Carilah Jalan Untuk Kembali Kepada Tuhan

Segalanya musnah sekelip mata, rumah, bangunan, pejabat, sekolah, kereta dihanyutkan seperti mainan-mainan kecil.
Banjir besar di Queensland, gempa bumi di Christchurch dan beberapa tempat lagi di seluruh dunia dan terbaru Jepun pula dikejutkan gempa yang amat kuat hingga mengakibatkan tsunami yang membadai tanpa belas ihsan siapa sahaja yang berada dalam laluannya, mengorbankan ribuan nyawa dan mengakibatkan kemusnahan harta benda serta pasti akan memberi impak ekonomi yang pasti akan menggegarkan bursa-bursa saham dunia.

Semua ini berlaku dalam sela waktu yang amat dekat pada ketika tahun 2011 belum pun mencecah suku yang pertama dan jangan lupa bahawa baru tahun lepas dunia menyaksikan beberapa kejadian letusan gunung berapi yang terkuat dan cuaca luarbiasa yang mengejutkan. Kita semua berdebar-debar menanti, apakah bala seterusnya yang bakal menimpa umat manusia. Seakan rantaian bala ini tidak akan berhenti setakat ini sahaja.

Tika Allah hendak memusnahkan sesuatu kaum atau kawasan, tidak ada sesiapa pun yang akan terkecuali walaupun dia berlari ke bukit yang tertinggi. Berada di luar dari lingkaran api pasifik bukanlah jaminan bahawa kita akan terselamat dari bala yang Allah hendak timpakan kepada mana-mana kawasan yang diingininya.

Dalam saat-saat begini, terasa betapa ‘fragile’nya nyawa manusia dan teknologi-teknologi canggih yang dibangunkan, amat kerdil rasanya berhadapan dengan kuasa yang menguasai dan memiliki alam semesta.

Tamadun yang dibangunkan berpuluh-puluh tahun dengan usaha  yang cukup gigih dan berdisplin (sifat rakyat Jepun), musnah hanya dalam masa beberapa jam sahaja.

Bayangkan, tika kita punyai rumah yang cantik, kereta yang baik, kerjaya yang tinggi (gaji pun pasti tinggi juga) hasil usaha kerja keras bertahun-tahun, tiba-tiba segalanya musnah sekelip mata. Maka ketika itu, usaha dan kerja keras kita langsung tidak ada nilainya kecuali amal-amal soleh yang mendapat pengiktirafan dari penghuni langit yang tertinggi.

Berada dalam suasana dunia yang berada di penghujung usia dengan ayat-ayat peringatan-peringatan berupa bala bencana yang semakin hebat ditonjolkan, kita semua harus mula sedar dan insaf bahawa hidup kita di dunia ini hanyalah seketika cuma, dan akan tiba harinya kita semua akan dikumpulkan kembali untuk menghadap Rabbul Jalil.

Namun, hidup mesti diteruskan, benih kurma yang berada ditangan harus kita tanam walau kiamat hanya sedetik tikanya lagi, namun orientasi kehidupan kita harus berubah.  Kita harus mula mencari matlamat hidup yang hakiki, hidup di atas muka dunia seperti mana yang tuhan kita inginkan bukan seperti mana yang nafsu kita mahukan.

Hidup untuk kehidupan yang lebih panjang, bukan hidup sekadar menghabiskan umur mengejar nikmat dunia yang tidak akan berkesudahan.

Dalam kesibukan kerjaya ataupun tika bergelut dengan nota-nota pengajian, ambillah masa untuk menyelak lembar-lembar kitab Al Quran dan petunjuk dari hadis-hadis nabinya yang mulia. Rujuklah perjalanan hidup para anbiya dan solihin, berdampinglah dengan orang-orang yang soleh yang boleh menunjukkan kita jalan menuju cahaya. Mencari bahagia yang hakiki, bukan fatamorgana yang menipu pengembara yang kehausan di padang pasir yang tandus.

Carilah jalan untuk kembali kepada tuhan. Jika peringatan begini pun tidak kita hiraukan, maka janganlah hingga tiba saatnya nanti malaikat maut berada di hadapan mata baru hendak menyesal dan mencari jalan pulang.

No comments:

Post a Comment