Bumi Kanggaroo!, Kami Datang. Insyaallah

Selamat tinggal Malaysia, esok kami akan menatap sang mentari di bumi Kanggaroo pula.


“Ayah janji ke kita akan pergi ke Australia naik kapalterbang petang nanti?” Humaira’ bertanya saat saya menghentikan kereta di lampu isyarat simpang empat berhampiran rumah. Saya keluar seketika membeli beberapa lagi barang di kedai berhampiran untuk dibawa dalam permusafiran kami ke Adelaide, Australia petang nanti.

Mungkin keinginannya yang kuat untuk menaiki kapalterbang dan melihat bumi Australia menyebabkan soalan itu keluar dari mulutnya.

“Ya, Insyaallah kita akan pergi petang ini.”  Saya menjawab sambil mata masih tertancap pada lampu isyarat yang masih lagi merah.

“Ayah janji ya,” sekali lagi dia menyuruh saya berjanji. Mungkin kalimah Insyaallah itu tidak dirasakan padanya begitu kuat. Melihat lampu yang masih lagi merah, cantik juga jika ruang yang ada ini digunakan untuk sesi sembang-sembang tarbiah.

“Humaira’, bila ayah kata Insyaallah, maknanya ayah berjanji lah tu. Cumanya, Insyaallah tu maksudnya dengan izin Allah ayah akan tunaikan janji ayah.” Saya memulakan bicara dan kemudian berhenti seketika mencari ilham, mencipta contoh dan menyusun kata.

“Walaupun ayah berjanji, tapi kalau Allah tidak izinkan untuk kita naik kapalterbang malam nanti, ayah tak boleh buat apa-apa, sebab itu semuanya ketentuan Allah. Contohnya tayar kereta kita pancit dalam perjalanan ke lapangan terbang nanti atau jalan sesak menyebabkan kita lewat sampai atau mungkin kapalterbang rosak dan mungkin hujan lebat sangat hinggakan kapalterbang tak boleh nak berlepas. Mungkin juga ayah atau ibu sakit hingga tidak dapat kita ke sana malam ini.” Sedikit panjang saya menerangkan.

“Kalau semua perkara yang ayah sebut tadi, salah satunya berlaku, maka adakah ayah mungkir janji?” saya bertanya kembali kepadanya. Dia menjawab dengan gelengan kepala. Lampu isyarat masih lagi merah, dan saya menyambung bicara tarbiah.

“Bila ayah berjanji, maknanya ayah dan ibu akan usaha untuk sampai dan naik kapalterbang malam nanti. Kita siapkan beg awal-awal, keluar awal dari rumah, isi minyak penuh, periksa angin tayar kereta, baca doa naik kenderaan dan minta Allah selamatkan perjalanan kita sampai ke Australia nanti.”

“Itu usaha kita, tapi Allah yang menentukan kita selamat atau tidak dalam perjalanan nanti.”

“Humaira’, dalam kehidupan kita ini, semua perkara adalah ditentukan oleh Allah. Sebab itu bila kita berjanji dengan sesiapapun, kita ucapkan Insyaallah  yang maksudnya dengan izin Allah kita akan cuba tunaikan janji kita.” Saya menegaskan lagi, agar kefahaman tentang kalimah yang cukup mulia ini tidak menjadi mainan bibirnya untuk melengahkan janji.

“Humaira’ faham atau tidak?” Saya bertanya tegas. Kefahaman tentang perkara ini cukup penting untuk dihadamkan dan dilaksanakan dalam kehidupan.

Kalimah Insyaallah tidak seharusnya menjadi barang permainan, ia seharusnya menjadi tanda akan keseriusan kita sebagai orang beriman dan kebergantungan kita kepada Allah dalam menunaikan janji.

Rata-rata saya dapati, kebanyakan orang menggunakan kalimah Insyaallah ini dengan tidak serius, tanda tiada keazaman untuk menunaikan janji. Kalimah Insyaallah diungkapkan bila dalam hati telah diniatkan untuk memungkiri janji.

