereka telah mendapat sebutir mutiara berharga dari dasar lautan yang dalam. Insan-insan seperti Ustaz Farid Ravi, Nicholas Sylvester, Maher Zain dan banyak lagi adalah buktinya.

Kesungguhan mereka mencari cahaya terkadang membuatkan aku terasa malu atas kemalasan kelemahan kita dalam meningkatkan diri.

Berbanding dengan kebanyakan dari pemuda Islam yang mewarisi Islam dari ibu bapa mereka, nikmat beragama dan beriman selalunya tidak dihargai dalam seluruh aspek kehidupan dan Islam hanya dilaksanakan pada ritual-ritual tertentu sahaja.

Pada mereka Islam hanyalah pada solat, puasa, zakat, haji, perkahwinan dan kematian dan tidak ada kena mengena dengan kehidupan, apatah lagi jika ianya menjadi penghalang pada keinginan nafsu untuk berhibur dan bergembira.

“Ye memang benar Kim Swee, tidak ada salahnya apa yang diutarakan itu dan soalan itu adalah soalan yang amat bagus untuk ditanya.”

Aku kembali menyambung kata-kata dan memberikan kata pujian buat mendorong dirinya agar hatinya lebih bersedia dan terbuka.

“Namun, agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad ada caranya yang tersendiri untuk berfungsi walaupun banyak persamaannya dengan agama-agama umat yang terdahulu seperti Kaum Nabi Nuh, Lut, Saleh, Sulaiman, Daud, Musa dan Isa.”

Aku menyebut beberapa nama-nama nabi agar dia mengetahui bahawa agama ini adalah agama langit yang bersambungan sejak zaman berzaman.

“Allah tidak akan memberi hukumannya pada umat zaman ini seperti mana umat-umat terdahulu, itu yang kami Umat Islam fahami dan pelajarinya sejak zaman berzaman.”

“Agama Islam pada zaman ini tidak berfungsi dengan cara-cara yang ajaib...”

Aku terdiam seketika, memikir dan menyusun ayat yang sesuai dengan penuh hati-hati, kerana individu yang sedang didepani sekarang ini bukan sebarangan kajian tentang Islam yang telah dibuatnya.

Pada ketika ini aku cuba mengingat-ingat poin-poin penting dalam buku Inilah Islam yang dikarang oleh Sayyid Qutb. Kitab kecil yang dikarang oleh seorang lelaki berjiwa besar kelahiran Mesir yang menemui kematiannya ditali gantung kerana mempertahankan keimanannya.

Walaupun terpenjara, tetapi jiwanya tetap merdeka dan ini dibuktikan oleh As Syahid Sayyid Qutb apabila menghasilkan beberapa karya besar yang menjadi rujukan hingga hari ini ketika dipenjara. Bahasanya indah dan kupasannya segar, walaupun sedikit kontroversi kerana beberapa pendapatnya yang agak keras, namun itu tidak menjadi penghalang karya-karyanya dari terus tersebar dan memberi cahaya kepada umat yang berada dalam kegelapan.

Banyak karyanya yang hebat seperti Petunjuk Sepanjang Jalan dan Inilah Islam tetapi karyanya yang paling mashyur dan diingati tentunya adalah Tafsir Fi Zilal Quran (Di bawah Naungan Quran), satu kitab tafsir kontemporari yang banyak membicarakan tafsiran ayat-ayat dari sudut gerakan Islam dan dakwah.

Namun yang lebih menjadi perhatian adalah keindahan bahasanya yang cukup memikat, setiap bait-bait tafsirnya jika dibaca akan menyejukkan jiwa ibarat manikmati segelas jus tembikai susu yang dingin pada hari yang panas terik.

“Allah ingin agar agama ini ditegakkan dengan dengan usaha manusia, dengan mengikuti peraturan-peraturan yang sesuai dengan kehidupan manusia.”

Aku memilih ayat-ayat dalam topik pertama buku Inilah Islam untuk kuterangkan kepadanya hakikat agama ini yang bersifat manusiawi.

“Contohnya, jika dalam satu permainan bolasepak, pasukan yang lebih baik displinnya, tersusun setiap ahlinya dan mantap taktikalnya seperti pasukan Jerman dalam piala dunia tahun 2010 pasti akan menang tatkala menentang mana-mana pasukan yang tidak tersusun, tidak ada taktik yang baik dan hanya bergantung kepada populariti pemainnya seperti pasukan England dan Argentina yang hanya bergantung kepada Wayne Rooney, Stephen Gerrard dan Lionel Messi”

Kebetulan Piala Dunia baru berakhir dan aku tahu Kim Swee juga adalah peminat bolasepak tegar berdasarkan pada poster-poster yang ditampal pada kulit buku dan fail yang dibawanya.

Aku menggunakan contoh pasukan Jerman dibawah kendalian Joachim Loew yang cukup aku kagumi kemahiran teknikalnya. Pemain-pemain muda dalam pasukannya seperti Mesut Ozil dan Sami Khedira, menonjol bukan kerana kemahiran individu, tapi kerana mereka terdidik dengan displin permainan dan semangat berpasukan yang tinggi.

“Begitulah agama Islam, cuma ia bukanlah bergantung sepenuhnya kepada usaha manusia semata-mata, Allah menuntut manusia untuk berusaha sehingga ke tahap yang maksima, merancang strategi, tertib, cermat dan tersusun dengan segala ikhtiar dan upaya manusia hingga sampai ke satu peringkat dimana ikhtiar itu telah sampai ke titik yang maksima.”

