Mengapa Melayu? Islam itu kan universal...

“Mujur aku kenal Islam terlebih dahulu sebelum aku kenal Melayu, kalau tidak mesti aku tidak akan tertarik dengan Islam.”

Saya percaya, ramai dari kita pernah mendengar ungkapan sebegitu. Ungkapan yang menunjukkan bahawa bangsa Melayu yang cukup sinonim dengan agama Islam di Malaysia sedang berhadapan dengan krisis identiti yang cukup parah.

Tanpa perlu melihat kepada statistik masalah sosial remaja, lihat sahaja di mana-mana dan kita akan dapati, bahawa juara kepada masalah sosial di mana-mana adalah dari bangsa melayu.

Namakan apa sahaja masalah, buang bayi, merempit, curi motosikal, lepak, ponteng sekolah, dadah, merokok di sekolah, bergaduh, pergaulan bebas, kemiskinan, rasuah, pelacuran dan macam-macam lagi, maka kita akan dapati bahawa belia dari kalangan bangsa Melayu adalah juaranya.

Pergilah ke KLCC, Taman Tasik Titiwangsa, Mid Valley atau Jalan TAR, dan lihat juga di panggung wayang, di konsert-konsert dan pesta, lihatlah siapa penghuninya dan siapa yang paling banyak terlibat dalam masalah ‘couple’ dan pergaulan bebas.

Pergi juga ke sekolah-sekolah , universiti-universiti tempatan dan tanyakan pada guru-guru dan pensyarah-pensyarah tentang siapa yang bermasalah dalam akademik dan syakhsiah.

Itu belum dikira bilangan yang solat 5 waktu sepenuhnya, yang menutup aurat dengan sempurna, yang iltizam dengan akhlak dan adab-adab Islam seperti solat berjemaah dan tilawah Al Quran harian.

Kalau tidak percaya, buatlah satu tinjauan rambang di mana-mana sekolah atau IPTA di Malaysia, dan tanyakan pada pelajar-pelajar Melayu Muslim, berapa ramai yang solat fardhu 5 waktu sehari semalam. Jangan terkejut dengan hasilnya.

Belum lagi kita membincangkan tentang masalah ekonomi orang melayu yang jauh ketinggalan dalam setiap aspek.

Lebih menakutkan jika kita melihat kepada bilangan yang murtad di Malaysia.

Jika kita lihat dengan mata, kita renung dengan perasaan dan kita faham betul-betul realiti ini maka kita akan dapati bahawa bangsa ini tidak lagi menjadi contoh yang terbaik kepada bangsa-bangsa lain. Usahkan hendak menjadi contoh, bahkan sekarang ini mula kedengaran ungkapan-ungkapan dari mereka yang berbangsa melayu sendiri yang malu dilahirkan sebagai bangsa ini.

Menyedari akan kelemahan inilah, maka ISMA mengambil pendirian untuk memfokuskan dakwah kepada bangsa melayu buat masa ini, agar bangsa ini kembali menjadi kuat dan mulia untuk dicontohi oleh bangsa-bangsa lain yang bukan Muslim di Malaysia.

Bukan hendak mengabaikan dakwah kepada bangsa-bangsa lain, tetapi atas kapasiti yang masih terhad dan realiti semasa yang begitu mendesak.

Ramai yang mempertikaikan dan menyatakan bahawa ISMA menonjolkan satu fikrah yang bersifat dan berbau perkauman, tapi mengapa sebelum ini tidak ada yang mempertikaikan pertubuhan Islam bagi orang Cina di Malaysia seperti MACMA, Kongress India Muslim Malaysia atau kewujudan masjid India di Kuala Lumpur itu sendiri?



Bahkan di Kelantan, ada satu masjid yang baru di bina di Rantau Panjang yang menggunakan seni bina ‘Cina’ yang cukup menarik. Ketika saya masuk ke masjid ini, tidak pula saya dan rakan-rakan yang lain merasa bahang dan bau perkauman, bahkan saya merasa cukup hormat dan gembira atas keterbukaan kerajaan PAS Kelantan dalam meraikan sifat-sifat unik bangsa Cina.

sumber: Asia Explores

Bila bangsa lain bercakap tentang bangsa mereka, buat beribu-ribu persatuan, merencana pelbagai agenda, tidak mengapa pula, tetapi mengapa bila bangsa melayu bercakap tentang menyelamatkan bangsa sendiri dari jurang kehinaan dan menyatukan mereka atas dasar Islam, pelbagai cop pula yang diberi. Mengapa begitu?