Sebaliknya, bila ingin melunaskan janji dengan penuh azam, diungkapkan “Saya berjanji” tanpa Insyaallah dihujungnya. Pastikah kita bahawa Allah mengizinkan kita, memberikan kita kesihatan, memanjangkan nyawa dan mempermudahkan segala urusan untuk kita menunaikan janji itu.

Sungguh tidak wajar.

“Faham ayah” Humaira’ menjawab ringkas, kepalanya dianggukkan sedikit.

“Katakan, faham ayah, Insyaallah,” saya membetulkan sedikit.

“Baik ayah, Humaira’ faham, Insyaallah.”

“Haa, begitu baru cantik, mari kita “High five!” saya mengangkat tangan meraikan kefahaman barunya. Moga ia akan terus membumi dalam mindanya buat menyubur iman dan taqwa.

Lampu isyarat telah bertukar hijau, dan saya meneruskan perjalanan ke rumah yang hanya beberapa minit untuk sampai. Insyaallah.

Bersediakah kita untuk menjawabnya?

Mendidik anak memang payah, ia adalah mujahadah.

Ada yang berjaya, tapi lebih banyak yang tewas dalam perjuangan mendidik anak-anak dalam era dunia sama rata kini. Tewas kepada suasana, tewas kepada televisyen, tewas kepada Internet, tewas pada teman anak-anak mereka. Akhirnya, ibu bapa kecewa, anak-anak menjadi mangsa dan struktur masyarakat menjadi huru-hara.
Teringat saya pada satu pengisian tentang pendidikan anak-anak yang diberi oleh Cikgu Rusdi Baharom satu ketika dahulu, katanya.





“Mendidik anak-anak ini ibarat terjun dari kapalterbang dengan payung terjun, kita hanya ada satu peluang untuk membukanya, jika gagal, maka jatuhan itu pasti tidak akan sempurna dan kita akan mengalami impak yang cukup menyakitkan jika tidak kematian yang mendatangi.”

Ketika itu saya baru berkahwin, dan masih tidak dapat memahami sepenuhnya kata-kata tersebut. Kini, anak sulung semakin membesar, sementara yang kecil dengan telatahnya yang tersendiri dan pada masa yang sama saya melihat anak-anak yang membesar dalam pelbagai suasana dan saya semakin nampak akan maksud di sebalik dan betapa benarnya kata-kata tersebut.

Pendidikan anak-anak adalah proses, setiap fasa ada tuntutannya yang tersendiri. Sebelum berkahwin, ketika jimak, trimester pertama, kedua dan ketiga, saat menyambutnya, input yang diterima ketika 0-6 bulan, 6 bulan hingga 1 tahun, 1 – 3 tahun, 4- 6 tahun, 6 – 10 tahun, 10 – 15 tahun dan 15 – 21 tahun.

Setiap satunya memerlukan perincian khusus dan ada kaedah-kaedah tertentu dan peranan-peranan tertentu oleh ayah dan ibu yang digariskan oleh Islam jika kita mahu melahirkan insan cemerlang.

Jika tersalah input atau kita gagal menunaikan hak pada salah satu dari fasa tersebut dengan sempurna, maka jatuhannya pasti akan cacat. Fizikalnya mungkin sempurna, tapi rohani dan emosinya berkemungkinan retak dan lebam di sana sini.

Jika mendidik anak-anak didefinisikan dengan memberi makanan, minuman, perlindungan maka apa bezanya kita dengan lembu, kambing dan buaya. Bahkan buaya jauh lebih cemerlang dari kita dalam menjaga dan memastikan keselamatan anak-anak mereka.

Tapi mendidik anak-anak manusia menjadi khalifah adalah satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan faham, cermat dan bersungguh-sungguh.

Tanggungjawab ini bukan tanggungjawab Ustaz di sekolah agama, bukan juga tanggungjawab Perdana Menteri atau para Mufti, tapi hak mutlak pendidikan anak-anak adalah pada ayah dan ibunya seperti mana disabdakan oleh baginda dalam sebuah hadis yang masyhur bahawa corak dan warna agama yang dibawa oleh anak adalah hasil cantingan ibu bapanya.

