Motivasi Perkahwinan: Allah akan Beri Mampu

Kenangan kereta pertama kami yang penuh dengan nostalgia

“Apa yang menghalang Fatah dari berkahwin?” Saya bertanya kepada graduan muda ini. Usianya telah mencecah 26 tahun, namun masih belum memulakan langkah untuk mendaki tangga Baitul Muslim dengan serius.

Calon telah ada dan tersedia, namun saya hairan mengapa jejaka tampan yang bekerja di firma audit terkemuka di Kuala Lumpur ini sering mengelak apabila diajak untuk berbicara tentang perkahwinan.

Namun hari ini, saya tidak melepaskan peluang apabila dia yang terlebih dahulu membuka topik tentang perkara ini saat kami minum bersama di Medan Mara setelah sebelumnya terserempak kedai buku Pustaka Mukmin di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Mungkin aroma Kebab Syawarma Raihani yang cukup terkenal dijamah pula bersama teh tarik yang panas itu membuka mulutnya untuk berbicara topik yang serius ini.

“Bukan tak ingin berkahwin Abang Sham, cumanya banyak yang bermain di kepala ni, terutamanya tentang urusan kewangan sebelum dan selepas perkahwinan.” Fatah memulakan bicaranya sambil membuka bungkusan Kebab.

“Entahlah, bila memikirkan tentang belanja perkahwinan yang agak mahal, hantaran sahaja dah mungkin mencecah RM 8 hingga 10 ribu, itu belum belanja kenduri di pihak keluarga saya yang perlu saya tanggung sebahagian besarnya. Itu sahaja mungkin sekitar RM 5 ribu.

“Kemudian persiapan selepas perkahwinan lagi, nak masuk rumah, nak beli kereta, nak beli barang dapur dan sebagainya, mungkin mencecah 10 ribu lagi. Itu belum lagi dikira kalau ditakdirkan kami dapat anak dalam tempoh yang agak awal. Banyak belanjanya.”

“Kalau dikira-kira, jumlah wang yang perlu saya simpan sebelum memulakan rumahtangga mungkin boleh mencecah 25 ribu.”

“Gaji saya tolak tambah dalam RM 2500 sahaja sebulan. Tolak sewa rumah, minyak motor, makan, bayar PTPTN dan lain-lain perbelanjaan, tak banyak yang mampu saya simpan untuk tabungan perkahwinan dan saya juga enggan membuat pinjaman atau pembiayaan dari bank untuk menampung kos ini.”

“Jadinya saya rasa saya belum mampu dan belum bersedia dari sudut kewangan untuk berkahwin dalam tempoh waktu yang terdekat ini. Mungkin dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi bila simpanan saya telah mencukupi.” Luah Fatah sambil memegang kepalanya. Berkerut-kerut.

Saya mengangguk-anggukkan kepala. Sesak juga mendengarnya. Apa yang dikatakannya memang benar. Kos hidup yang meningkat di Kuala Lumpur kini memang amat menekan. Apatah lagi dengan belanja hantaran, kenduri kendara, sewa rumah dan sebagainya yang boleh menjadikan urusan membina rumahtangga itu sesuatu yang amat kompleks.

Saya yakin bukan Fatah sahaja yang mengeluh begini, ramai juga dari anak muda yang kecewa dengan kesukaran dan kos perkahwinan yang tinggi, tapi apakan daya, tidak semua ibu bapa yang memahaminya.

Jika bermertuakan ibu bapa yang meletakkan hantaran yang tidak menyusahkan, atau punya ibu bapa yang mampu menyara semua belanja perkahwinan, Alhamdulillah, tapi tidak semua yang bernasib baik begitu, dan Fatah adalah mungkin antara mereka yang termasuk dalam golongan ini.

Tambahan pula dalam tinggal di Lembah Kelang yang punya kos sara hidup yang amat tinggi. Jika di Jitra atau Kota Bharu, kos hidup masih lagi rendah.

Mungkin ini antara faktor utama mengapa ramai belia yang memilih untuk berkahwin lambat atau mungkin terus terjebak dalam maksiat. Perkara yang halal disusahkan, perkara yang haram dimudahkan pula.

Saya mendiamkan diri sambil mengunyah kebab yang rasanya tiada tandingan di Kuala Lumpur ini (bagi saya lah), berfikir-fikir untuk memberi motivasi. Bukan mudah, kerana situasi yang sedang dihadapinya memang agak sukar.

“Fatah betul-betul nak kahwin?” Saya bertanya kepada dirinya.

“Mestilah nak Abang Sham.”

“Sekuat mana kehendak Fatah tu?” Tanya saya lagi.

“Hmm, memang amat kuat, sebab saya pun rasa yang usia dah agak lewat dan dah sampai masanya untuk saya mempunyai teman hidup yang akan melancarkan lagi perjalanan dakwah.” Balas Fatah.

“Sebenarnya, Abang Sham rasa, kehendak Fatah belum benar-benar kuat lagi.” Saya membidas.

Fatah seolah-olah tersentak dengan kata-kata saya tadi.

“Apa maksud Abang Sham?” Tanya Fatah kehairanan, ada riak tidak puas hati di wajahnya. Mungkin egonya sedikit tercabar.

“Maksud Abang Sham adalah, bila kita ada kemahuan, pasti akan ada jalan-jalannya.” Saya mula memberikan penjelasan.

“Fatah pernah berbincang dengan bakal isteri atau keluarga bakal isteri dan menyatakan kekangan yang dihadapi. Tanya pendapat mereka dengan baik?” Tanya saya kepadanya.

“Tak pernah pula, seganlah saya.” Jawab Fatah sambil menggaru hidungnya yang agak mancung.

