TAPI, TAPI, TAPI

Banyak yang ingin dicoretkan sebenarnya, rasa hati yang membuak-buak ingin dikeluarkan, setiap persoalan yang ingin dijawab, tuduhan dan tohmahan yang ingin dijelaskan, perkongsian-perkongsian menarik yang ingin dikisahkan dan banyak lagi.


TAPI,


TAPI, TAPI, TAPI selain dari masa yang mencemburui, saya cuba untuk tidak bersifat responsif, kerana menjadi manusia yang reaktif itu menyakitkan dan memenatkan. Ia akan menghalang kita untuk fokus terhadap tujuan hidup dan melakukan kerja-kerja yang akan menyampaikan kita kepada matlamat yang lebih jauh, kerana kita akan disibukkan untuk memberi reaksi terhadap apa jua permasalahan yang timbul.


Sebagai muslim, kita memang perlu cakna, tapi, berpada-padalah, kita tidak perlu dan tidak akan mampu untuk menjadi juara dalam segala isu. Fokuslah untuk merawat akar kepada masalah, bukan gelisah dengan simptom yang tidak akan berkesudahan.


Bermulalah dengan diri sendiri, jika diri sendiri pun tidak mampu diubah, maka bagaimana kita ingin mengubah orang lain? Apatah lagi untuk mengubah dunia. Sederhana dan fokus adalah kuncinya.


Full stop. Peringatan ini adalah untuk diriku yang sering lupa, dan jika ada kebaikan darinya, moga pahala akan terus mengalir walaupun jika diri ini telah tidak ada nyawa.

Kenapa kena kahwin dengan akhawat?


“Abang Sham, betul ke ikhwah dan akhawat yang ikut usrah ni dia kahwin sesama ahli jema’ah sahaja, bukankah itu perkara bida’ah dan asobiyyah namanya?” Aiman melontar soalan kepada saya secara tiba-tiba memecah sunyi membuatkan saya terkesima seketika.

Lama saya berfikir, cuba mencari jawapan terbaik untuk dimuntahkan, tapi sebelum itu saya bertanya kembali kepadanya, cuba untuk menyelidiki apa sebenarnya yang tersirat di kepalanya.

“Mengapa anta kata begitu Aiman?”

“Sebab ana tengok, ikhwah dan akhawat ni kalau berkahwin, mesti pilih yang sama jema’ah, mengapa begitu?” Jelas Aiman.

“Okay, di mana salahnya hal tersebut, maksud abang Sham kahwin sesama ahli jema’ah?” Tanya saya lagi, terus menyelidiki.

“Yelah, seolah-olah ada unsur paksaan pula, bukankah kita sepatutnya bebas memilih?” Jelas Aiman, dituruti dengan soalan lagi.

SEMERAH DARAH HUMAIRA'

"Segala perkara yang telah Allah tetapkan, pasti akan ada rahsianya yang tersembunyi. Apatah lagi buat kita yang menjadi barisan hadapan dalam berhadapan dengan musuh Allah zaman ini."

"Kemenangan pasti akan tiba tidak lama lagi, jika tidak di sana, pasti kita akan bergembira di syurga nanti, jangan pernah jemu belajar, jangan mengeluh dengan sedikit kesukaran yang kita hadapi kerana kita adalah umat yang paling mulia kerana kita berjihad di jalan Allah."

Muallimah Husna mengakhiri ayatnya dalam kelas Aqidah petang itu dengan penuh semangat. Semua pelajar kelihatan menumpukan sepenuh perhatian walaupun suasana agak panas.

Tiada kipas buat menyejukkan hawa, hanya angin sepoi-sepoi bahasa yang setia menemani segala lamunan dan perasaan yang dialami. "Ada soalan?"

Tanya Muallimah Husna kepada pelajar-pelajar yang disayanginya.  Khadijah memandang wajah Muallimah Husna dan kemudian tunduk sambil menatap buku teks lusuh yang telah diulang pakai generasi demi generasi. 

"Tuntas, tiada soalan, segalanya sempurna hari ini," bisik Khadijah di dalam hati sambil menutup bukunya. 

Buku usang itu ditatap lama, pandangannya kemudian dialihkan ke luar, kelihatan sebuah masjid yang uzur dengan dindingnya yang berlubang-lubang akibat kesan tembakan peluru Zionis. 