“Konsep penting berkaitan dengan usaha ini telah diterangkan oleh Allah dalam surah Ar Ra’d ayat 11, aku membuka naskhah al quran terjemahan bersaiz kecil pada poket bajuku dan aku menunjukkan ayat itu kepadanya.

Kim Swee melihat dan membaca dengan penuh minat ayat itu. Melihat dan membaca tafsir Al Quran bukanlah satu perkara yang asing baginya.

“Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.”



Ketika matanya sedang asyik menatap ayat itu, aku menambah lagi.

“Allah menuntut agar manusia memohon pertolongan dan bergantung dengannya. Ketika ikhtiar telah habis dan manusia hanya bergantung dengan Allah, maka Allah akan memberi bantuannya.”

“Bantuan itu akan tiba tatkala kita berdoa dengan bersungguh-sungguh padanya, dan Allah pasti akan memberi bantuannya ketika hamba-hambanya berdoa dengan tulus ikhlas kerana Allah itu maha mendengar dan sentiasa dekat dengan hamba-hambanya.”

“Inilah yang telah terjadi dalam perang Badar dan perang Ahzab, kamu tau kan sejarah peperangan ini?”

Aku cuba menduga kefahamannya sedikit tentang sejarah penting umat Islam. Sekali lagi dia mengangguk. Lidahnya masih bungkam diam. Mungkin masih takjub dengan ayat-ayat kebesaran yang baru dilihatnya.

“Kisah tentang perang Badar dan Ahzab ini boleh kamu baca dengan teliti dalam surah Anfal iaitu surah ke lapan dalam Al Quran bagi perang Badar dan surah Ahzab iaitu surah ke tiga puluh tiga bagi kisah perang Ahzab”

Aku kemudian menyelak-nyelak Al Quran itu untuk menunjukkan kepadanya surah-surah itu. Ternyata pada wajahnya kelihatan binar-binar cahaya yang mula mendekati.

“Dalam bentuk bagaimana bantuan itu, itu adalah hak Allah untuk menentukannya. Jika dalam perang Badar Allah mengutuskan malaikat yang berkuda untuk mengalahkan kaum Musyrikin Mekkah. Para sahabat yang turut serta dalam peperangan ini menjadi saksi akan turunnya bantuan Allah pada tentera-tentera Badar.”

“Cuba Kim Swee lihat ayat 9 ini” aku menunjukkan padanya sebahagian dari ayat dalam surah Anfal.

(Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu: "Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut".



Dalam perang Ahzab pula, Allah mengutuskan angin kencang yang merobohkan segala persiapan tentera bersekutu yang berkampung untuk menyerang Madinah.

Begitu juga dalam perang – perang kontemporari, bantuan mungkin akan tiba dalam bentuk malaikat yang menjelma sebagai gergasi, mungkin juga dengan asap putih atau angin yang menerbangkan peralatan musuh, mungkin juga dengan kegagalan bom meletup atau peluru berpandu yang beralih arah.”

Aku menerangkan sedikit intisari dari surah-surah ini sambil mengingat ayat tujuh belas dari surah Anfal yang cukup menarik dan kisah-kisah menakjubkan yang pernah aku dengar dari peperangan Afghanistan menentang kuasa besar Soviet Union pada awal tahun 80 an dan terkini ketika kegagalan Israel dalam operasi besar-besaran untuk memusnahkan Hamas dan Gaza pada tahun 2008. Walaupun diserang dari langit, laut dan darat, Hamas dan Gaza tetap utuh dan akhirnya Israel mendapat malu besar dari kekalahan ini.

Maka (yang sebenarnya) bukan kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah-lah yang membunuh mereka, dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar, tetapi Allah-lah yang melempar. (Allah berbuat demikian untuk membinasakan mereka) dan untuk memberi kemenangan kepada orang-orang mukmin, dengan kemenangan yang baik. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.



“Namun sebelum bantuan dari Allah tiba, umat Islam harus memeriksa, apakah usahanya telah sampai ke tahap yang maksima dan apakah pergantungan mereka hanya bulat dengan Allah sahaja”

“Jadi umat di Palestin, masih begitu kerana sememangnya umat Islam pada zaman ini masih belum benar-benar hebat ikhtiarnya, begitu juga dengan pergantungan dengan Allah dalam segala doa dan usaha mereka”

Kim Swee mengangguk-ngangguk lagi, seolah-olah segalanya telah difahaminya dengan teliti.

“Satu lagi perkara lagi, bagi Allah dan bagi kami umat Islam, kemenangan yang sebenar bukanlah di dunia ini. Memang kemenangan itu menggembirakan, tapi kemenangan yang sebenar adalah pada kehidupan selepas kematian.”

Aku berhenti seketika menarik nafas, cuba mengingat firman Allah dalam surah Saff ayat 11-13. Lantas kemudian aku menyelak lembaran-lembaran terjemahan dan kutunjukkan ayat itu padanya.

(yaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya,



niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam surga Adn. Itulah keberuntungan yang besar.



Dan (ada lagi) karunia yang lain yang kamu sukai (yaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.



“Adakalanya umat Islam akan kalah walaupun telah berusaha bersungguh-sungguh, tapi kekalahan itu hanya kekalahan di dunia, kerana kemenangan yang sebenar adalah pada ganjaran syurga buat siapa yang berusaha.”