Justeru sebagai ibu bapa, tidak terlepas tanggungjawab agama anak-anak kita jika sekadar kita menghantarnya ke sekolah agama atau memanggil Ustaz untuk mengajar Al Quran di rumah.

Ilmu pendidikan anak-anak harus dipelajari, ia tidak akan datang sendiri. Anak-anak yang soleh yang kita impikan sebagai bekal pahala berterusan buat kita setelah kita tiada harus dirancang dan dibentuk sepertimana jurutera merekabentuk bangunan, seperti mana juruanalisa sistem merekabentuk sebuah sistem maklumat atau pengkalan data dengan menggunakan teknik dan kaedah termaju.

Anak-anak bukan sekadar anugerah, tapi ia adalah amanah yang harus dipikul dengan penuh dedikasi tanpa rasa jemu dan lelah. Setiap kita, terutamanya bapa akan ditanya tentang amanah anak-anak yang telah dipikulnya tika di dunia.

Bersediakah kita untuk menjawabnya?

Mengapa Allah Ciptakan Humaira'?


“Bila nak sampai ni ayah? Berapa kilometer lagi ni?” Humaira’ mengulang soalannya yang entah kali ke berapa, menyebabkan saya dan isteri hampir hilang sabar. Perjalanan yang jauh begini dari Kedah ke Kuala Lumpur dengan panas terik yang membahang di luar sana ditambah pula dengan soalan-soalan yang diulang-ulang berpuluh-puluh kali memang cukup memanaskan jiwa.

Kepala saya ligat memikirkan jalan keluar dari soalannya, telah pelbagai cerita yang saya ceritakan, Maher Zain, Mesut Kurtis dan Sami Yusuf juga telah puas berdendang, namun perjalanan ternyata masih panjang. Adik Khadijah pula masih lena tidur dibelakang, keletihan agaknya bangkit awal dan berlari tanpa henti sebelum kami bergerak tadi. Itulah yang menambahkan lagi kebosanannya, tiada teman untuk bermain bersama.

“Humaira’, mari kita main satu permainan, namanya ABC,” saya mengajaknya untuk bermain pula, cuba melupakannya akan keresahan disepanjang perjalanan. Dalam kepala saya teringat akan permainan yang saya dan kawan-kawan mainkan bersama dahulu tika di sekolah rendah. Namun kami budak lelaki bermain dengan lebih ganas, siapa yang gagal menjawab akan dijentik sekuat hati oleh setiap orang hingga ada yang merah jarinya akibat dijentik.

“Bila ayah cakap ABC, Humaira’, ayah dan ibu kena keluarkan beberapa jari, dan kemudian Humaira’ harus mengira jari tersebut dengan huruf abjad. Bila Humaira’ dah sampai kepada abjad yang terakhir, contohnya M, maka setiap orang harus sebut benda yang bermula dengan huruf M.” Saya menerangkan peraturan permainan mudah yang dapat membina minda.

“Mari kita cuba dahulu.”

“ABC!” saya memulakan demo permainan. Masing-masing kami mengeluarkan jari, dan kemudian saya meminta Humaira’ mengiranya satu persatu dengan huruf abjad.

“A,B,C,D,E,F,G,H,I,J” kiraannya berhenti pada huruf J.

“J, apa benda yang bermula dengan huruf J?” saya memulakan soal.

“Jagung!” Humaira’ menjerit menjawab.

“Jarum...” Isteri saya pula menjawab.

“Jambu....”dan akhirnya saya menjawab.

“Ha begitulah permainannya, saya menerangkan, cuma setiap perkara yang kita sebutkan hendaklah diterangkan fungsinya, contohnya Jarum adalah untuk menjahit pakaian, boleh begitu?” saya menambah rencah permainan untuk membawa permainan ini kepada satu kesimpulan penting nanti. Semua bersetuju dan kami pun memulakan permainan.

“A,B,C!”

Pengiraan berhenti pada huruf K.


“K, apa benda yang bermula dengan huruf K?” saya bertanya pada semua.

“K untuk kereta,” saya menjawab sendiri soalan tadi.

“Kambing!” Humaira’ bersorak gembira kerana berjaya menjawab.

