Subhanallah, Semuanya Sungguh Menakjubkan!



“Kenapa Syifa? Sakit kuat ke?” 

Tanya saya setelah melihatnya mengerang. 

Saya merenung jam di laptop, 0100 am. 

Transkripsi beberapa data Queensland dan Western Australia hampir saya siapkan setelah bertungkus lumus sejak jam 10 malam selepas menidurkan anak-anak.

Mata terasa berpinar-pinar.

Saya bertanya lagi,

“Tak boleh tahan dah ke?”

Isteri saya mengangguk-angguk sambil menahan sakit.

Walaupun dijadualkan untuk menjalani pembedahan keesokan paginya, namun tarikh pembedahan yang agak lambat iaitu pada minggu ke 39 menyebabkan ‘contraction’sempat juga untuk singgah.

Saya menghubungi hospital untuk bertanyakan pendapat.

“Bring your wife here, and we’re going to have a check on her.” Jawab staf yang menjawab di telefon.

“Okay, jom kita ke hospital,”


“Kalau sempat mandi, mandi, sebab nanti di hospital susah dah. Kalau tak larat, ambil wudhuk dengan ringkas dan kemudian cuba untuk solat hajat sementara tunggu abang siap jap” arah saya.

Isteri saya menurut semua arahan yang diberi dan semasa saya hendak ke bilik air,kelihatan dia sedang solat sambil duduk. Alhamdulillah, sakit kuat yang datang sebentar tadi kian berkurangan.

Saya sendiri mandi, mengambil wudhuk dan kemudian menunaikan solat tahajjud.

Selesai solat dan minum kopi panas saya melihat isteri saya berdengkur keletihan di atas sofa, tidak sampai pula hati untuk mengejutkannya. Saya melihat jam, hampir 3 pagi. Saya duduk sebentar dan tanpa sedar turut sama terlena hingga tersedar semula jam 5.

Saya berpaling ke sebelah dan melihat isteri saya sedang tercegat duduk menahan sakit.

“Macamana?” Saya bertanya dalam mamai.

“Kita tunggu Subuh la kejap bang, nanti kalau dah di hospital, dah kena periksa nanti, susah nak solat. Tak apalah, sekejap je lagi, Syifa tahan sikit.” Jawab isteri.

Alhamdulillah, dalam keadaan begini, urusan solat masih diutamakan.

Selesai solat Subuh dengan ringkas, saya bergegas mengangkat anak-anak dan barang-barang keperluan ke dalam kereta. Anak-anak saya hantar ke rumah Dr. Nizam yang berhampiran. Syukur, walaupun berada jauh dari tanahair, ada bantuan dan sokongan dari komuniti kecil yang ada di sini.

Tibadi hospital, isteri saya terus dimasukkan ke bilik persediaan. Pemeriksaan rutin dilakukan dan kami berdua ‘disiapkan’ untuk memasuki dewan pembedahan. Rasa teruja tetap ada kerana inilah pengalaman pertama saya dalam dewan pembedahan.

“Bring your camera, but left all your belongings in this room, and please change to this.” Midwife (macam nurse tapi bukan nurse, bidan kot) memberi arahan sebelum saya dibenarkan masuk ke dewan pembedahan. Pakaian harus saya tukar kepada pakaian biru khas yang dipakai oleh semua orang dalam dewan pembedahan.

Saya berbeza hanya pada topi merah yang dipakai, sementara orang lain semuanya bertopi biru.

Selesai semua urusan persediaan dan taklimat akhir, kami berdua berjalan sendiri ke dewan pembedahan ditemani midwife dan beberapa orang doktor yang akan terlibat dalam prosedur.
Isteri saya berbaring sendiri di atas katil dewan pembedahan sementara saya duduk di satu tempat yang telah disediakan. Gerun melihat peralatan-peralatan tajam yang sedang disediakan. Sebentar lagi perut isteri saya akan dibelah!

Setelah menerima beberapa suntikan epidural (bius) dan badan sudah kehilangan rasa, tirai kecil yang menutupi bahagian pembedahan diangkat, menandakan pembedahan bakal bermula.

Saya memegang tangan isteri dan mengajaknya untuk sama-sama berzikir dan membaca beberapa surah dari Al Quran yang dihafal. Wajahnya kelihatan pucat, mana tidaknya, perutnya bakal dikelar dan dibelah untuk mengeluarkan seorang manusia!

Suasana agak tenang dalam zikir diselubungi bunyi Dr. berbual diiringi beberapa bunyi berkerincing pisau yang sedang berlaga.

Ketika kami sedang membaca surah al mulk bersama-sama, kedengaran satu bunyi seperti belon air yang dipecahkan, cuma agak lebih menggerunkan dan kemudian ada seorang Dr. separuh menjerit kepada saya.

“Okay, the baby is almost out, Bab (‘Bab’ ni panggilan orang hospital pada ayah kot), get your camera ready!”

Saya berdiri, dan kelihatan satu pemandangan paling menakjubkan pernah saya lihat seumur hidup saya.

Dalam keadaan perut yang terbuka, kelihatan darah merah di mana-mana dan dalam celahan darah dan belahan pisau, satu tubuh kecil dikeluarkan. Allahuakbar! Sukar untuk saya ungkapkan dengan kata-kata. Segalanya sungguh menakjubkan! Subhanallah!

Saat-saat cemas dan penuh keajaiban, Subhanallah!
Sayamelihat wajah isteri, ada air mata kegembiraan di pelupuk matanya, mendengar tangisan itu dan kemudian melihat wajah si kecil yang jernih, terpadam segala kesakitan dan derita sebelum ini.

Segalapuji bagi Allah yang telah mempermudahkan segala urusan dan mengizinkan anak ini untuk lahir dengan sihat dan sempurna.

2April 2012, si kecil Insyirah dilahirkan ke dunia, hadir bersamanya cinta,kasih sayang dan tanggungjawab yang harus dipikul. Moga Allah memberi kekuatan.

Baarokallohulakafiil mauhuubilaka, wa syakartal waahiba, wa balagho asyuddahu, wa ruziqtabirrohu.

Semoga Allah memberikan keberkahan untuk dirimuatas (karunia) yg diberikan kepadamu. Semoga engkau mensyukuri Yang MahaMemberi hingga sang anak menjadi dewasa dan menjadi anak yang berbakti.

Three lovely sisters, Khadijah, Humaira', Insyirah (from right)

Mohd Hisham Mohd Sharif
Hasifah Zainuddin
Humaira’ Mohd Hisham
Khadijah Hanan Mohd Hisham
Fatimah Insyirah Mohd Hisham

No comments:

Post a Comment