“Apalah ertinya kemenangan dalam kehidupan kita yang sangat singkat ini, bukan kemenangan itu tidak penting, tetapi yang lebih penting adalah usaha dan ikhtiar yang bersungguh-sungguh serta pergantungan dengan Allah secara total. Itu yang akan dinilai sebagai pahala yang kami harap akan memberatkan amalan kebaikan di sisi Allah.”

“Jika kemenangan itu adalah syarat hakiki kebenaran sesebuah agama, maka pastilah Allah tidak akan menceritakan kisah penduduk kampung yang dibakar kerana keimanan mereka dalam surah Buruj. Pada mereka ada kemenangan yang lebih hakiki iaitu kemenangan beroleh keredhaan dan beroleh syurga yang tertinggi.”

Aku memberhentikan bicara, wajah Kim Swee kelihatan berkerut sedikit, mungkin sedang memikirkan sesuatu.

Hingga akhirnya dia bersuara

“Ye, saya faham kini, sememangnya agama ini sebenarnya adalah agama yang cukup praktikal dan menepati realiti kehidupan manusia, dan saya telah menjumpainya melalui bacaan dan kajian saya tentang Islam. Apa yang En. Hisham ceritakan tadi telah menguatkan lagi keyakinan saya”

“Bagi saya inilah agama yang terbaik dari kalangan semua agama, dan saya sangat suka kepadanya.”

Matanya kelihatan bersinar-sinar cerah, ibarat gemerlapan bintang pada malam yang terang.

Hatiku juga berbunga-bunga mendengar dia melafazkan kata-kata tadi, cahaya hidayah semakin menghampiri dirinya. Tanpa sedar terlafaz dari bibirku ucapan pujian-pujian pada Allah yang maha agung.

“Alhamdulillah”

“Lalu apa yang ditunggu lagi Kim Swee? Peluklah kebenaran sebelum terlambat” aku terus sahaja mengajaknya untuk kembali kepada fitrah dirinya yang asal, kembali seperti kain putih yang belum dicorakkan.

“En. Hisham, ada satu lagi perkara yang saya ingin lakukan sebelum saya menjadikan Islam sebagai cara kehidupan saya yang baru.”

“Apakah perkaranya?” aku bertanya penuh sangsi.

“Saya ingin ke Gaza dan bolehkah En. Hisham bantu saya untuk sampai ke sana sebab saya tahu En. Hisham ada terlibat dengan Aman Palestin kan.”

“Haaah!” hampir-hampir kopi Radix panas yang sedang aku hirup tersembur keluar memercik ke wajahnya.

***

Memberi Tidak Mengurangi

Malam itu, kami sekeluarga berehat setelah kepenatan mengharungi perjalanan panjang dari Tanah Merah, Kelantan ke Tanah Merah Jitra. Perjalanan hampir 7 jam melalui banjaran Titiwangsa yang tinggi merentas tiga negeri bertemankan rimbun kehijauan disepanjang perjalanan dan lintuk liuk Khadijah Hanan yang tidak reti duduk diam, cukup memenatkan.

Kebetulan malam itu siri dokumentari Majalah Tiga memaparkan tentang penderitaan rakyat Pakistan yang dilanda banjir, sambil melunjurkan kaki diatas lantai yang sejuk selepas hujan, kami membatukan diri di hadapan kaca TV.

Kecuali Khadijah yang telah lama diulit lena yang entah apa mimpinya, kami bertiga terkesima menyaksikan betapa dasyatnya musibah yang melanda Pakistan, apatah lagi di daerah Peshawar yang kurang mendapat bantuan kerana disyaki mereka banyak melindungi puak Taliban.

Aku melihat Humaira yang sedang khusyu’ menyaksikan dokumentari, wajahnya tiada reaksi, entah dia faham atau sedang mengelamun teringatkan pantai di Marang.

“Maira, kesian kan kat orang Pakistan tu, depa takde makanan, cuba Maira tengok, bila orang bagi makanan, depa berebut-rebut” aku memulakan perbualan, cuba menduga perasaan dan lamunannya yang sepi sejak dari tadi. Dia memalingkan wajahnya kepada ku, masih tiada reaksi, mungkin kepenatan masih menghantui.

“Habis rumah-rumah rosak, depa takde mainan pun, tempat tidur yang elok pun takde, makanan pun sikit je, kasihan depa kelaparan” aku cuba memancing simpati untuk mengajarnya erti memberi. Belum sempat dia berkata-kata, aku menyambung lagi.

“Kita kena tolong depa kan, Maira nak tolong tak diaorang” aku mula masuk ke tajuk utama bahan tarbiah malam ini, sedang Abdullah Sidek Majin masih ke sana ke sini menunjukkan kesan banjir yang cukup meyayat hati.

“Tapi, macamana kita nak tolong? Kita kena ke sana ke ayah? Macamana?” Bait-bait kata yang keluar dari bibirnya sejak sekian lama tepat ke sasaran. Aha! Aku bersorak di dalam hati.

“Tak perlu, kita hanya perlu derma je kat depa, bagi sedikit duit yang ada pada kita dan kita hantar la kat dia nanti, yang tu ayah buat la” ayat-ayat tarbiah mula aku alunkan.

“Tapi macamana, Maira mana ada duit langsung?” Sambil menggeleng-gelengkan kepala dia berkata, wajahnya seakan berduka.

“Eh, duit raya Maira kan banyak, Maira bagi la sikit, boleh kan” aku mengingatkannya bahawa dia telah berharta, walaupun sedikit

“Ala, nanti duit Maira habis kalau Maira bagi”

Allah! Aku sedikit terkejut dengan responnya, tidak tersangka bibit-bibit sifat tangkai jering yang melanda kebanyakan dari manusia pada hari ini yang menghalang mereka dari menginfaqkan harta telah mula ada dalam dirinya.

