Bahasa Jiwa Bangsa, Taqwa Jiwa Agama

Suasana di Pasar Gepps Cross sibuk seperti biasa.

Cuaca yang cerah dan agak suam dipenghujung musim sejuk ini menambah kemeriahan pasar pagi yang boleh dikatakan antara yang terbesar di Adelaide dan menjual pelbagai barangan dari buah-buahan dan sayur-sayuran segar, buku-buku, aneka jenis makanan, barangan antik hinggalah kepada kereta, basikal dan motosikal juga kadangkala boleh dijumpai dengan harga yang amat murah di sini.

Seperti biasa, kami sekeluarga akan mengambil kesempatan untuk mejenguk dan mencari bahan-bahan bekalan dan keperluan rumah kerana harga barangan disini  yang amat murah berbanding di tempat lain.

Biasanya isteri saya yang akan mengetuai ‘kontinjen’ sementara saya dan anak-anak hanya mengekor dan mengikut dari belakang sambil menyorong troli barangan.

“Ramainya Muslim kat sini kan ayah,” Humaira mengeluarkan kenyataan ketika kami berhenti di sebuah gerai menjual sayur. Kami bertiga setia menunggu sementara ketua ‘kontinjen’ memilih sayur yang ingin dibeli.

“Iye, ramai nampaknya.” Saya mengiyakan kenyataannya sambil mata saya juga melihat-lihat ramainya bilangan muslim yang bertandang ke pasar pagi ini. Mungkin Humaira’ mengenalinya dengan melihat lilitan tudung di kepala.

Memang benar, pagi ini kelihatan bilangan muslim yang bertandang lebih ramai dari biasa. Mencari kelengkapan dan bekalan untuk Ramadhan yang akan bermula esok agaknya.

Sedang kami menunggu di tepi gerai sayur, seorang lelaki melayu yang agak saya adalah dari kalangan pelajar ijazah pertama dari Malaysia melintas di hadapan kami. Kelibatnya biasa saya lihat di kampus, tapi tidak pernah berkesempatan untuk menegur.

Ketika melintas, pelajar itu masih dalam keadaan berbual melalui telefon bimbit menyebabkan dia tidak perasankan kami yang berada berhampiran. Saya melihat sahaja dia berlalu pergi.

“Tadi tu orang Islam juga kan?” Tanya Humaira’ setelah pelajar lelaki melayu tadi berlalu pergi.

“Iye, mana Humaira’ tahu?” Saya bertanya kembali.

“Sebab dia cakap Bahasa Melayu.” Jawab Humaira’.

“Oh!” Tidak sangka jawapan itu pula yang keluar dari mulutnya.

“Betullah orang tadi tu Islam, tapi Humaira’ ingat semua orang Muslim boleh cakap Melayu ke?” Saya bertanya untuk mengesahkan kefahaman. Kebetulan pula kawan-kawan muslimnya di East Torrens yang dikenali seperti Danish, Najlah dan Farah, semuanya boleh bercakap Bahasa Melayu.

“Yelah.” Jawabnya ringkas membuatkan saya menggaru kepala.

“Sebenarnya sayang, tidak semua orang Islam itu boleh berbahasa melayu. Di sini, ada juga orang Arab, India, Afrika dan orang Inggeris yang muslim, tapi tidak boleh berbahasa melayu. Macam yang Humaira’ jumpa ramai di kelas hari Sabtu itu lah.” Saya mula bercerita sementara menunggu Isteri memilih aneka jenis sayur untuk dibawa pulang. Bahasa adalah jiwa bangsa, tapi taqwa adalah jiwa agama.

“Orang Arab, dia cakaplah bahasa Arab, orang Cina dia cakap bahasa Cina, kalau orang India, dia akan bercakap dalam bahasanya. Tapi, orang apa jua mereka sekalipun, jika mereka muslim, sepatutnya mereka kena sembah Allah dan solat seperti kita solat.”

Saya menambah perkataan SEPATUTNYA, kerana muslim hari ini tidak seperti generasi awal muslim yang terdahulu.

Ada yang namanya muslim tapi cara hidupnya adalah cara hidup barat, halal dan haram dalam makanan dan transaksi kewangan tidak termasuk dalam pertimbangan. Islam padanya hanyalah ketika nikah, mati dan solat hari raya sahaja.

Menjadi muslim, punya ertinya yang tersendiri. Islam bukan hanya sekadar agama ritual tetapi adalah agama yang menyeluruh dan perlu dihayati dalam seluruh kehidupan.

Cara kita berfikir, cara kita bercinta, cara mendidik anak-anak, cara berinteraksi dengan ibu bapa, cara bergaul dengan jiran dan rakan sekerja, cara kita mencari rezqi, cara kita bertransaksi dengan orang lain yang Islam dan bukan Islam bahkan segalanya, Islam ada tatacaranya yang tersendiri yang harus difahami dan diikuti oleh setiap muslim.

“Cuma Humaira’, di sini, tidak semua orang Arab yang kita jumpa itu adalah Islam, ada juga Arab yang bukan muslim. Samalah macam orang Inggeris di sini, ada juga orang Inggeris yang Islam.” Sambung saya lagi sambil teringat kepada beberapa orang Inggeris yang saya ketahui telah kembali kepada Islam dan beberapa orang Arab yang rupanya seperti muslim tetapi hakikatnya bukan.

“Dalam Islam, tidak kira bangsa apa kita sekalipun, Arab, Cina, India, Melayu atau Inggeris, kita dengan orang Islam yang lain semuanya bersaudara. Kita mesti sayang dan tolong mereka jika mereka dalam kesusahan, macam di Palestin.”

Saya menyambung lagi, mengaitkannya pula dengan hubungan ukhuwwah sesama muslim. Hubungan yang kini semakin terhakis dalam masyarakat muslim di mana-mana. Hidup mementingkan diri dan keluarga sendiri sahaja dan tidak pernah ambil peduli akan kesengsaraan yang dialami oleh muslim di tempat-tempat lain.

Sedangkan Nabi pernah bersabda bahawa muslimin itu adalah ibarat satu tubuh. Satu bahagian badan yang mengalami kesakitan akan turut dirasai kepedihannya oleh bahagian badan yang lain.

“Jom-jom, kita ke kedai sana pula, cepat!” Jeritan ‘ketua kontinjen’ pagi itu menangguhkan seketika majlis ilmu antara kami di tepi gerai sayur. Walaupun ringkas, tapi sungguh bermanfaat. Alhamdulillah.

Hijrah kami ke sini membuka dimensi baru tentang Islam untuk kepada saya dan keluarga. Saya bersyukur dapat melihat kepelbagaian dan warna-warna walaupun ada ketikanya kami tersesat dalam rindu dan keliru.

Semoga Allah terus membimbing kami sekeluarga menuju jalan redhanya.

Salam Ramadhan Buat Semua.
Hisham, Syifa, Humaira’ & Khadijah





No comments:

Post a Comment