"Biarlah buku usang ini nanti menjadi saksi di hadapan Allah akan azam dan cita-cita kami yang tidak pernah padam untuk membebaskan bumi al Aqsa." Bisiknya lagi di dalam hati.

Khadijah tenggelam seketika dalam lamunan, teringat pesan ayahnya yang telah gugur syahid tidak lama dulu dalam satu operasi di sempadan. 

Menurut khabar, ayahnya syahid bersama tiga rakannya yang lain akibat ditembak peluru berpandu dari pesawat tanpa juruterbang tentera Israel ketika sedang mengawal sebuah kampung di sempadan berhampiran Sderot.

“Khadijah, belajarlah bersungguh-sungguh, Allah, Rasul dan orang-orang yang beriman akan menjadi saksi akan kesungguhan dan tawakkal kita. Dengan iman, dengan ilmu, bahkan dengan darah kita akan bebaskan tanahair kita,” Khadijah seakan tergambar wajah ayahnya yang lembut sedang berkata-kata dengan nada tegas sambil mengenggam penumbuk keras.

Sejak kecil, kalimah itulah yang sering diulang-ulang oleh ayahnya kepada dirinya. Sinar mata ayahnya melambangkan keyakinan bahawa kemenangan itu telah semakin hampir.

“Khadijah, darah ibu dan adik akan kita tuntut bela, keadilan Allah pasti akan tiba, terus berkorban dan berjihad, masanya pasti akan tiba” kata-kata keramat dari ayahnya sentiasa membakar semangat Khadijah, masih basah kenangan pedih melihat ibu dan adiknya Insyirah yang baru berusia 7 bulan terkorban dalam tragedi pengeboman pasar Gaza oleh tentera Israel tidak lama dulu.

Tangisan ayah dan tubuh ibu dan adiknya yang hancur masih jelas terbayang di hadapan mata.  Mengingat kenangan itu, Khadijah mengenggamkan tangan mengingat janji dirinya kepada Allah untuk mencari pembelaan dan keadilan buat keluarganya yang telah terkorban syahid.

“Khadijah, segalanya baik?” Tanpa disedari Khadijah, Muallimah Husna dan seisi kelas sedang memandangnya.

“Insyaallah, baik semuanya” jawab Khadijah dengan penuh adab walaupun sedikit malu.

Muallimah Husna adalah susuk yang amat dihormati oleh Khadijah dan semua pelajar Sekolah Anak Yatim Nursyifa.  Beliau dihormati bukan hanya kerana sifat keibuannya yang penyayang dan pengorbanannya yang tinggi, namun juga atas kesungguhannya dalam mendidik dan menanamkan semangat jihad kepada anak-anak yatim ini. 

Beliau mendidik dengan qudwah dan kasih sayang. Tidak pernah walau sekali, anak-anak yatim itu dikasari dan diherdiknya. Bagi beliau, sekolah ini adalah segala-gala bagi dirinya. 
Sejak kehilangan seluruh ahli keluarganya dalam penyembelihan di kem Jenin yang telah berlaku lebih 10 tahun lalu, Muallimah Husna mewaqafkan seluruh hidupnya kini untuk mendidik bagi membina kembali kekuatan jati diri dan kemuliaan anak-anak yatim Gaza agar mereka membesar menjadi muslim pejuang.

"Baik, kita tangguhkan kelas hari ini dengan ...... " Sebelum sempat Muallimah Husna menghabiskan ayatnya, kedengaran bunyi yang amat menggerunkankan.

“Khadijah, itu bunyi  Apache kan?” Humaira, sahabat karib dan teman sepermainan Khadijah yang duduk di sebelah mejanya bertanya dengan perasaan takut.

Khadijah tidak menjawab, wajahnya kelihatan amat bimbang, dan perasaan itu juga jelas kelihatan di wajah Muallimah Husna.

Dalam suasana begini, apa jua perkara boleh berlaku. Paling ditakutinya adalah apabila peluru perpandu dari helikopter Apache dilancarkan ke bangunan sekolah yang usang kerana dikatakan markas tentera Al Qassam berlindung.