Sifat begini adalah sifat yang buruk, menahan pemberian kerana takut harta kehabisan adalah satu sikap yang cukup jengkel dipandang mata. Padahal wang dan harta itu hanyalah kesenangan dunia yang sementara dan bila-bila masa ianya boleh dipanggil pergi.

Memupuk sifat memberi dan keyakinan tentang Allah maha memberi rezqi adalah satu kefahaman yang harus dipupuk sejak dari kecil lagi. Melentur buluh biarlah dari rebungnya.

“Maira, duit yang kita ada, nasi yang kita makan, mainan yang kita beli, itu semuanya Allah yang beri. Jika kita bantu orang lain, Allah pasti akan beri kita duit yang lebih banyak dan mainan yang lebih hebat lagi” dia hanya mengangguk lemah, apakah dia setuju atau membantah, tidaklah aku ketahuinya.

Memberi tidak akan menghabiskan harta, bahkan akan terus menyuburkannya, itu satu konsep mudah, tapi gagal difahami oleh kebanyakan manusia. Itulah hakikat yang telah diterangkan oleh Allah dengan begitu jelas dalam surah Al Baqarah ayat 265

“Dan perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya karena mencari keridaan Allah dan untuk keteguhan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buahnya dua kali lipat. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka hujan gerimis (pun memadai). Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu perbuat.”

Kemudian aku menyambung lagi.

“Maira, duit kalau kita simpan, akhirnya akan habis juga, kalau kita beli makanan akhirnya akan habis dalam perut, mainan lama-lama akan rosak, kalau kita beri sikit pada orang lain yang susah, Allah akan bagi pahala banyak dan duit kita pun Allah akan ganti dengan lebih banyak lagi”

“Bila pahala kita banyak, insyaallah kita boleh masuk syurga, dan dalam syurga kita boleh dapat macam-macam, mainan ada, sungai susu ada, aiskrim sedap ada, Maira nak apa pun boleh, macam yang ayah cerita dulu, ingat tak?”

“Ingat-Ingat, Ayah, Maira nak tolong diaorang, Ayah ambiklah duit Maira tu ye, bagi kat depa sikit.” Setelah dipujuk dengan syurga, barulah hatinya cair. Tapi jika tidak selalu diperingatkan tidak mustahil sifat bakhil akan terus berkembang dan sebati dalam jiwanya.

“Insyaallah, nanti ayah buat ye” aku tersenyum manis kepadanya.

Abdullah Sidek Majin telah sampai ke satu perkampungan dimana 95% dari rumah-rumah telah rosak dilanda banjir dan lumpur tebal. Moga Allah mengurniakan kesabaran kepada mereka dan menggantikan apa yang hilang dengan ganjaran pahala yang lebih baik.

Anakku, peganglah dunia dengan tanganmu, tapi jangan letakkan ia di hatimu.

Eksperimen Bersama Ombak

Merendamkan tubuh di pinggir Laut Cina Selatan yang luas terbentang di daerah Marang pada waktu pagi yang tenang selepas menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Rusila sambil menyaksikan sang mentari melunaskan janji adalah kepuasan yang tidak mampu untuk ditulis dengan kata-kata.

Sesekali aku mengerling Humaira yang leka bermain pasir sambil tangan kecilnya mengorek-ngorek mencari anak-anak ketam yang berselindung di balik cengkerang siput dan kerang yang bertaburan diatas butiran-butiran pasir halus yang tersusun indah.

Setelah puas bermain pasir agaknya, dia berlari ke arahku untuk membasahkan tubuhnya dengan air laut yang jernih. Dia merenung lantunan ombak dan mengamati desirannya yang memikat lalu bertanya

“Ayah, kenapa dekat laut ada ombak?”

Soalan yang telah aku agak akan ditanyakannya ketika kami merendamkan diri membiarkan tubuh diusap oleh ombak sepoi-sepoi bahasa bertemankan anak-anak ikan kecil halus yang berenang bebas mencari rezeki yang dijanjikan.

Aku terdiam sejenak, mencari-cari jawapan yang terbaik, setahu aku, ombak boleh terbentuk akibat dari 3 keadaan, yang pertama adalah akibat tarikan graviti bulan yang menyebabkan air tertarik ke lautan dan kemudian terlepas kembali kerana tarikan graviti bulan yang tidak cukup kuat. Untuk menerangkan cara ini, aku merasakan agak tidak sesuai kerana nanti akan ditanyakan pula apa itu graviti dan kenapa bulan boleh ada graviti pula. Ah! Jangan cari penyakit Hisham...

Aku terfikirkan cara yang lebih ekstrem iaitu akibat sesaran kerak bumi yang mengakibatkan tsunami, tetapi rasanya ombak bentuk itu bukanlah seperti ombak yang kami saksikan bersama pagi ini.

Cara yang paling mudah rasanya adalah dengan menerangkan konsep tiupan angin yang menyebabkan air laut beralun-alun dan akhirnya terhasillah ombak. Lebih mudah dan praktikal.

“Ehem, Ehem....Humaira, begini” aku memulakan bicara lagak seorang saintis pakar yang ingin menerangkan tentang teori besar kejadian ombak dalam seminar antarabangsa yang dihadiri oleh cendekiawan-cendekiawan ulung dari seluruh dunia.

