Lelaki Melayu Gay: ‘Dia’ Bukan yang Pertama, Bukan yang Terakhir

Heboh seketika negara tatkala diberitakan pelajar yang hilang baru-baru ini di Dublin, Ireland, dikatakan telah berkahwin dengan seorang lelaki dalam majlis yang penuh ‘gilang gemilang’.

Tidak dapat saya bayangkan perasaan ayah dan ibunya, remuk redam jiwa menanggung derita akibat kehilangan anak yang dipelihara sejak kecil. Tidak cukup dengan itu, terpaksa pula membayar semula biasiswa hampir sejuta ringgit kepada Petronas akibat anaknya lari dari perjanjian dan tidak menghabiskan pengajian.

Allahurabbi.
Namun usah terkejut, kes ini bukanlah kes pertama yang melibatkan lelaki melayu muslim, dan percayalah ia bukan kes yang akan menjadi kes terakhir.

Saya pernah berbual-bual dengan Dr. Zainurrashid ketika kedatangannya ke Adelaide baru-baru ini sempena program Palestin. Kisah pelajar melayu ‘menjadi Gay’ (tidak tahu apa istilah yang sesuai), bukanlah kes baru di Dublin, menurutnya, semasa zaman beliau belajar di sana, juga pernah ada beberapa kes gay berlaku yang melibatkan pelajar melayu.

Begitu juga di Adelaide, kisah pelajar Melayu yang memilih mazhab ‘gay’ sebagai ‘cara hidup’ bukanlah tidak pernah terjadi, dan jangan terkejut jika saya katakan bukan hanya seorang, malah ‘berorang-orang’ yang telah memilih untuk menjadi pengikut mazhab tersebut di sini.

Lebih malang, ada yang sampai ke tahap menjadi aktivis bagi memperjuangkan hak golongan ini pula. Nauzubillah.

Itu belum kita dengar kisah di Negara lain.

Saya percaya, kes ini bukan hanya berlaku kepada pelajar di luar negara, bahkan juga berleluasa di dalam negara. Cuma mungkin kurang sensasinya kerana tidak mendapat liputan media atau golongan ini tidak dapat mengembangkan ‘sayapnya’ kerana sekatan-sekatan dan nilai-nilai ketimuran yang masih tinggi di kalangan masyarakat muslim Malaysia.

Cukuplah kita memperkatakan tentang nasi yang telah menjadi bubur, ada baiknya kita memberi fokus kepada apa yang menyebabkan nasi itu menjadi bubur.

Banyak kajian-kajian ilmiah yang saya baca, membuktikan bahawa keinginan homosexual bukanlah satu perkara yang diwarisi akibat kepincangan genetik. Ya, ia bukan disebabkan oleh mutasi genetik seperti yang kita lihat dalam filem X-Men.

Memang ada kajian yang menyatakan bahawa sifat ‘gay’ diwarisi secara biologi, tetapi ia tidak kukuh dan replikasi (kajian ulangan dengan data berbeza) terhadap kajian tersebut gagal mengukuhkan lagi dakwaannya.

Jadi apa faktor yang sebenar-benarnya?

Menurut kebanyakan dapatan kajian, segalanya bermula dari rumah. Daripada banyak kajian yang saya baca, kebanyakan faktor bermula dari didikan ayah dan ibu di rumah. Samada ayah yang tidak menjalankan fungsinya dengan baik dengan mengabaikan tanggungjawab pendidikan dan kasih sayang atau mendera anak lelaki tersebut secara emosi dan fizikal, juga ibu yang ‘super dominan’ di rumah hingga mengakibatkan anak lelaki menjadi benci terhadap kaum wanita adalah antara faktor-faktor utama yang menyebabkan anak lelaki membesar menjadi seorang ‘gay’.

Begitu juga dengan pendidikan songsang ayah dan ibu terhadap anak lelaki. Apabila anak lelaki dibiarkan bermain dengan permainan kanak-kanak perempuan, banyak bergaul dengan kanak-kanak perempuan, tidak didedahkan dengan aktiviti lasak yang sesuai dengan fitrah anak-anak lelaki maka kecenderungan untuk anak itu membesar dengan keinginan seorang wanita iaitu minat kepada lelaki adalah amat tinggi.

Suasana di rumah juga menjadi pemangkin. Rumah yang tidak ada di dalamnya suasana ‘agama’ dan banyak di dalamnya unsur-unsur hiburan dan pornografi tanpa kawalan, juga pendedahan aurat dan tatasusila hubungan antara adik beradik dan ibu bapa tidak dijaga, maka anak-anak akan lebih mudah untuk terjebak dalam gejala yang dilaknat oleh Allah ini.

Atas sebab inilah maka para ibu bapa harus mengambil serius pendidikan adab dan akhlak anak-anak sejak dari kecil. Mendidik anak tidak cukup hanya memberi mereka makan minum dan mendidik mereka untuk lulus peperiksaan dengan cemerlang sahaja, akan tetapi ia jauh lebih besar dari itu.

Tanamkanlah iman dalam diri anak-anak sejak mereka kecil. Didiklah mereka untuk membiasakan diri dengan ibadah-ibadah yang wajib dan sunat agar ia mendarah daging di dalam diri mereka. Wujudkanlah suasana Islami di rumah dengan melazimi zikir dan solat berjemaah bersama.

Anak-anak lelaki, didiklah mereka untuk menjadi lelaki. Biarkanlah mereka bermain hujan, sesekali tidak berkasut bermain di atas kerikil, memanjat pokok, bermain perang-perang, selipar tiga, bolasepak dan sukan-sukan yang akan benar-benar menjadikan mereka membesar sebagai seorang lelaki.

Sementara anak-anak perempuan, didiklah mereka agar benar-benar membesar menjadi seorang wanita. Biarkan mereka bermain dengan anak patung, permainan masak-masak, teng teng, dan permainan-permainan yang akan membentuk jati diri kewanitaan mereka.

Perhatikanlah dengan serius perihal adab, apa yang dilihat oleh anak-anak di rumah melalui kaca TV, aurat antara anak-anak lelaki dan perempuan dan isu pemisahan tempat tidur anak-anak kerana ia amat kritikal dalam memastikan tidak ada kecenderungan seks sejenis yang timbul sejak kecil.

Perhatikan juga dengan siapa mereka berkawan dan sentiasalah beri perhatian jika ada perubahan-perubahan kecil yang dapat dikesan. Periksalah buku nota, Wall facebook dan sms di telefon bimbit (jika ada). Sentiasalah berbincang dengan guru di sekolah tentang akhlak anak-anak.

Cegahlah sebelum ia mula berlaku.

Jangan ingat hari ini ia berlaku pada keluarga orang lain, ia tidak akan sama sekali berlaku pada keluarga kita. Jangan kerana kealpaan kita sebagai ibu bapa, kelak anak-anak kita menjadi mangsa.

Semoga Allah akan memberi petunjuk kepada kita semua dalam mendidik anak-anak dan menyelamatkan kita semua dari bala yang tidak hanya menimpa orang-orang yang zalim sahaja di antara kita semua.

No comments:

Post a Comment