“Kaki” Isteri saya pula menjawab.

“Kereta diciptakan untuk kegunaan kita pergi ke tempat yang jauh seperti pulang ke kampung dan pergi ke Alor Setar.” Saya menerangkan jawapan saya tadi.

“Kambing pula untuk apa Humaira’?”

“Kambing....hmmm hmmmm...entahlah ayah, Humaira’ tak tahu.”

“Haha, kambing sudah tentulah untuk kita makan!” saya menjelaskan sambil tertawa kecil. Terbayang keenakan kurma kambing masakan Haji Azizan di belakang Sekolah Menengah Jitra. Kemudian giliran isteri saya menerangkan fungsi kaki.

Pusingan seterusnya, kiraan berakhir pada huruf P, saya memilih pisang, manakala Humaira’ memilih pokok, isteri saya pula memilih paku.

“Ok, Mengapa Allah jadikan pokok?” saya bertanya kepada Humaira’ setelah melihatnya terkebil-kebil memikirkan fungsi pokok.

“Untuk makan ke ayah?” dia mengulang jawapan kepada persoalan awal tadi.

“Bukanlah sayang, walaupun dari pokok ada buahnya yang boleh dimakan dan ada daunnya yang kita boleh buat ulam atau sayur, tapi paling penting pokok Allah ciptakan untuk keluarkan oksigen. Oksigen ini, kita gunakan untuk bernafas. Kalau tiada oksigen, maka kita tak akan dapat bernafas dan bila tak dapat bernafas maka kita akan mati.”

“Bijak tak Allah ciptakan pokok untuk kita bernafas?” saya menoleh ke belakang sedikit, sambil memicit-micit jemarinya yang lembut.

“Bijak-bijak,” dia menjawab penuh ceria.

Pusingan seterusnya berlangsung rancak, dan setiap kali itu jugalah saya dan isteri akan menerangkan tentang kegunaan setiap benda yang disebutkan dan mengaitkannya dengan kebesaran dan kehebatan Allah dalam penciptaan.

Hingga akhirnya kiraan berhenti pada huruf H.

“Humaira’!” saya menjawab sambil tertawa. Pandangan masih lagi saya tumpukan ke hadapan.

“Eh, mana aci ayah, itu kan nama, bukan benda,” dia membantah.

“Ala, aci kat India la, Hehe.” Saya melanggar peraturan sendiri dalam permainan kerana ingin cepat-cepat menyimpulkan pengajaran dari permainan. Jujurnya saya sendiri telah merasa agak mengantuk dan perlu berhenti di R & R Ulu Bernam 10 Kilometer lagi di hadapan.

“Humaira’, kalau pokok, ikan, lembu, ayam, ular dan semua benda yang kita sebutkan tadi ada sebab kenapa Allah jadikannya, Humaira’ rasa mengapa Allah jadikan kita dan lebih penting lagi mengapa Allah ciptakan Humaira’,” saya menyimpulkan soalan-soalan yang ditanyakan tadi kepada pengajaran paling penting dalam permainan kami petang ini.

“Humaira’ rasa, Allah jadikan kita untuk makan je ke?” saya memprovokasi setelah melihatnya berdiam diri, hilang punca untuk menjawab soalan saya tadi.

“Atau hanya untuk bermain?” saya menambah lagi provokasi.

““Tak tahulah ayah, kenapa?” Perlahan dia menggeleng kepala menyerah kalah, kemudian memulangkan soalan itu kembali kepada saya untuk menjawabnya.

“Begini sayang, Allah ciptakan kita untuk kita beribadat kepadanya. Ibadat tu maksudnya supaya kita solat, puasa, baca Quran dan pergi haji. Ibadat juga maksudnya kita berbuat baik kepada orang lain terutamanya pada ayah dan ibu, cikgu-cikgu dan kawan-kawan Humaira’.”

“Selain itu, Allah juga ciptakan Humaira’ sebagai seorang Islam supaya Humaira’ boleh mengajar tentang Islam kepada orang lain. Ajar adik Khadijah baca Iqra’, beritahu kawan-kawan agar kena pakai tudung, dan ajak orang lain untuk solat bersama-sama.” Saya menambahkan perisa dakwah dalam pengajaran, agar dia tahu bahawa menjadi seorang muslim, ada tanggungjawab dakwah yang perlu dilaksanakan.