Fikrah dakwah kepada bangsa Melayu yang dibawa oleh ISMA bukan hendak menghidupkan kembali budaya-budaya jahiliah dalam bangsa Melayu yang bertentangan dengan Islam, akan tetapi hendak memahamkan mereka bahawa suatu masa dahulu, bangsa ini adalah bangsa yang mulia dengan Islam dan juga bangsa ini adalah bangsa tonggak yang menjadi contoh dalam pengamalan Islam kepada bangsa-bangsa lain yang wujud bersama.

Fikrah ini juga bukan hendak mengajak bangsa Melayu berbangga dengan budaya-budaya seperti Zapin, Inang, Mak Yong, Caklempong, Gasing, Wau, Laga Ayam dan sebagainya, akan tetapi untuk mengajak bangsa ini agar kembali menjadi bangsa hebat yang mampu untuk menjadi duta kepada Islam di seluruh Malaysia.



Fikrah Melayu sepakat juga bukan hendak mengajak untuk menyokong parti-parti tertentu, tetapi untuk mengajak bangsa Melayu yang terpecah dalam kelompok politik UMNO, PAS dan PKR untuk meletakkan isu-isu dan kepentingan umat Islam di tempat yang teratas dalam jua pertimbangan politik.

Tidak bolehkah kita saling hormat akan perbezaan pandangan dan cara fikir, meraikan perbezaan pendapat asal ianya masih dalam batas syara’ dan bersatu atas perkara-perkara yang kita sepakati bersama.

Tidak ada masalah bagi mereka yang tidak setuju dengan tulisan ini dan menyatakan bahawa fikrah melayu muslim ini adalah selamanya tidak relevan kerana Islam adalah agama universal dan dakwah kepada bangsa sendiri adalah seruan jahiliah.

Tidak ada masalah juga bagi mereka yang mengatakan dalam masa sekarang adalah lebih utama berdakwah kepada bangsa Cina, India dan bangsa-bangsa lain, mengetuk setiap pintu rumah mereka dengan iman dan menerangkan kepada mereka kemuliaan Islam dengan hujah dan dialog yang bernas.

Cuma, jangan sekadar berkata, memberi komen dan mengkritik kerja orang lain dalam FB, blog dan forum sahaja, tapi laksanakanlah agenda tersebut secara individu  atau dalam pertubuhan masing-masing dengan penuh kesungguhan.

Ingatlah, amat besar kemurkaan Allah bagi mereka yang hanya pandai berkata, tapi tidak mengota dan melaksana apa yang dikata.




"Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat?"







"Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tiada kamu kerjakan."

(As Soff : 2- 3)







Belajar Dari Ratatouille


“Hah, apa pengajaran yang Humaira’ dapat dari cerita Ratatouille yang kita tonton tadi?”  Tanya saya selepas filem Ratatouille tamat.

Untuk yang tidak mengetahui, Ratatouille adalah kisah berkenaan seekor tikus kecil yang pandai memasak. Cukup menarik kisahnya. Sarat dengan pengajaran berguna buat mereka yang punya cita-cita.

“Hmmm...tikus tu pandai masak?” Jawab Humaira dengan nada penuh tanda tanya. Keningnya diangkat sedikit.

“Aiseh...memang la tikus tu pandai masak...tapi apa yang kita boleh belajar dari cerita tikus yang pandai masak tu?” Saya menjelaskan lagi soalan agar masa yang saya habiskan bersamanya selama 2 jam untuk menonton filem itu tidak sia-sia.

“Aaa...tikus tu masak sedap!” Jawab Humaira’ dengan penuh keyakinan.

“Alamak! Saya menepuk dahi sambil tertawa.

“Memanglah tikus tu masak sedap. Baiklah, biar ayah terangkan.”

