Islam Untuk Semua


Hari pertama Humaira' ke sekolah, cukup ceria.

Saat pulang dari pejabat adalah antara waktu-waktu yang menggembirakan. Sambutan meriah Humaira’ dan Khadijah yang melompat-lompat dengan penuh riang di hadapan pintu tika saya pulang menghilangkan seketika segala keserabutan dan gundah gulana yang saya hadapi dalam perjalanan panjang menuntut ilmu di negara orang.

“Macamana sekolah tadi? Humaira’ belajar apa kat sekolah hari ini?” Saya bertanya kepadanya saat melabuhkan punggung di meja makan menunggu teh tarik panas dihidangkan. Masih terasa penat mengayuh basikal sejauh 9 kilometer dari ‘Pulteney Street’ ke rumah saya walaupun peluh yang menitis hanya beberapa titik kerana cuaca yang kering dan sejuk.

“Best ayah, tapi tak ingat lah belajar apa.” Humaira’ menjawab sambil mengunyah potongan buah epal. Walaupun usianya baru 6 tahun dan jika di Malaysia masih di tadika, tapi peraturan sekolah di Australia menetapkan bahawa kanak-kanak harus ke sekolah seawal usia 5 tahun.

“Macamana boleh tak ingat pula? Kata ‘Best’.” Saya menyoal kembali, tidak puas hati dengan jawapan sambil lewa yang diberikan.

“Ala tak ingat la.” Mudah sahaja dia menjawab dengan wajah selamba.

“Oh ye, tadi Humaira’ cakap berkenaan Khadijah tak masa sesi bercakap di hadapan tadi?” Setiap hari Selasa adalah giliran Humaira’ untuk bercakap di hadapan kelas dalam bahasa Inggeris berkenaan apa jua topik.

“Tak ingat lah ayah, ” masih jawapannya dengan wajah selamba.

“Asyik tak ingat je, ke Humaira’ malas nak cerita?” Saya menduga dan kemudian menyambung bicara.

“Kata nak cerita pasal adik Khadijah, jadi ke?” Asalnya saya mencadangkan kepadanya untuk bercerita tentang adik Khadijah. Cerita mudah tentang makanan dan permainan yang digemari adiknya. Beberapa kali kami telah berlatih di rumah sebelum tibanya hari Selasa.

“Tak lah, Humaira’ cerita pasal mainan tadi.” Rupanya bukan tidak ingat, sengaja malas diceritakannya. Telah saya jangka.

“Hari ini Humaira’ berkawan dengan siapa?” Saya menukar topik perbualan kerana melihatnya kurang berminat untuk berbual tentang pembelajaran.

“Oh, hari ini Humaira’ berkawan dengan Anushi, Niso dan Ming Yan.” Dia menyebut nama beberapa orang kawan barunya.

“Humaira’ bercakap tak dengan dia orang?” Saya bertanya lagi, cuba menggalakkannya untuk bercakap tentang sekolah barunya. Kami memang telah dipesan oleh guru kelasnya untuk sentiasa bertanya kepada Humaira’ sendiri akan pengalamannya di sekolah.

“Tak” dia menjawab sambil kepalanya digelengkan.

“Habis macamana Humaira’ berkawan?” Saya tertanya-tanya.

“Humaira’ senyum-senyum sahaja.” Jawapan yang sungguh jujur diberikannya.

“Macam-macamlah hang ni,” spontan saya member respon sambil tergelak kecil.

“Ayah, tadi ada budak tegur Humaira’, tapi dia bukan dari kelas Humaira’.” Kali ini dia pula yang membuka cerita.

“Iye, dia tegur apa?” Saya menunjukkan wajah penuh minat, menggalakkannya untuk bercerita lebih lagi.