Muallimah Husna, tidak bimbangkan dirinya kerana beliau memang bercita-cita untuk gugur sebagai syuhada, tetapi beliau bimbang nasib 40 anak-anak muridnya. Bunyi itu semakin hampir, suasana di dalam kelas bertukar kelam kabut. Ada yang menangis dan tidak kurang ramai yang bertakbir.

“Anak-anak, cepat masuk ke bawah meja!” Muallimah Husna menjerit, wajahnya juga kelihatan cemas.

Hanya itu ikhtiar yang sempat difikirkannya buat masa ini. Khadijah dan Humaira beserta pelajar lain cepat-cepat menyusup ke bawah meja, namun ada beberapa pelajar lelaki yang meluru ke tingkap dengan wajah yang menyinga sambil tangan mereka menggengam serpihan batu daripada pecahan dinding bilik darjah.  Batu-batu itu dilontarkan ke arah Apache yang kian mengampiri.

Satu letusan kuat kedengaran

KESEDIAAN ITU PERLU DICARI, BUKAN DINANTI


“Abang Sham, macamana kita nak tahu yang kita ni dah bersedia untuk kahwin?” Tanya seorang anak muda kepada saya baru-baru ini.

Saya berfikir sejenak sebelum menjawab, mengingat kembali bagaimana saya membuat keputusan untuk berkahwin dahulu. Sejujurnya, saya sendiri tidak pasti apakah saya bersedia atau tidak, cuma apa yang saya pasti, hati saya telah nekad dan bulat.

Ayah, Humaira' dan Khadijah suatu masa dahulu. Sejujurnya, saya tidak pernah bersedia dan tidak pernah tergambar untuk mempunyai anak, apatah lagi mempunyai 3 anak perempuan, tapi bila masanya datang, kesediaan itu perlahan-lahan dibina, cabaran dan pengalaman akan menjadikan kita manusia yang lebih matang.
Kita tidak akan pernah tahu dan setiap dari kita punya tahap kesediaan yang berbeza. Kesediaan itu perlu dicari, bukan dinanti.” Saya menjawab dengan jujur.

“Cumanya, sebagai satu panduan umum, jika fizikal kita sihat, punya tenaga yang kuat dan fikiran yang sihat untuk mencari rezqi dan sedikit sebanyak ilmu asas tentang rumahtangga dan yang paling penting, ada kesungguhan dan keseriusan untuk berfikir tentangnya, Insyaallah bersedialah tu.”

“Jika kita nak menunggu hingga sempurna semuanya, dari segi ilmu dan kewangan, nak tunggu ada kereta dan rumah yang selesa, barang-barang rumah yang canggih manggih, dan nak menunggu calon yang sempurna ibarat bidadari syurga, alamatnya hingga ke tua lah tak akan berkahwin. Jadi antertu (anak teruna tua) nanti.”

Rahsia Dalam Rahsia

“Bukankah saya kata jangan ‘on’ kan telefon bimbit dalam kelas! Mengapa kamu degil! Keluar sekarang!” Jerkah seorang pensyarah bagai halilintar apabila ‘pantang larang’ utamanya dalam kelas dicabar oleh seorang pelajar yang duduk di tepi tingkap setelah pelajar itu kelihatan sedang menatap skrin telefon bimbitnya dengan amat leka ketika waktu pengajaran.
Dalam satu situasi lain,

“Sejak beberapa minggu kebelakangan ni, ana tengok anta selalu datang lambat ke program usrah atau daurah (seminar), apakah anta tak tahu bahawa nilai masa bagi seorang mu’min adalah lebih mahal dari intan permata?” Nasihat seorang naqib kepada Aiman, anak usrahnya yang sering lambat hadir ke program-program tarbiah sejak akhir-akhir ini.

Aiman hanya tunduk sambil termenung jauh.

Dalam satu lagi situasi,

“#$%^&* punya perempuan, kalau aku jumpa dia, aku akan belasah cukup-cukup!” Komen Husni setelah melihat video seorang wanita memukul anaknya yang masih kecil dengan bantal dan beberapa objek lain bertubi-tubi tanpa belas kasihan.

Apakah persamaan antara 3 kisah di atas? Apa sebenarnya yang ingin saya sampaikan?