“Sebenarnya, tidak kira saiz kita kecil atau besar, lemah atau kuat, rendah atau tinggi, kita boleh menjadi hebat jika kita benar-benar berusaha untuk mencapai apa yang kita inginkan.” 
Jelas saya. Itulah pengajaran paling besar dalam filem tersebut, iaitu walaupun kecil dan kelihatan mustahil, namun tidak ada cita yang tidak boleh kita capai jika kita punya azam yang teguh dan keinginan yang tinggi dalam mengorak langkah untuk mencapai cita-cita.

“Faham ke Humaira?” Tanya saya kembali.

“Faham-faham.” Jawabnya pendek dan saya mengangguk-angguk.

“Ayah, besar nanti, Humaira’ nak jadi pandai masak macam tikus tu lah.” Sambung Humaira’.

“Aaaa, kenapa nak jadi macam tikus tu, Humaira’ mesti jadi lebih hebat dari tikus tu. Kalau nak jadi hebat apa yang perlu Humaira’ buat?”

“Kena usaha!” Jawabnya penuh keyakinan.

“...dan rajin belajar...jangan malas-malas...kena sabar....” sambung saya lagi.

“Ok, jom kita tidur, dah lewat ni.” Saya mengajaknya untuk tidur. Moga pengajaran dari Ratatouille akan tersemat dalam mindanya, menjadikan dia seorang yang berjiwa besar dan sentiasa berusaha untuk mencapai cita-citanya.




Antara HIMPUN dan Muammar Ghadaffi

Manusia merancang, tapi jangan dilupakan bahawa pada masa yang sama Allah juga merancang dan pastinya perancangan Allah itulah yang terbaik.

Dengan promosi yang meluas dan publisiti yang diterima, Sekretariat HIMPUN mungkin menjangkakan bahawa Stadium Shah Alam paling tidak akan separuh penuh dengan kehadiran sekitar 50 ribu. Tapi akhirnya kehadiran hanya sekitar 10 – 12 ribu orang sahaja. Angka yang jauh dari sasaran.

Jika dibandingkan dengan BERSIH 2.0 yang berjaya menghimpunkan lebih kurang 40 – 50 ribu orang atau perlawanan akhir Piala Malaysia tahun lalu antara Selangor bertemu Kelantan yang mengumpulkan hampir 80000 penyokong dari kedua-dua belah pasukan, HIMPUN jauh ketinggalan.

Kehadiran yang rendah ini mungkin adalah manifestasi terhadap beberapa perkara yang masih melingkari pemikiran masyarakat seperti
1.    
Sindrom ‘aku tidak pedulisme’ yang amat menebal dikalangan kebanyakan masyarakat dan sikap ‘tidak apa’ hingga menyebabkan umat tidak ambil peduli kecuali untuk urusan-urusan kehidupan yang bersangkut paut dengan karier dan keluarga semata-mata.

2.    Sentimen kepartian yang masih menebal bilamana HIMPUN dilihat sebagai mempunyai agenda UMNO dibelakangnya kerana menampilkan ikon yang pro melayu seperti Mufti Perak dan PERKASA, permit diluluskan dengan mudah dan mendapat sokongan juga dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Jamil Khir. Walaupun mendapat sokongan beberapa tokoh dari PAS seperti Ustaz Nasarudin Hasan Tantawi, Ustaz Nik Abduh Nik Abd Aziz, Dr. Hasan Ali juga tokoh seperti Ustaz Zaharuddin Abd Rahman dan tidak ketinggalan juga ramai dari para penasyid tempatan, masyarakat mungkin masih punya rasa ragu, terutamanya mereka yang menjadi penyokong dan pendokong kepada Pakatan Rakyat.

HIMPUN hari ini membuktikan bahawa perjalanan masih lagi jauh bagi penggerak dakwah untuk mengubah masyarakat dan menyatukan ummah. Tiada jalan pintas melainkan jalan tarbiah dengan sabar dan penuh mujahadah.