“Dia kata, “Hello, i’m a muslim”, tapi Humaira’ pelik lah, dia nampak macam orang Pakistan, dan dia tak pakai tudung pula,” jelas Humaira’, jelas ada tanda keliru di wajahnya. Menarik persoalan ini, persoalan yang mungkin tidak akan timbul jika dia bersekolah di Malaysia.

“Oh! Humaira’, itu maksudnya dia beragama Islam, sama macam kita. Cuma kita ini orang Melayu. Humaira’, Islam ini bukan untuk orang Melayu sahaja. Sesiapapun boleh jadi Muslim. Orang putih, orang hitam, orang India, orang Cina, orang Jepun, semuanya boleh jadi muslim.” Saya menjelaskan agar dia faham bahawa Islam itu adalah agama untuk semua bangsa.

“Mr. Johnson Cikgu Humaira’ di sekolah pun boleh jadi Muslim walaupun dia orang putih, begitu juga dengan Anushi dan Ming Yan, walaupun mereka India dan Cina.” Saya menyambung penjelasan dan memberikan contoh agar dia lebih faham.

“Melayu itu adalah bangsa, manakala Islam itu agama. Humaira’ berbangsa melayu dan beragama Islam. Faham tak?”

“Menjadi muslim, Allah perintahkan kita untuk solat, baca dan faham Al Quran, selalu berdoa, tutup aurat, buat baik kepada ibu bapa, guru dan kawan-kawan.” Saya menjelaskan beberapa perintah Allah, agar dia faham bahawa semuanya itu adalah tuntutan bagi seorang muslim bukan kerana dia berbangsa melayu.

“Kalau ada kawan-kawan Humaira’ tanya, Humaira’ ajarlah kawan-kawan tentang Islam ye. Beritahu mereka yang Islam ini agama yang baik. Bukan hanya kena pakai tudung dan solat sahaja. Tapi Humaira’ beritahulah mereka yang Islam ini mengajar untuk buat baik pada ibu bapa, cikgu dan kawan-kawan, juga mengajar untuk tidak buang sampah merata-rata dan  sentiasa suruh untuk jadi orang yang rajin dan kuat berusaha.” Walaupun saya sendiri pun belum mempunyai kekuatan untuk mengaplikasikannya kepada kawan-kawan yang bukan Islam, namun saya mengajarkannya juga kepada Humaira’. Mudah-mudahan jiwanya yang masih fitrah itu akan lebih mudah untuk menerima dan mengaplikasikannya berbanding saya yang telah dewasa dan banyak dosa ini. Setiap muslim sepatutnya adalah pendakwah kepada agamanya.

“Ala, tak nak lah ayah, Humaira’ tak pandai.” Telah saya agak respon yang sebegitu akan diberinya.

“Kalau tak pandai, nanti lah ayah ajarkan ye.” Saya memujuk.

“Ala, tak nak, malulah ayah.” Wajahnya kemerah-merahan sedikit, tersipu-sipu. Mungkin juga gementar dan susah hati memikirkan cadangan saya itu.

“Malu pulak dah, ala bukannya nak suruh buka baju, malu apanye?” saya cuba membetulkan sifat malu yang tidak bertempat itu. Malu sepatutnya kerana melanggar perintah Allah, bukan kerana ingin menegakkan kalimahnya. Juga pesanan untuk diri saya.

“Malu jugak.” Wajahnya ditundukkan, tidak berani dia merenung tepat ke mata saya.

“Ok lah tak mengapa, nanti ayah doakan agar sifat malu tu hilang ye,” saya mengusap-usap belakangnya, memujuknya lagi sambil menghadiahkannya senyuman yang manis. Walaupun mungkin dia tidak akan melakukannya sekarang, tapi mudah-mudahan kefahaman ini akan mendorongnya suatu hari nanti untuk menjadi pendakwah kepada agamanya. Kerana tiada kalam yang lebih baik yang diungkapkan oleh seorang manusia selain dari kalam untuk mengajak manusia ke arah jalan yang maha esa.

No comments:

Post a Comment