Jika dia tidak dapat memahaminya sekarang, saya berharap suatu hari nanti dia akan memahami dan membesar menjadi seorang da’i yang akan mengajak manusia ke jalan ilahi. Saya ingin anak-anak saya menjadi pendakwah, moga Allah mengabulkan harapan saya ini.

Lama dia terdiam. Saya juga telah kehabisan modal hingga akhirnya suasana sepi kembali. Kemudian kesepian itu tiba-tiba dipecahkan dengan soalan.

“Lambat lagi ke ayah? Berapa kilometer lagi ayah?” tanyanya dalam nada yang sungguh merimaskan.

“aaaarghhhhhhhhhhhhhhhhh!” saya mengeluh, mujurlah R&R Ulu Bernam hanya 500 meter lagi di hadapan.

Jom istiqamah dengan sunnah

Rasulullah s.a.w adalah manusia sempurna. Allah menciptakannya sebaik-baik kejadian, segalanya tentang diri baginda adalah mulia, bermula nasab keturunannya, bulan baginda dilahirkan, waktu kelahirannya, keluarganya, sifat-sifat tubuh dan wajahnya yang tampan lebih indah dari bulan purnama dan yang paling indah tentunya akhlak baginda yang amat agung. Ini kerana baginda berada di atas dari akhlak yang mulia. Akhlak baginda adalah Al Quran.

Sepanjang sejarah kehidupan manusia dari dahulu hingga sekarang bahkan hingga hari kiamat, tiada manusia yang akan dapat menandingi kemuliaan akhlak baginda nabi al mustafa.

Adapun kita sebagai manusia biasa, pasti tidak akan dapat menandingi akhlak baginda, kerana baginda adalah contoh pemimpin terbaik, suami paling mithali, ayah yang paling penyayang, dermawan yang paling murah hati, sahabat yang paling setia, panglima yang bijak lagi berani, ahli ibadah yang paling khusyuk, pendakwah yang paling berhikmah dan bahkan segala sifat baik dan mulia yang mampu kita sebutkan pastilah nabi akan menjadi juaranya.

Justeru itu, untuk menuruti dan mencontohi sunnah, kita cubalah sedaya upaya untuk menurutinya sekadar kemampuan dan paling baik jika kita dapat memilih satu dari sunnah baginda dan istiqamah dengannya selagi hayat dikandung badan (sudah tentu dengan tidak mengabaikan yang wajib). Contohnya seperti sunnah berzikir tasbih tahmid dan takbir 33 kali setiap kali selepas solat atau sunnah solat witir walau 1 rakaat cuma.

Kemampuan manusia berbeza-beza, ada yang hebat dalam bersedekah tapi cukup liat berpuasa sunat Isnin Khamis. 
Ada pula yang cukup rajin membaca Al Quran, tapi bangun malam solat tahajjud amat berat baginya. Ada pula yang mungkin tidak berapa rajin membaca Al Quran tetapi cukup ringan tangannya dalam membantu manusia. Dengan kata lain, kita fokuslah pada kekuatan utama diri kita dalam mencontohi sunnah baginda. Jika kita rasa kita ini cukup laju dalam bersedekah, maka belajarlah untuk bersedekah dengan konsisten dan mengikut cara baginda. Jika kita rasa kita boleh istiqamah membaca Al Quran sejuzu’ sehari, maka istiqamahlah dengannya.

Ingatlah bahawa ada sahabat baginda yang dijanjikan syurga hanya kerana hatinya sentiasa lapang terhadap saudara-saudaranya seiman walau ibadah malamnya tidaklah begitu memberangsangkan.