Hari ini juga dunia menyaksikan bagaimana Muammar Ghadaffi dibunuh tanpa belas kasihan oleh penentang-penentangnya dan mayatnya dihina dengan sehina-hinanya dengan diletakkan di bilik sejuk sebuah pasaraya lama. 5 tahun yang lalu, ketika masih di puncak kekuasaan, bersuara lantang, punya pengawal dan pasukan tentera yang kuat dan sewenang-wenangnya melakukan kezaliman, beliau mungkin tidak pernah menyangkakan bahawa pada satu masa, dia akan dihambat dan akhirnya ditemui sedang meyorok seperti tikus yang sedang melarikan diri dari kucing yang ingin menangkapnya sebelum ditangkap dan dibunuh dengan cara yang amat hina.

Jadi, apa kaitannya? Apa pengajarannya? Apa kaitan antara HIMPUN dan Muammar Ghadaffi?

Baca perenggan pertama di permulaan artikel dan anda akan memahaminya.

Kemenangan dan kekalahan itu mungkin akan hadir dengan cara yang tidak disangka-sangka. Biarkan orang lain berbicara, apa yang penting, terus bekerja!

Seindah Taman Firdausi


“Abang, cantik tak baju baru Syifa ni?” Tanya isteri saya pada suatu hari. Saya memandang dengan sebelah mata sambil membaca suratkhabar dan kemudian dengan nada dan eksperi wajah yang selamba saya menjawab.

“Hmmm, cantik.”

“Hmmpphh, abang ni, bosan betullah, tak tau langsung menghargai!” balas isteri saya dengan nada merajuk dan kemudian berlalu pergi dengan wajah yang masam.

Saya mengangkat kepala tercengang-cengang sambil berkata di dalam hati.

“Apa salahku?”

Satu hari di jalan yang sibuk,

“Ayang, cuba tengok kereta Mazda 3, cantik betul ‘design’ dia ye, sangat aerodinamik dan menawan.” Saya menunjukkan kepada isteri kereta Mazda 3 yang terbaru yang punya rupa yang amat memikat. Bukan ingin membeli, tapi sekadar menyatakan kekaguman saya kepadanya. Namun ada maksud tersirat di sebalik pertanyaan tersebut.

“Aaaa, cantik-cantik...” Jawab isteri saya dengan nada selamba tanpa langsung melihat kereta tersebut.

“Hish, belum tengok dah tahu cantik, macamana tu?” Saya mempertikaikan jawapannya dan sejurus itu dia memalingkan kepala untuk melihat ‘rupawan’ di jalanan itu.

“Hmmm, cantik.” Jawab isteri saya dengan wajah yang hampir tiada ekspresi.

“Bosan betul, tak menghargai langsung kecantikan kereta tu.” Saya memulangkan buah keras kepadanya.

“Apa yang cantiknya, sama je...asal berjalan sudah...” jawab isteri saya. Sedikit tidak puas hati.

“Haaa, faham pun perasaan kita. Bila Syifa tanya abang tentang baju ke, pinggan ke...itulah yang abang rasa. Asal pinggan itu tak pecah dan boleh makan nasi, sudah. Corelle, Norikate atau Pyrex, itu semua abang tak ambil ‘port’ pun. Samalah macam perasaan Syifa bila abang tanya tentang aksesori kereta macam sport rim ataupun design baru kereta Mazda 3 tadi.” 

Jelas saya dengan nada ‘kemenangan’.

Isteri saya hanya ketawa dan kemudian berkata.

Apa-apa ajelah labu, yelah abang menang...”

Lelaki dan wanita, adalah makhluk yang berbeza. Wanita tidak boleh mengharapkan lelaki dapat berfikir dan berfungsi sama sepertinya. Begitu juga dengan lelaki, tidak wajar jika kita mengharapkan isteri yang sentiasa akan dapat memahami cita rasa, hobi atau cara fikir lelaki yang jauh berbeza.

Sebagai contoh, dalam memohon pertolongan lelaki untuk mengemas rumah atau menukar pampers anak. Isteri tidak boleh mengharapkan lelaki akan memahami apa yang tersirat dalam kepala isteri dan melakukan segala tugasan rumahtangga dengan penuh ‘passion’ dan teliti. Begitu juga suami, tidak salah sesekali kita memujinya dengan tulus, membawanya berjalan di taman bunga atau pasaraya yang diminatinya (kalau mampu la) dan menyatakan kalimat-kalimat yang bakal menghangatkan kembali hubungan rumahtangga.