“Humaira tahu tentang angin?” aku menjawab soalannya dengan soalan, kaedah biasa yang aku gunakan untuk merangsang mindanya agar turut sama bergerak. Juga ia sebagai strategiku untuk mencuri masa tika soalan yang ditanya tidak dijumpai jawapannya dalam ensiklopedia kompleks di kepalaku yang terkandung di dalamnya keupayaan pemikiran yang hampir tidak pernah dioptimakan.

“Tahu, tahu” dia menjawab ringkas.

“Ok, kalau tahu bagus, sekarang ni dekat laut ada angin yang bertiup kan, Maira boleh rasa tak?”

“Ha, rasa, rasa” sambil dia memegang wajahnya merasai tiupan angin sepoi-sepoi bahasa.

“Bila angin tu bertiup, dia akan tiup air tu sama” kemudian aku mengambil secedok air dengan genggaman tanganku dan kemudiannya aku meniupnya untuk menunjukkan contoh mudah bagaimana ombak terhasil.

“Maira  nampak tak air yang dalam tangan ayah ni, bergerak-gerak dan berombak bila ayah tiup. Macam tu juga dengan air laut, bila angin bertiup dan kemudian akan adalah ombak dekat laut sama macam yang ayah tunjuk dalam tangan ayah tadi”

Dia kemudiannya turut mengambil secedok air dan kemudian turut ditiupnya seperti contoh yang aku lakukan tadi. Air di tangannya juga bergerak-gerak dan berombak sama seperti demonstrasi yang aku lakukan tadi.Wajahnya kelihatan puas sekali dapat memahami bagaimana ombak terhasil melalui eksperimennya sendiri.

“Nah, faham sekarang?” aku bertanya kepadanya untuk mencari kepastian. Dia mengangguk-ngangguk tanda faham.

“Maira, dengar ni. Paling penting adalah, ombak dan lautan ini, semuanya Allah yang ciptakan, hebat tak Allah” aku kembali kepada kesimpulan yang paling penting dalam pelajaran pagi ini dan pada hari-hari yang lain, iaitu meletakkan rasa kehebatan Allah pada setiap ciptaan di alam ini pada jiwa kecilnya yang masih lagi lentur.

Hebat, hebat, hebat” mulutnya menjawab tapi matanya melihat-lihat anak-anak ikan kecil halus yang berenang renang manja sambil tangannya cuba menyauk ikan ikan itu.

Menerangkan tentang konsep ombak,agak mudah, tidak sesusah menerangkan konsep kenapa daun hijau dan bagaimana Allah melihat kita. Menjawab persoalan anak-anak, perlukan kesabaran dan sedikit kreativiti, dan paling penting, jangan lupa untuk menambahkan perisa keimanan dan tauhid ke dalam setiap kisah, kerana tarbiyyah itu ada di mana-mana.

“Maira, ombak ni selain dari kena tiup angin, ada satu cara lain lagi macamana ombak boleh jadi, nak tau tak?”


“Nak, nak, nak”

“Ok, boleh, tapi kena tutup mata dulu” kali ini aku akan demonstrasikan pula padanya teknik ombak akibat sesaran bumi. Aku mencedok air dari tanganku dan meminta dia menunggu dengan mata yang terpejam.

“Sedia, satu, dua, tiga...nah terimalah ombak yang ketiga!” aku mencampakkan air laut ke mukanya ala ala tsunami yang melanda.

“Ayaaaaaaaaahhhhhhhh!”