Jom istiqamah dengan sunnah, walau hanya dengan senyuman yang manis. J

Allah Pandang Pada Hati


“Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada tubuh dan bentuk kamu, tetapi Dia melihat kepada hati-hati kamu.” [hadis riwayat Muslim]


“Mengapa asyik duduk depan cermin sahaja anak kita tu semenjak dua menjak ni?” Saya bertanya pada isteri, hairan melihat keletah anak sulung kami yang kini telah berusia 6 tahun berdiri tegak di hadapan cermin sambil mencubit-cubit pipinya. Bukan sekali, bukan dua kali tetapi telah berkali-kali saya melihat perbuatannya yang sedemikian. Bukan hanya di rumah, tetapi juga di dalam kereta sambil menghadap cermin pandang belakang.

“Hihihi, itulah anak dara namanya, dia risau pipi dia tembam” jawab isteri saya sambil tergelak kecil.

“Astaghfirullahaladzim, besar dah anak kita ni, dah hampir menjadi anak dara” saya beristighfar sendiri. Bercampur baur perasaan saya, lucu pun ada, bimbang juga ada kerana cabaran mendidik anak perempuan pada tahap kematangan yang bukan lagi seperti anak kecil, tidak mudah dan amat besar dugaannya.

“Humaira’, mari sini sebentar” saya memanggil. Segera dia datang dengan pipi yang masih dipegang-pegang.

“Humaira’ risau pipi Humaira’ tembam ke?” saya bertanya.

Dia tidak menjawab, hanya mengangguk, malu agaknya.

“Humaira’ janganlah risau, Humaira’ tembam ke, kurus ke, gemuk ke ayah dan ibu tetap akan sayang Humaira’ sampai bila-bila.” Saya berbicara dan kemudian memberikannya ciuman istimewa pada pipi yang cukup dirisaukan akan ketembamannya nanti.

Dia masih tersipu-sipu, sambil kepalanya ditundukkan ke peha saya.

“Humaira’, seperkara lagi yang Humaira’ perlu faham adalah Allah tidak akan melihat pada wajah yang cantik atau pipi yang tembam, tapi Allah melihat pada hati.” Saya memberikan tazkirah. Ruang dan peluang begini rugi jika tidak dimanfaatkan.

“Kalau wajah cantik sekalipun, tapi perangainya buruk, selalu bangun lambat subuh, tidak menutup aurat, tidak hormat orang lain, enggan berkongsi permainan dengan kawan-kawan, suka tengok televisyen banyak-banyak, malas solat, dan tidak rajin tolong ibu bapa, Allah tidak akan suka dengan orang yang begini sebab hatinya buruk.”

“Namun, kalau wajahnya tidak cantik, tapi perangainya baik, rajin mengerjakan solat dan membaca Al Quran, rajin tolong ibu dan ayah di rumah, rajin membaca, hormat guru di tadika dan bermain dengan baik dengan kawan-kawan, Allah akan sayang sebab hatinya baik dan cantik.” Isteri saya pula menambah.

“Tapi kan Humaira’, bukankah lebih baik jika punya wajah yang cantik dan akhlak yang baik. Bagi ayah, Humaira’ ini telah punya wajah yang cantik sangat, jika akhlak baik bukan sahaja orang lain akan sayang pada Humaira’, tapi paling penting adalah Allah akan sayang. Bila Allah sayang, maka Allah akan hadiahkan kita syurga.” Saya menyudahkan tazkirah ringkas sambil mengangkat kepalanya dan meletakkan dirinya yang di atas riba.

Saya dan isteri saling pandang memandang, kemudian kami berdua memeluk dan mencium puteri sulung kami ini.

Semoga Humaira’ nanti akan mempunyai sekeping hati yang cinta dan selalu rindu akan perjumpaan dengan tuhannya.






Allah Akan Memenangkan Mereka yang Berjuang


“Ayah, tu dekat Palestin kan ayah?” Humaira’ bersuara tatkala melihat berita tentang pergolakan di Mesir. Saya juga terpaku ketika itu di hadapan televisyen menatap berita yang begitu mendebarkan secara langsung dari Medan Tahrir. Kegilaan Hosni Mubarak dalam mempertahankan kuasa telah menyebabkan ramai rakyat Mesir telah terkorban dalam memperjuangkan kebebasan dan keamanan.