“Fatah pernah berbincang mak dan ayah Fatah, nyatakan tentang banyaknya belanja untuk kenduri dan Fatah tidak mampu untuk menanggungnya buat masa ini?” Saya bertanya lagi. Soalan yang lebih kurang sama.

“Tak pernah juga.” Jawab Fatah, nada suaranya semakin perlahan.

“Hmm, disitulah kuncinya, apa yang dihadapi oleh Fatah memanglah nampak rumit, belanja yang mungkin besar dan sebagainya, tapi tidak bermakna tidak ada jalan keluar atau ada jalan lain yang boleh dilalui untuk sampai kepada matlamat, iaitu berkahwin.”

“Kena berfikir di luar kotak sikit Fatah.”

“Abang Hisham cadangkan, mulakan dengan berbincang dengan bakal isteri, kalau-kalau belanja hantaran boleh dikurangkan, ataupun kalau memang tidak boleh dikurangkan, boleh juga berpakat untuk sama-sama menanggung belanja tersebut, bukankah bakal isteri Fatah pun baru mula bekerja? Jadi mesti ada juga duit sedikit sebanyak.” Saya memberi cadangan. Perkongsian belanja hantaran yang dilakukan dengan persetujuan bakal isteri (sudah tentu secara rahsia) bukanlah perkara yang tidak biasa saya dengar. Ramai juga dari kawan-kawan saya yang mempraktikkan teknik ini.

“Kemudian tentang belanja kenduri Fatah, kalau tidak mampu, Fatah cuba yakinkan ibu bapa agar dapat dibuat dengan skala yang mungkin kecil sedikit agar tidak menanggung belanja yang banyak.”

“Jelaskan betul-betul situasi Fatah, Insyaallah kalau kena caranya, tidak ada ibu bapa yang akan menzalimi anaknya sendiri. Kehendak Fatah mungkin dapat dipenuhi.”

“Abang Sham yakin, kalau Fatah benar-benar pandai menggunakan kemahiran diplomasi, Insyaallah, sebahagian dari masalah akan dapat diatasi.”

“Kemudian tentang nak masuk rumah, kereta dan sebagainya tu....”

“Awal-awal perkahwinan ni, biasalah akan susah sedikit. Kalau masih belum mampu untuk beli kereta, apa salahnya naik motor berdua. Barulah romantik gitu, berhujan, berpanas berdua sambil mencanda cinta di atas motor Honda Wave 100 yang zuhud, hahaha...”

Merah padam wajahnya yang putih tersebut mendengar ayat saya tadi. Fatah menundukkan wajahnya. Mungkin untuk menyembunyikan reaksi wajahnya yang spontan tersebut.

“Kalau nanti isteri tak nak naik motor, Insyaallah, pengangkutan awam di Kuala Lumpur ni walaupun teruk, tapi tidaklah terlalu teruk. Masih boleh sampai ke rumah lagi.”

“Berdikit-dikitlah dahulu, mungkin awal-awal ni kena cari rumah yang murah dan kecil sedikit, tidur pun atas toto je, sofa dan karpet pun tak perlu beli lagi, barang-barang dapur pun boleh cari yang murah-murah di Mydin. Bila dah ada isteri, pagi-pagi boleh minta tolong isteri masakkan bekal juga, jimat dah belanja kat situ.”

“Lagipun, bila awal-awal perkahwinan ini susahnya ditanggung bersama, itulah yang akan menjadi kenangan manis hingga akhir usia. Untuk dijadikan modal tarbiah anak-anak nanti.”

“Insyaallah Fatah, rezeki Allah tu luas, Abang Sham yakin, kalau rancang belanja betul-betul, tak akan mati kelaparan punyalah. Paling tidak pun mungkin Fatah jadi kurus sedikit je dari sekarang. Tapi rasanya tidak, sebab bila hati bahagia, perut pun selalu kenyang dengan air tangan isteri, ada potensi nak maju ke depan lagi perut tu.”

“Lagipun, kalau Fatah tidak terlibat dengan pinjaman, Insyaallah, tak lama akan stabil.”

“Orang dulu-dulu, kahwin muda, isteri tak bekerja pun, anak 12, 13, boleh juga hidup bahagia. Kita zaman sekarang ni, dua-dua ada pendapatan. Tolong menolonglah nanti kan.”  

“Jangan terlalu risau, rancang strategi betul-betul, banyakkan doa, kalau Fatah betul-betul nak kahwin kerana Allah, Abang Sham amat yakin yang Allah akan permudahkan jalan-jalannya. Allah dah sebut dah dalam surah An Nur ayat 24.”

“Dan kawinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.”

Perkahwinan adalah sebuah ibadah, jadi jalan-jalan untuk menuju kepadanya juga adalah ibadah jika kita niatkan kerana Allah. Berfikir dan bersedia untuk berkahwin, bukan hanya tentang mencari calon yang baik semata-mata, tapi dalam menghadapi realiti semasa yang semuanya memerlukan wang, persediaan ekonomi iaitu mempersiapkan perbelanjaan sebelum dan selepas perkahwinan adalah amat penting, begitu juga dengan ilmu mengurus kewangan.

Berfikirlah dengan serius untuk menghadapi sebuah perkahwinan, jika anda ingin berkahwin 3 tahun lagi, maka mulalah berfikir dan mempersiapkan diri dengan segala persediaan yang perlu bermula dari sekarang. Perkahwinan bukan sekadar penyatuan dua hati, ia jauh lebih besar dari itu.

Semoga Allah akan mempermudahkan jalan-jalannya.

No comments:

Post a Comment