Apa yang penting, perbezaan-perbezaan ini tidak harus dinafikan dan menjadikan suami dan isteri semakin jauh dan menjadi alasan untuk keduanya tidak berkerjasama dalam membangunkan rumahtangga bahagia, sebaliknya ia adalah satu rahmat yang dijadikan oleh Allah agar suami dan isteri dapat hidup saling lengkap melengkapi.

Sesekali berbeza pendapat dan bergaduh. Itu adalah lumrah dalam rumahtangga yang akan menyuburkan lagi kasih sayang antara suami dan isteri.

Sebagai contoh, dalam urusan pendidikan anak-anak, ketelitian seorang wanita dan visi juga ketegasan seorang ayah amat penting dalam mencorakkan anaknya agar menjadi insan yang seimbang.

Buat para isteri, jika suamimu mungkin kurang romantik, ,tidak pernah membantu urusan dapur, tidak pandai berbincang atau tidak pernah memberikan hadiah pada harijadimu, berlapang dadalah sedikit dan usahlah rimas dan mengumpat dirinya kerana diluar sana ada banyak isteri-isteri yang saban hari menjadi mangsa deraan lelaki ganas, disimbah asid dan ditendang tanpa henti. Ingatlah juga bahawa diluar sana, tidak kurang wanita yang saban hari berdoa agar dipertemukan jodoh namun masih menanti detik bahagia hingga lanjut usia.

Jangan sesekali membandingkan suamimu dengan lelaki lain di luar sana, itu adalah pantang yang paling besar buat dirinya.

Buat para suami, jika isterimu mungkin wajahnya tidak secantik Maya Karin, bebelnya sehebat ‘machine gun M16’ dan masakannya tidak sehebat Chef terkemuka, bersabarlah sedikit kerana dia masih sudi untuk menemanimu saban waktu, mengemas rumah dan berkorban untukmu walaupun tidak sesempurna mana. Ingatlah bahawa Rasulullah pernah berpesan “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya. (HR Tirmidzi)”.

Jangan sesekali membandingkan isteri dengan ibu kita kerana itu adalah pantang terbesar buat dirinya.

Justeru itu, berlapang dadalah pada sedikit perbezaan-perbezaan yang wujud dalam rumahtangga, banyakkan toleransi, budi bicara dan saling memahami kerana ia adalah kunci dalam mewujudkan rumahtangga seindah dan seharum taman Firdausi.

Apa Itu Cinta?

Saya memerhatikan wajah kedua-dua anak saya yang sedang tidur. Sungguh damai wajah mereka. Wajah yang suci tanpa dosa memang mengundang damai bila memandangnya. Saya mengambil masa yang lama merenung dan kemudian mencium dahi kedua-dua mereka. Setelah itu perlahan saya membisikkan ke telinga masing-masing,

“Besar nanti jadi anak yang solehah ye, taat pada Allah, ikut suruhan Rasulullah dan taat juga pada ayah dan ibu.”

Antara perkara yang sering saya buat kepada anak-anak adalah berpesan kepada mereka sejurus sebelum mereka tidur juga pada waktu mereka baru sahaja melelapkan mata. Pesanan-pesanan pada waktu begini dikatakan oleh pakar motivasi amat berguna untuk membentuk jati diri anak-anak kerana ia akan melekat di dalam minda bawah sedar mereka.

Selesai urusan dengan anak-anak, saya menutup lampu bilik dan memasang alat pemanas kerana suhu masih lagi sejuk walaupun musim dingin telah berakhir.

Saya tidak terus menuju ke bilik, sebaliknya saya duduk sebentar di atas sofa melepaskan lelah mencari kekuatan bagi membaca jurnal dan menulis bahagian metodologi penyelidikan. Saya mencapai majalah Solusi di atas meja terlebih dahulu untuk membina fokus, namun bait-bait tulisan kelihatan seperti cacing yang menari-nari membuatkan mata ingin terkatup segera.