Saya terdiam seketika, tidak menjawab soalannya kerana masih khusyuk dengan laporan berita tentang pergolakan yang sedang berlaku di Mesir juga kebangkitan umat Arab di negara-negara yang lain dalam menentang pemerintah mereka yang zalim. Melihat saya sedang khusyuk menatap berita, Humaira’ membiarkan sahaja, mungkin dia tahu saya tidak mahu diganggu buat seketika.

“Err...Humaira’ yang tadi tu bukan dekat Palestin, tapi dekat Mesir” saya menjawab soalannya ketika laporan berita dunia telah mula beralih ke berita tentang Negara lain pula.

“Oooo, yang tembak tu Israel ke ayah?” Humaira’ bertanya penuh keikhlasan. Sebelum ini, banyak berita dan dokumentari yang memaparkan krisis Israel Palestin kami lihat bersama dan setiap kali itulah saya menerangkan kepadanya akan kejahatan Zionis yang menindas rakyat Palestin. Hingga hari ini, setiap kejahatan yang dilihatnya di kaca televisyen atau suratkhabar pasti Humaira’ akan mengaitkannya dengan Israel.

“Hmmm, bukan Humaira’, yang ini tentera Mesir, mereka menembak penunjuk perasaan yang berhimpun ramai-ramai untuk meminta seorang ‘raja’ mereka yang jahat bernama Hosni Mubarak untuk berundur.” Saya menerangkan.

“Hosni Mubarak adalah kawan Israel sekarang, dia ini amat jahat dan juga selalu tolong Israel untuk bunuh orang Islam di Palestin.” Saya menjelaskan lagi mengapa Hosni Mubarak amat dibenci oleh rakyat Mesir secara khusus dan masyarakat Islam dunia secara amnya. Sesungguhnya dialah yang telah membantu dalam menyekat bekalan bantuan ke Gaza dan sentiasa bekerjasama erat dengan Israel untuk memantau pergerakan kumpulan Hamas.

“Humaira’ tahu tak, zaman dahulu, di Mesir juga ada seorang raja yang sangat jahat, Firaun namanya.” saya mengalihkan kisah di Mesir kembali ke ribuan tahun yang lampau untuk mencari pengajaran berguna buat dirinya juga buat diri saya.

“Tahu-tahu, yang selalu ayah ceritakan pada Humaira’ lah kan.” Sebelum ini, kisah Nabi Musa sering saya ceritakan padanya sebelum waktu tidurnya juga tika berperjalanan di dalam kereta. Banyak kisah tentang pertarungan Nabi Musa dan Firaun yang pernah saya ceritakan padanya, tapi seingat saya, tidak pernah saya menceritakan kepadanya tentang bagaimana Firaun dan tenteranya menemui ajal. Inilah saat yang sesuai agaknya.

“Begini, Humaira’ tahu kan yang Firaun ini amat benci kepada Nabi Musa kan? Saya cuba mengingatkannya akan permusuhan aqidah antara Firaun dan Nabi Musa.

“Tahu-tahu, sebab Nabi Musa ajak Firaun sembah Allah kan.” Alhamdulillah, pengajaran kisah itu masih segar di mindanya.

“Ok, bagus. Begini kisahnya, suatu hari, kemarahan Firaun terhadap Nabi Musa telah memuncak, lalu dia membuat keputusan untuk membunuh Nabi Musa dan pengikutnya dengan apa cara sekalipun.”

“Lalu Firaun pun mengumpulkan askar-askarnya semua lengkap dengan senjata dan kuda-kuda untuk melawan Nabi Musa dan pengikutnya yang tidak ada senjata.”

“Senjata tu apa ayah?” Humaira’ mencelah, rupanya terma senjata belum masuk dalam kamus pemikirannya.

“Oh! Senjata tu maknanya alat yang orang gunakan untuk berperang, contohnya macam pistol, kereta kebal dan pedang. Cuma zaman dahulu, pistol masih tiada, yang ada mungkin hanya pedang dan pisau sahaja.” Saya mengagak, mungkin juga pada tamadun dahulu persenjataannya lebih canggih, wallahua’lam.

