Bersediakah kita untuk menjawabnya?

Mendidik anak memang payah, ia adalah mujahadah.

Ada yang berjaya, tapi lebih banyak yang tewas dalam perjuangan mendidik anak-anak dalam era dunia sama rata kini. Tewas kepada suasana, tewas kepada televisyen, tewas kepada Internet, tewas pada teman anak-anak mereka. Akhirnya, ibu bapa kecewa, anak-anak menjadi mangsa dan struktur masyarakat menjadi huru-hara.
Teringat saya pada satu pengisian tentang pendidikan anak-anak yang diberi oleh Cikgu Rusdi Baharom satu ketika dahulu, katanya.





“Mendidik anak-anak ini ibarat terjun dari kapalterbang dengan payung terjun, kita hanya ada satu peluang untuk membukanya, jika gagal, maka jatuhan itu pasti tidak akan sempurna dan kita akan mengalami impak yang cukup menyakitkan jika tidak kematian yang mendatangi.”

Ketika itu saya baru berkahwin, dan masih tidak dapat memahami sepenuhnya kata-kata tersebut. Kini, anak sulung semakin membesar, sementara yang kecil dengan telatahnya yang tersendiri dan pada masa yang sama saya melihat anak-anak yang membesar dalam pelbagai suasana dan saya semakin nampak akan maksud di sebalik dan betapa benarnya kata-kata tersebut.

Pendidikan anak-anak adalah proses, setiap fasa ada tuntutannya yang tersendiri. Sebelum berkahwin, ketika jimak, trimester pertama, kedua dan ketiga, saat menyambutnya, input yang diterima ketika 0-6 bulan, 6 bulan hingga 1 tahun, 1 – 3 tahun, 4- 6 tahun, 6 – 10 tahun, 10 – 15 tahun dan 15 – 21 tahun.

Setiap satunya memerlukan perincian khusus dan ada kaedah-kaedah tertentu dan peranan-peranan tertentu oleh ayah dan ibu yang digariskan oleh Islam jika kita mahu melahirkan insan cemerlang.

Jika tersalah input atau kita gagal menunaikan hak pada salah satu dari fasa tersebut dengan sempurna, maka jatuhannya pasti akan cacat. Fizikalnya mungkin sempurna, tapi rohani dan emosinya berkemungkinan retak dan lebam di sana sini.

Jika mendidik anak-anak didefinisikan dengan memberi makanan, minuman, perlindungan maka apa bezanya kita dengan lembu, kambing dan buaya. Bahkan buaya jauh lebih cemerlang dari kita dalam menjaga dan memastikan keselamatan anak-anak mereka.

Tapi mendidik anak-anak manusia menjadi khalifah adalah satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan faham, cermat dan bersungguh-sungguh.

Tanggungjawab ini bukan tanggungjawab Ustaz di sekolah agama, bukan juga tanggungjawab Perdana Menteri atau para Mufti, tapi hak mutlak pendidikan anak-anak adalah pada ayah dan ibunya seperti mana disabdakan oleh baginda dalam sebuah hadis yang masyhur bahawa corak dan warna agama yang dibawa oleh anak adalah hasil cantingan ibu bapanya.

Justeru sebagai ibu bapa, tidak terlepas tanggungjawab agama anak-anak kita jika sekadar kita menghantarnya ke sekolah agama atau memanggil Ustaz untuk mengajar Al Quran di rumah.

Ilmu pendidikan anak-anak harus dipelajari, ia tidak akan datang sendiri. Anak-anak yang soleh yang kita impikan sebagai bekal pahala berterusan buat kita setelah kita tiada harus dirancang dan dibentuk sepertimana jurutera merekabentuk bangunan, seperti mana juruanalisa sistem merekabentuk sebuah sistem maklumat atau pengkalan data dengan menggunakan teknik dan kaedah termaju.

Anak-anak bukan sekadar anugerah, tapi ia adalah amanah yang harus dipikul dengan penuh dedikasi tanpa rasa jemu dan lelah. Setiap kita, terutamanya bapa akan ditanya tentang amanah anak-anak yang telah dipikulnya tika di dunia.

Bersediakah kita untuk menjawabnya?

No comments:

Post a Comment