Cerita Tentang Hujan


Panas yang berpanjangan sepanjang hari itu diakhiri dengan hujan lebat yang begitu menyegarkan. Humaira yang tidur sejak tadi di sofa, bangkit seketika saat mendengar titis-titis hujan yang turun deras membasahi bumi. Pohon-pohon hijau seolah-olah menyanyi dan menari penuh kegembiraan menyambut rahmat dari langit yang turun membasahi setiap makhluk.
“Ayah, hujan lebat la” dia memulakan bicaranya dengan suara serak-serak basah setelah bangkit dari tidur yang agak lama. Matanya digosok-gosok dan kemudian dia melontarkan pandangannya kembali ke arah tingkap.
Aku mendiamkan diri, memikirkan apakah pengisian tarbiah dan keimanan yang akan aku ajarkan padanya kali ini. Melihat hujan turun, akalku ligat berfikir. Elok juga jika kali ini aku terangkan padanya tentang proses kejadian hujan.
“Maira, nak dengar tak cerita tentang hujan, cerita tentang macamana hujan boleh turun?” aku memulakan bicara, sengaja aku bertanya untuk menarik perhatiannya yang mungkin masih lagi mamai.
“Nak, nak, nak” dengan cepat dia menjawab, memang dia akan cukup gembira jika aku bercerita kepadanya, walaupun cerita itu telah diulang dua tiga kali. Jika semasa kecilnya, cerita-ceritanya hanyalah tentang kucing dan kambing yang kelaparan, diikuti dengan kisah-kisah para nabi yang menarik hati seperti kisah Nabi Musa, Sulaiman, Daud ketika usianya 3 dan 4 tahun dan kini cerita pada usia 5 tahun harus lebih canggih dan sesuai dengan kemampuan mindanya yang semakin maju.
“Ok, macam ni Maira, tau tak sungai dan laut?
“Tau, tau”
“Dalam sungai dan laut ada banyak air kan?” aku memulakan penerangan dengan soalan demi soalan agar tergambar bayangan-bayangan dimindanya.
“Aaaa’aaa, ye ada air banyak, tapi kenapa ayah? Kata nak cerita pasal hujan” dia sedikit tidak puas hati kerana seakan-akan aku ingin lari dari topik penceritaan.
“Sabar la dulu, nak dengar ke tak nak ni?” aku memujuknya agar sabar sedikit. Biasalah jiwa anak-anak resminya sentiasa hendak cepat dan tidak sabar.
“Matahari maira tau tak?” kembali aku bertanya padanya.
“Matahari panas ke sejuk?” sebelum sempat dia menjawab, aku kembali bertanya kepadanya soalan-soalan mudah agar dia tidak terasa susah.
“Panas” ringkas dia menjawab.
“Ok, bila matahari panas, air sungai dan air laut akan tersejat, tersejat tu maksudnya air tu akan naik ke atas langit” aku menerangkan kepadanya dengan bahasa yang semudah mungkin.
“Faham tak?” aku bertanya pabila aku melihat wajahnya tiada reaksi, biasanya dia akan menyahut dengan “Oooooo” yang panjang atau anggukan tanda kefahaman.
“Faham, faham, tadi kan ayah suruh sabar, ni maira sabar la ni” dia memulangkan buah kerasnya kepada ku kembali.
“Aduh! Kena sebiji” namun keluhan itu hanya kedengaran di dalam hati, aku hanya mampu tersenyum tawar kemudian menyambung lagi penceritaan.
“Bila air-air tadi naik ke atas, dia akan berkumpul dan berkumpul kemudian jadilah awan yang warna putih”
“awan-awan tadi asalnya warna putih, bila air yang berkumpul dalam tu makin banyak dan makin banyak, akhirnya dia akan jadi warna kelabu, sekarang cuba maira tengok awan tu, apa warnanya?” sambil aku menghalakan jari telunjuk ke arah langit.
“Aaa’aaa lah, warna kelabu, dalam tu dah ada banyak air ke ayah?” dia mengiyakan diikuti dengan soalan.
“Iye, jadi bila awan tu dah berat sangat, itu yang air tu turun mencurah-curah tu, air yang turun tadi kita panggil ia sebagai hujan”
“Oooooo” kali ini barulah dia mengangguk dengan “trademark” ooooonya yang mahal itu.
“Hah, sekarang faham tak?”
“Ok, faham-faham” dia kemudian tersengih menampakkan gigi depannya yang sedikit kuning dan agak jarang.
“Ok bagus!” aku mengangkat ibu jari memberinya motivasi. Moga sifat ingin tahunya akan mengembangkan potensi mindanya menjadi sehebat Saidatina Aisyah suatu hari nanti. Amin.






Allah Ciptakan Semuanya

setiap butir pasir ditepian pantai, setiap titis air di lautan, setiap daun yang berguguran adalah dalam ilmu dan pengetahuan Allah yang maha luas duhai anakku sayang.

“Ayah, kereta siapa yang ciptakan?” Kakak Humaira tiba-tiba sahaja berbicara memecah kesepian dalam kereta ketika kami pulang ke kampung. Sudah agak lama kami tidak bersoal jawab begini.

“Aaaaa, kereta manusia yang ciptakan, tapi kereta diciptakan dari besi dan besi diciptakan oleh Allah” aku menjawab persoalannya dan menambah sedikit perencah keimanan agar jawapanku tadi menambah pengetahuannya tentang kehebatan Allah. Sebelum ini pun dia kerap bertanya tentang objek-objek yang dilihatnya. Jika pada usia 4 tahun, soalannya adalah tentang apa, kali ini dia menambah kenapa dan penciptanya.

“Ooooo” dia mengangguk-ngangguk, kemudian melalui cermin pandang belakang aku melihat dia memalingkan wajahnya ke luar tingkap kereta, matanya kelihatan liar melilau ke sana sini mencari persoalan-persoalan baru untuk ditanyakan. Aku menunggu dengan penuh sabar dan pastinya soal jawab ini akan berlanjutan lama dan berulang-ulang.

“Ayah, pokok siapa yang ciptakan?” kali ini dia kembali dengan soalan seterusnya, mungkin ketika melihat pokok-pokok yang banyak di sepanjang jalan.

“Pokok, Allah yang ciptakannya” aku menjawab, kali ini terus kepada tujuan.

“Awan?” dia bertanya lagi?

“Allah” aku menjawab ringkas.

“Batu?”

“Allah.”

“Bukit?”

“Allah”

“Padi?”

“Allah”

“Jalan?”

“Jalan manusia yang ciptakan, tapi jalan dibuat dari batu, dan batu kan Allah yang ciptakan macam ayah cakap tadi”

ketika soalannya adalah tentang apa yang tidak diciptakan secara langsung oleh Allah, tetapi melalui wasilah tangan-tangan manusia, aku akan mengembalikan persoalannya tadi dan mengaitkannya kembali kepada Allah, agar dia mengetahui bahawa Allah yang menciptakan semuanya.

“Ooooo” dia mengangguk lagi. Kemudian soalannya terus bersambung-sambung. Pelbagai objek yang dilihatnya semua ditanyakannya. Dari langit hingga ke laut, papan tanda jalan ke rumput rumput di jalanan, ikan di dalam akuarium kecil kami, cermin tingkap, pen, pensel, kertas, warna, ubat gigi hinggalah kepada baju yang sedang dipakainya. Kadang-kadang ada soalan yang diulang-ulangnya dua atau tiga kali. Tanpa jemu aku menjawabnya agar keimanannya terus mantap dan agar dia benar-benar yakin bahawa Allah yang menciptakan segalanya. Hampir segala objek yang ada dalam kamus pemikirannya dikeluarkan dan kemudian ditanyakan siapa penciptanya.