Ternyata saya tidak mampu untuk fokus kerana mata terlalu mengantuk. Nampaknya saya terpaksa menangguhkan seketika hasrat untuk membaca jurnal malam ini, harapnya esok saya akan punya kesempatan.

Saya meletakkan majalah Solusi dan termenung seketika. Teringat kalimah cinta yang kali pertama saya lafazkan kepada isteri sewaktu berbulan madu dahulu. Setelah 7 tahun berkahwin dan diuji dengan bermacam-macam perkara, saya semakin memahami akan makna cinta yang sebenar.

Cinta itu bukan sekadar rasa sayang antara lelaki dan perempuan.

Cinta itu juga bukan hanya pada memberi hadiah harijadi, mengirimkan kad hari raya dengan bait-bait kata yang puitis mahupun pemberian bunga pada hari-hari istimewa.

Cinta itu juga, pastinya bukan keluar bersama pada setiap hujung minggu, setia menghantar sms pada setiap pagi bertanyakan khabar, atau bergayut berjam-jam di corong iPhone.

Itu bukan cinta, tapi buaya, jika ia dilakukan sebelum lafaz akad “Aku Terima Nikahnya!”.

Tapi, cinta itu adalah tanggungjawab.

Cinta itu hadir bersamanya tanggungjawab. Tidak ada cinta tanpa tanggungjawab.

Cinta pada Allah menuntut kita untuk taat segala suruhan dan perintahnya.

Cinta pada Rasul, menuntut kita untuk berkorban dan menjadi pengikutnya yang setia.

Cinta pada isteri pula, hadir bersamanya tuntutan untuk mendidiknya dengan penuh tanggungjawab, mengajarkan mereka urusan-urusan agama. Cinta itu juga pada sabarnya suami dalam memahami perasaan isteri, menghormati keluarga mertuanya, menjaganya dengan setia ketika isteri dirundung kesakitan dan menanggung makan dan minumnya selagi tidak berpisah jasad dan nyawa.

Cinta pada suami pula, menuntut isteri untuk setia menghiburkan hatinya, menjadi teman setia dikala duka atau gembira. Mengingatkannya jika terlupa. Menjaga rahsia dan aib suaminya dengan penuh waspada dan juga pada menjaga maruah dan rumahtangga tatkala suami keluar bekerja.

Cinta pada anak-anak, menuntut kita untuk mendidik mereka dengan penuh kasih sayang dan tanggungjawab, mengajarkan mereka menjadi insan berguna pada agama, bangsa dan negara dan agar mereka tidak menjadi bahan bakar api neraka.

Cinta itu adalah tanggungjawab dan ia akan dibuktikan dengan pengorbanan, bukan sekadar lafaz sayang. Itulah cinta pada pandangan saya.

  

Mencari Sebuah Redha

Add caption

“Sakitnya perut ayang ni, Ya Allah.” Keluh isteri saya pada jam 230 pagi. Saya terkebil-kebil melihat dalam samar-samar cahaya, hanya mampu untuk mengurut-urut dan memicit-micit dengan minyak cap kapak sebelum saya tertidur semula tanpa menyedari apa yang terjadi selepas itu.

Ketika saya bangun semula untuk solat Subuh, ternyata isteri saya masih dalam keadaan kesakitan.

“Tak tidur ke semalam?” Saya bertanya sambil menggeliat, memang liat untuk keluar dari selimut ketika suhu mencecah bawah 10 darjah celcius.

“Tak boleh nak tidur, pedih sangat ulu hati. Lepas tu muntah pula lagi sekali.” Jawab isteri saya yang masih terbaring lemah. Wajahnya kelihatan amat pucat kerana setiap kali makan dan minum, dia akan memuntahkannya semula sejak 3 hari yang lalu.

Walaupun telah masuk minggu ke 13, kesan hyperemesis masih kuat. Tidak ada tanda-tanda ianya semakin berkurangan.

“Tak mengapalah, insyaallah, pagi ni kita ke hospital, dah tak boleh ditangguh lagi ni, nanti dehidrasi dan mudarat pula pada bayi.” Saya membalas bicara dan terus keluar ke bilik air.
Di hadapan sinki saya termenung panjang sementara menunggu air paip menjadi suam. 