“Boleh ayah sambung cerita? Ke ada apa-apa lagi yang Humaira’ hendak tanyakan?” saya bertanya jika mungkin masih ada perkara-perkara yang tidak dapat digambarkan dalam mindanya.

“Tiada, sambung ayah, Humaira’ nak dengar lagi.”

“Nabi Musa dapat tahu tentang Firaun dan askar yang ingin membunuh mereka, lalu dia mengajak pengikutnya semua untuk lari kerana dia tahu jika dia memilih untuk berlawan, pasti dia akan kalah dan pengikutnya semua akan dibunuh.”

“Nabi Musa dan pengikutnya pun lari ke suatu tempat, tetapi Firaun dan tenteranya dapat tahu dan mengejar mereka.”

“Nabi Musa dan pengikutnya lari dengan bersungguh-sungguh hingga akhirnya mereka semua sampai di kawasan tepi laut. Mereka tengok di belakang dan nampak tentera Firaun semakin lama semakin dekat.”

“Semua pengikut Nabi Musa ketakutan, sebab di hadapan mereka laut, tidak lagi mereka boleh lari sementara di belakang, tentera Firaun semakin dekat untuk membunuh mereka semua.”

“Tapi, Nabi Musa tenang sahaja sebab dia tahu Allah akan menolong mereka semua dan Nabi Musa pun berdoa agar Allah membantu mereka.”

“Kemudian Allah pun memberitahu kepada Nabi Musa untuk mengetuk tongkatnya di hadapan laut tersebut. Nabi Musa pun mengikut arahan tersebut dan kemudian terbelahlah laut. Bila lautan terbelah, kawasan yang ada air sebelumnya boleh mereka semua lalui.” Ketika ini saya menggayakan tangan dan efek bunyi untuk menunjukkan bagaimana caranya lautan terbelah. Harapnya dia tidak bertanya pula secara saintifik tentang bagaimana lautan boleh terbelah. Jenuh hendak menerangkan.

“Lalu Nabi Musa dan pengikutnya lari melalui celah-celah laut yang terbelah tadi. Firaun dan askar-askarnya juga masih belum berhenti mengejar walaupun mereka rasa pelik bagaimana lautan boleh terbelah.” Saya menyambung kisah.

“Akhirnya, Nabi Musa dan pengikutnya sampai ke hujung lautan dan mereka pun kembali naik ke darat, sementara Firaun dan askar-askarnya masih berada di tengah-tengah lautan yang terbelah tadi.”

“Bila Nabi Musa dan semua pengikutnya dah selamat naik ke darat, laut yang terbelah tadi pun Allah cantumkannya kembali. Firaun dan askar-askarnya semua terkejut dan takut, dan kemudian akhirnya semuanya mati lemas dalam laut.” Saya mengakhiri kisah sementara Humaira’ mendengar tanpa berkelip matanya.

“Begitulah Firaun mati Humaira’, walaupun Firaun itu kuat, banyak senjata dan ramai pula askarnya, tapi tetap mereka dikalahkan. Bukan Nabi Musa yang mengalahkan mereka, tapi Allah yang memenangkan mereka ke atas Firaun dan askar-askarnya yang jahat.”

“Palestin yang kita nampak setiap hari tertindas dan ditembak oleh Israel pun suatu hari akan begitu juga kesudahannya Humaira’. Walaupun hari ini kita nampak Israel tu kuat, banyak senjata, kapal terbang dan kereta kebal, tapi suatu hari nanti mereka pasti akan dikalahkan oleh Allah. Cuma kita ni, Allah minta kita untuk usaha dan lawan sekuat hati dengan orang-orang yang jahat macam Firaun ataupun Israel, dan bila kita lawan bersungguh-sungguh, Allah akan memenangkan kita dan mengalahkan orang-orang yang jahat.”

“Ooooo” dia mengangguk-angguk, harapnya kefahaman yang ingin saya terapkan dari pengajaran kisah Firaun akan melekat di mindanya. Mudah-mudahan anakku ini akan membesar menjadi seorang srikandi yang akan teguh hatinya berjuang untuk membebaskan bumi Al Aqsa.

Insyaallah.