Hingga akhirnya dia bertanya satu soalan yang membuatkan aku terkejut seketika.

“Ayah, siapa yang ciptakan Allah?”

Aku terdiam seketika, hingga dia mengulang kembali persoalannya dengan lebih kuat dan tegas.

“Ayah!, siapa yang ciptakan Allah?”

“Sayang, Allah tidak ada siapa yang menciptakannya, tapi Allah yang ciptakan semua benda” ringkas aku menjawab setelah berfikir sejenak, tidak tahu apakah dia berpuas hati.

“Tapi macamana ayah?” nada suaranya kelihatannya seperti dia dalam kebingungan.

“Hmmmm, memang macam tu, tidak ada yang ciptakan Allah, sebab semuaaaaaaaaanya Allah yang ciptakan. Memang tidak ada menciptakan Allah, sebab Allah adalah pencipta segala”

Aku menerangkan dengan gaya tangan dan nada yang bersungguh-sungguh.

“Ooooooo” begitulah reaksinya setiap kali aku menjawab. Entah faham atau tidak, kerana pastinya dialog ini akan berulang berpuluh-puluh kali lagi.

“Ayah, macamana Allah ciptakan benda?” soalannya kali ini lebih mencabar minda. Jenuh juga berfikir untuk menjawab dalam ayat yang boleh difahami oleh kanak-kanak 5 tahun yang belum kenal konsep tauhid dengan lengkap.

Walaupun soalan-soalannya mencabar dan berulang, tetap aku dan isteriku usahakan untuk menjawabnya, kerana aku tidak mahu mematikan semangatnya dalam bertanya dan menuntut ilmu.

“Sayang...begini, bila Allah nak ciptakan sesuatu benda, Allah akan sebut “Jadi!” maka benda itu akan terjadi. Contohnya, Allah nak jadikan bintang, Allah akan sebut “Jadi” dan bintang tu pun akan ada.”

Aku menjawab sambil mengingat-ingat firman Allah dalam ayat 117 surah Baqarah.

“Allah Pencipta langit dan bumi, dan bila Dia berkehendak (untuk menciptakan) sesuatu, maka (cukuplah) Dia hanya mengatakan kepadanya: "Jadilah". Lalu jadilah ia.” 2:117



Untuk menceritakan tentang proses kejadian bintang, hakikat luh mahfuz dan peranan malaikat aku rasakan belum waktunya lagi, cukuplah setakat ini dia mengetahui bahawa Allah mampu menciptakan semuanya dengan cukup mudah sahaja.



“Oooooo” dia mengangguk-ngangguk lagi dan aku pasti bahawa minda kecilnya yang saling berhubungan akan sentiasa mencari dan terus mencari hakikat ciptaan ilahi.

Walau Sekelumit “Ah!”

gambar kami sekeluarga, lama tidak dapat bergambar seperti ini

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” Al Isra:23

Dalam Al Quran, banyak akan kita dapati suruhan-suruhan untuk berbuat baik dan galakan untuk berdoa kepada ibu bapa, terutamanya apabila kedua mereka telah lanjut usia. Suruhan ini adalah suruhan yang banyak hikmahnya dan hanya akan kita fahami apabila ibu bapa kita sendiri telah sampai ke satu peringkat usia yang biasanya di Malaysia kita menyebutnya sebagai warga emas.

Hati ibu bapa yang telah lanjut usia adalah ibarat taufu lembut, mudah terguris walau dengan sekelumit perkatan “Ah!” atau tindakan-tindakan kita yang kecil apatah lagi tika mereka dilanda sakit yang menduga atau ada keresahan yang melanda.

Pada kita, mungkin perkara yang mengguris hati mereka adalah tidak sepatutnya mereka berkecil hati kerananya. Mungkin kita hanya ingin beramah mesra atau berlawak jenaka, dan mungkin juga bagi kita tindakan-tindakan kita adalah perbuatan yang harus disisi agama.

Kadang-kadang kerana satu tindakan atau perkataan yang kita ucapkan dengan sengaja atau tidak sengaja, samada kita memaksudkannya atau tidak, akan menimbulkan rasa marah yang bersangatan dihati mereka, membawa pada rajuk yang panjang dan terkeluarlah perkataan-perkataan yang amat memedihkan rasa tika kita mendengarnya.

Hati pasti akan terasa sedih dan pilu, apatah lagi tika diungkit segala kesilapan masa silam dan dituduh sebagai tidak mengenang budi dan lebih derita jika dicop sebagai derhaka walhal langsung tidak kita bermaksud untuk melukakan hati mereka.

Namun, suruhan Allah untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa bukanlah suruhan yang bersyarat, ia adalah perintah mutlak tanpa mengira dalam situasi apa kita berada. Walaupun kedua ibu bapa kita tidak seagama, walau hati kita sentiasa terluka dengan kata-kata dan tindakan mereka.

Tinggalkanlah justifikasi-justifikasi dan perdebatan walaupun kita berada di pihak yang benar jika perbincangan itu hanya akan mengeruhkan keadaan. Hatta dalam situasi bagaimana sekalipun, tanggungjawab seorang anak kepada kedua orang tuanya adalah dengan memelihara hubungan yang baik dan sentiasa memuliakan mereka. Usahlah berputus asa dalam membina jambatan kasih dengan mereka, kerana redha Allah akan hadir dengan redha dua ibu bapa kita.