Teringat senarai panjang tugasan yang saya buat hari ini. Terpaksa semuanya saya tangguhkan untuk membawa isteri saya ke hospital yang pastinya akan memakan masa yang amat lama.

“Ahh, biarlah...tugasan itu bukannya tak boleh ditangguh...(walaupun banyak yang telah lama tertangguh)” saya bermonolog sendiri dan terus mengagahkan diri mengambil wudhuk dan kemudiannya ke masjid Wandana seawal jam 4.30 pagi untuk solat subuh berjemaah.

8 tahun yang lalu, ketika saya mencari calon isteri (cewah!) dikalangan akhawat UUM, antara ciri yang saya lihat adalah kecergasan dan kelincahan dalam bertindak.

Ternyata ciri tersebut, termasuk beberapa ciri yang lain ada pada seorang Ukhti (siapa lagi, isteri saya sekarang la), yang menyebabkan saya cenderung untuk melamar dirinya bagi menjadi teman hidup.

Kelincahannya berbasikal dalam menyebarkan dakwah ketika di UUM, kelantangannya dalam mesyuarat dan keberaniannya untuk bertanya dan juga kemahirannya dalam sukan ping pong amat menarik hati saya.

Saya mengharapkan agar sifat-sifat tersebut akan terus kekal hingga selepas perkahwinan agar urusan dakwah dapat dilakukan dengan lebih laju dan rumahtangga juga akan lebih dinamik dengan sentuhannya.

Itu harapan saya sebelum berkahwin. Tidak pernah sekalipun saya membayangkan akan kesakitan-kesakitan yang bakal dialaminya selepas perkahwinan.

Ketika mengandungkan anak pertama (Humaira’), saya jadi keliru. Akhawat yang dahulunya kelihatan lincah dan hebat tiba-tiba merudum kesakitan. Keluar masuk wad untuk masuk air menjadi rutin. Itu belum dikira ‘mood swing’ yang membingungkan saya yang mengalaminya buat kali pertama.

Selepas bersalin anak pertama, timbul pula sakit-sakit lain yang memerlukan kepada beberapa pembedahan. Saya yang asalnya langsung tidak tahu memasak dan mengurus teknikaliti dalam rumahtangga termasuk menjaga anak (Humaira’ yang masih kecil), terpaksa juga ambil tahu dalam keadaan terpaksa yang amat sangat.

Walaupun ketika mengandungkan Khadijah, muntah-muntahnya berkurangan, namun kini dengan anak ke 3, ia datang kembali dengan lebih kuat dan lama. Menyebabkan sekali lagi saya terpaksa ‘beraksi’.

Apa yang ingin saya katakan di sini adalah, kehidupan berumahtangga itu adalah sesuatu yang tidak akan dapat boleh kita jangka.

Suami boleh mengharapkan isteri yang cantik wajah, bertubuh ‘solid’, matang, manja, sentiasa sihat dan lengkap serba serbi. Namun bila taqdir mendahului dan andaikata dia ditimpa kesakitan seperti kanser yang menyebabkan segala kecantikan dan kelincahannya hilang, apakah kita akan terus menyayanginya, ataupun kita akan kecewa dan meninggalkannya untuk memuaskan hawa?

Kita juga boleh meletakkan pelbagai harapan sebelum perkahwinan. Untuk mempunyai kerja tetap yang menjanjikan pendapatan lumayan, punya rumah yang luas untuk berehat dengan tenang, punya kereta yang baik untuk pulang ke kampung sebulan sekali menjengah ibu bapa dengan wajah ceria, punya anak-anak yang comel dan ceria buat penghias rumahtangga, bercuti ke destinasi indah setahun sekali dan pelbagai lagi fantasi.

Namun, jangan terlalu bermimpi, kerana ada masanya, rumahtangga akan menjadi medan ujian buat kita. Mungkin dalam bentuk krisis dengan ibu bapa atau keluarga mertua yang tidak sebulu. Mungkin juga dengan anak-anak yang sentiasa sakit dan mungkin juga dengan masalah kewangan yang tiba-tiba meruncing. Apa bentuknya untuk kita, hanya Allah yang maha mengetahui.

Namun apa jua bentuknya, kita harus bersedia.

