Mengapa Kita MESTI Menolak Liberalisme

“Ayah, malam ni Azim nak tengok televisyen sampai jam 2 pagi lah, teringin nak tengok filem lucah pula sekali sekala. Jangan risau, Azim tak akan ganggu mak ayah dan adik, Azim akan pastikan yang ‘volume TV’ diperlahankan.” Suara Azim kepada ayahnya sambil bersandar di atas sofa.

“Ayah, ayah tak boleh paksa kami makan dan solat bersama. Hak kamilah untuk makan dan solat pada waktu yang kami suka.” Tegas Amran kepada ayahnya sambil menjegilkan mata.

“Hari ini Lisa akan keluar dengan kawan-kawan, dan hanya akan balik jam 3 pagi selepas kami puas bergembira di luar. Jangan risau ayah, Lisa akan jaga diri. Lisa akan minum arak sikit, tapi jangan risau, Lisa tak akan memandu dan tak akan minum hingga mabuk.” Sapa Lisa yang berpakaian seksi kepada ayahnya sambil memakai kasut tumit tinggi di hadapan muka pintu.

“Ayah, tak adillah kakak dapat nasi dan lauk lebih! Adik pun nak sama macam kakak juga!” Raung Izah yang berusia 4 tahun di meja makan sebagai protes kerana kakaknya yang berusia 12 tahun mendapat lauk dan nasi yang lebih banyak darinya.


Sebagai seorang ayah ataupun ibu, apa pendapat anda tentang situasi-situasi di atas? 

Apakah kita akan akur dengannya atas nama hak asasi untuk anak-anak? 

Apakah kita akan buat undi di kalangan ahli keluarga yang lain samada untuk membenar atau tidak membenarkan perbuatan di atas? 

Apakah kita akan memberi kesamarataan hak pada perkara-perkara yang tidak wajar kepada anak-anak yang menuntutnya?

Tidak ada ayah dan ibu yang waras pemikirannya akan membenarkan perbuatan-perbuatan di atas, atas nama hak asasi manusia atau atas nama apa sekalipun!

Simple common sense!

Jika ada ibu bapa yang bersetuju untuk mengikut segala kehendak anak-anak di atas atas nama hak asasi dan kebebasan bersuara, saya berpendapat bahawa sebenarnya anda bersetuju untuk membiarkan anak-anak rosak binasa dan meruntuhkan sistem keluarga.

Jika dalam mentadbir keluarga pun idea liberal berteraskan hak asasi ini tidak dapat diterima oleh akal yang waras, maka apakah logik yang digunapakai untuk meletakkan liberalisasi pemikiran dan hak-hak asasi manusia sebagai sumber utama untuk mentadbir kehidupan manusia.

Islam memelihara nyawa, maruah dan harta manusia namun tidaklah sehingga meletakkan akal manusia sebagai sumber utama untuk mengurus kehidupan manusia dalam apa jua bidang sekalipun.

Idea liberalisme yang mengiktiraf hak golongan gay, lesbian, menghalalkan pelacuran dan kelucahan, membenarkan kebebasan bersuara tanpa had, kebebasan akademik tanpa batasan, kesamarataan hak semua golongan dan menyamakan semua agama harus ditolak oleh umat Islam tidak kira dari parti atau NGO mana sekalipun!

Benar, kita MESTI menyokong pilihanraya yang adil dan telus, menolak kezaliman, pecah amanah, salah guna kuasa dan cengkaman pihak-pihak tertentu terhadap media, namun usaha membebaskannya, harus dilakukan dengan penuh tanggungjawab, agar kebebasan yang lahir adalah kebebasan yang berpandukan syariat, bukan kebebasan melampau tanpa batasan berasaskan kehendak akal manusia tanpa panduan agama.

Bayangkan, jika media dibenarkan untuk bebas menyiarkan apa jua kandungan tanpa batasan, setiap  agama diberi ruang sama rata, pelajar dan pensyarah universiti diberi kebebasan mutlak untuk bercakap dan menulis apa sahaja, tuntutan semua golongan lesbian, gay, ratu pondan, pemabuk, mereka yang ingin berdemonstrasi tidak kira masa dan tempat dan sesiapa sahaja yang memperjuangkan hak dan tidak menganggu orang lain diiktiraf, maka apa yang akan terjadi?

Jika semua tuntutan diambil kira, atas nama hak asasi dan kesamarataan hak, maka akhirnya negara akan cacamarba dan fitrah manusia akan rosak binasa.

Kebebasan itu hadir bersamanya tanggungjawab. Dalam Islam, tidak ada yang dikatakan kebebasan mutlak, kerana Islam ada peraturan yang mengawal segala perlakuan manusia.

Kezaliman jangan berganti pula dengan kezaliman yang lebih halus rupa bentuknya dan harus diingat, keadilan itu bukanlah pada memberikan kesamarataan pada setiap manusia, tapi ia adalah pada meletakkan sesuatu sesuai di tempatnya.

Sifat Islam itu memimpin, bukan dipimpin. Maka akhirnya, Islam harus diletakkan di tempatnya yang tertinggi kerana itulah tempatnya, bukan di bawah bukan di tengah-tengah.


No comments:

Post a Comment