Tika hati terasa pedih, ingatlah bahawa ibu bapa telah membesarkan kita dengan susah payah yang tiada galang gantinya. Entah berapa ribu kali, mereka dengan sabar tetap melayani karenah dan ragam kita tanpa rasa jemu dan bosan. Ingatlah saat-saat kita terkencing diatas tilam, muntah hijau di sofa kereta, tika kita mengamuk kerana tidak mendapat mainan yang diimpi, tika mereka merawat setiap inci luka, tika tidur malam mereka yang terganggu kerana tangisan yang tidak diketahui apa sebabnya, saat mereka menghantar kita ke sekolah buat belajar tulis baca. Mereka tetap setia disisi walau apa jua situasi untuk menemani, mengorban kepentingan diri demi sebuah kasih sejati.

Walau apa jua kekurangan mereka ketika lanjut usia atau kepincangan dalam mendidik kita, mereka tetap adalah ibu bapa kita yang tidak akan kita jumpai galang gantinya walau serata galaksi kita mencarinya. Usahlah membanding-bandingkan ibu bapa kita dengan ibu bapa orang lain, kerana Allah lebih tahu pada rahim siapa selayaknya kita berada.

Bulan Syawal yang indah ini, adalah saat terbaik buat kita merapatkan hubungan yang renggang, memohon keampunan atas segala salah kata dan tindakan kita kepada kedua ibu bapa. Lupakanlah segala sengketa, ketepikan segala ego dan carilah redha Allah melalui redha ibu bapa.

Keberkatan hidup itu ada pada redha dan doa kedua ibu bapa kita.

Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapaknya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Mengandungnya sampai menyapihnya adalah tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa: "Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapakku dan supaya aku dapat berbuat amal yang saleh yang Engkau ridai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertobat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri". (Al Ahqaf : 15)

Sajak Buat Khadijah (Hanan)

Engkau wanita pertama bertakhta dihatinya yang mulia

Engkau pengubat ketakutan tika Jibril datang mengajarnya kalimah baca dari Tuhan maha pencipta

Engkau wanita pertama beriman saat ramai mencaci nista

Engkau pembantu setia tika semua berencana menentang dakwahnya



Hanya dari rahimmu bersambung zuriat keturunan keluarga baginda

Hingga akhir hayatmu ternyata Rasul tetap setia cintanya

Kasih rasul tetap mekar padamu hingga mengundang cemburu Aisyah yang jelita

Harum namamu sepanjang zaman menjadi teladan buat para wanita



Kini namamu kuabadikan buat anakku yang tercinta

Agar sifatmu yang agung menjadi tauladan pada dirinya buat menempuh segala pancaroba

Agar akan dijodohkan dia dengan pahlawan agama yang perkasa

Agar dirinya menjadi pembantu setia seperti engkau setia menjadi suri dakwah baginda

Agar hayat kehidupannya dipenuhi dengan amal ketaatan dan perjuangan menegakkan agama

Menjadi amal yang tidak putus untuk bekal ayah dan ibunya dalam kembara ke alam sana


Ayah Khadijah
Taman Permata
Kuala Lumpur

Salam Aidilfitri 2010


Berlalu sudah bulan ketaqwaan
Hadir kini hari kegembiraan
Buat mereka yang cinta kepada iman
Rindu pada hari kebangkitan

Ramadhan datang membersih jiwa
agar diri dekat dengan taqwa
Buat bekal menghadapi dunia
Moga syurga tempat kembali kita

Salam Aidilfitri dari kami sekeluarga

Mohd Hisham Mohd Sharif
Hasifah Zainuddin
Humaira' Mohd Hisham
Khadijah Hanan Mohd Hisham

Rahsia Dalam Rahsia

Allah s.w.t mencipta kehidupan, dan pada masa yang sama diciptakan juga kematian. Segaja kematian itu dirahsiakan supaya ia menjadi suatu ciptaan agung yang akan menguji manusia dan pada masa yang sama memotivasikan manusia untuk sentiasa bekerja dan melakukan amal ketaatan seolah-olah tiada lagi hari esok. Manusia yang cerdik akan mengambil hikmah rahsia tarikh kematian dengan mengoptimakan amal untuk kehidupan selepas kematian, manakala manusia yang lalai akan terus lalai walau malaikat maut menjeling pada setiap saat.

Bayangkan jika tarikh kematian itu telah diketahui sejak awal lagi, maka akan porak perandalah kehidupan manusia seluruhnya kerana semuanya akan menunggu sehingga ke hujung waktu untuk bertaubat, bercambah-cambahlah manusia yang malas dan makin kembanglah nafsu sang pengejar kekayaan dunia.

Begitu juga dengan urusan rezeki dan ketentuan hidup. Allah sengaja merahsiakannya supaya manusia itu cenderung untuk berusaha dan terus berusaha, dan bertawakkal hanya kepadanya.

Lailatul Qadr adalah antara rahsia dalam rahsia yang paling hebat. Jika manusia mengetahui akan tarikhnya yang sebenar, maka pasti akan makin suramlah masjid-masjid pada penghujung Ramadhan kecuali pada malam lailatul Qadr. Kerahsiaan malam lailatul Qadr adalah supaya manusia berlumba-lumba mencarinya pada setiap malam, mengimarahkan masjid dengan zikir, solat dan doa, supaya manusia tidak hanya akan cemerlang pada malam yang agung itu sahaja, tetapi supaya setiap detik 10 akhir Ramadhan itu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

Ramadhan belum lagi berakhir, gunakan setiap saat untuk mengumpul kebaikan-kebaikan yang berlipat kali ganda.