Oleh itu, dalam mencari calon dan menyediakan minda untuk sebuah perkahwinan, sekali lagi saya ulang dan akan saya terus berpesan, usahlah mencari dan mengharapkan kesempurnaan kerana ia tidak akan dapat dicapai melainkan jika kita telah menjejakkan kaki ke syurga.

Rumahtangga adalah medan untuk kita mencari sebuah redha buat bekal untuk kita menahan diri dan ahli kita dari menjadi bahan bakar api neraka. Bersediakah wahai anak muda?

Women’s and Children Hospital, Adelaide, Australia.
5 Oktober 2011.

Coretan Malam Minggu 12

Terasa ingin mencoret sesuatu malam ini.

Minggu ini, masuk minggu ke 12 kehamilan. Menurut kata Doktor Eva yang merawat isteri saya di Tudor Medical Centre tempohari, dalam tempoh ini biasanya hormon akan kembali stabil dan ketika ini isteri saya akan sembuh dari muntah-muntah teruk yang sedang dialaminya.

Namun, jangkaannya tidak berlaku kerana telah 2 bulan setengah dan hingga saat ini, isteri saya masih mengalami muntah-muntah yang amat teruk setiap kali menjamah apa jua makanan dan terhidu bau yang kurang menyenangkan dari dapur ketika saya memasak.

Berat badannya telah susut sebanyak 9 kilogram dan sememangnya dia kelihatan amat kurus berbanding sebelumnya. Kasihan saya melihatnya hanya mampu terbaring di katil tidak bermaya dalam tempoh 2 bulan ini akibat sering muntah. Walaupun ada beberapa hari rasa segar datang menjengah, namun tidak lama.

Dapur rumah kami juga telah tidak menerima sentuhannya selama hampir 3 bulan. Segala tugas-tugasnya telah saya ambil alih. Dari memasak, menguruskan anak-anak, mengemas rumah dan menyelesaikan urusan timbunan kain, segalanya saya lakukan.

Adakalanya, daging yang digoreng, hitam di kuali kerana khayalan saya dengan formula statistik yang masih belum saya fahami. Pampers Khadijah juga sering bocor kerana ketidakprihatinan dan malasnya saya untuk memeriksa, padanan stokin Khadijah juga adakalanya tidak sama kerana sukar untuk saya mencari padanannya dalam timbunan kain yang bagaikan banjaran titiwangsa dan kadang-kadang Humaira’ juga terlepas van ke sekolah kerana saya tidak sempat untuk menyediakan bekal makanannya ke sekolah. Maafkan ayah ye...

Sesekali terasa juga sempit dada tatkala pelbagai urusan berkaitan pengajian dan dakwah yang datang menghimpit pada masa yang sama, namun bantuan dari akhawat Adelaide dari rumah Barakah (Sarah, Miza, Anna, Raudhah ...), Nawar ( Eisya, Atiqah dll), Wafa (Nasruna, Syafiqah, Syidah dll) yang sesekali datang untuk mengemas dapur, menjaga anak-anak dan juga memasak pelbagai lauk dan kuih yang istimewa, banyak meringankan beban dan amat-amat kami hargai. Tidak terbalas rasanya budi baik kalian semua.

Namun, banyak juga hikmah dari sedikit keserabutan ini. Saya belajar untuk mengurus masa dengan lebih baik. Kemahiran memasak saya juga telah meningkat dengan banyak. Hubungan saya dan anak-anak juga bertambah mesra kerana banyak sentuhan ayahnya dalam menguruskan segalanya walaupun tidak sempurna.

Tanpa disangka-sangka juga, kertas cadangan PhD saya juga diterima hanya dengan sedikit cadangan dari penilai walaupun saya sedar, amat banyak kelemahan dalam penulisannya. Bajet juga diluluskan tanpa banyak soal. Segala puji bagi Allah yang mempermudahkan segala urusan.

Semoga isteri saya akan dikurniakan kesihatan yang baik dan dilepaskan dari rasa mualnya dengan segera. Semoga setiap kesakitannya akan menghapuskan dosa-dosa dan akan menjadi pemberat timbangan di akhirat sana.