BAHAYA FITNAH DAJJAL!


Sejak Olimpik 2012 bermula, pelbagai kisah menarik dimuatkan di laman media sosial. Ada kisah tentang pendakwah berbaju kuning yang gigih melaksanakan tugas mengajak manusia kepada ISLAM. Ada juga kisah tentang atlit lawan pedang Korea yang enggan mengalah, tidak kurang hangat adalah kisah fatwa tentang ‘keharusan’ berbuka puasa oleh atlit Malaysia yang menimbulkan pelbagai polemik.

Paling panas tentunya adalah kekecohan tentang simbol-simbol ILLUMINATI yang dikaitkan dengan DAJJAL yang banyak tersebar dalam sukan Olimpik kali ini. Antaranya adalah maskot Wenlock dan Mandeville yang menimbulkan banyak tanda tanya. Namun, dalam entri kali ini, saya tidak ingin mengulas tentang teori konspirasi atau perincian tentang simbol-simbol tersebut, kerana saya bukanlah ahli dan tidak juga saya berminat untuk mengulas lanjut tentangnya.


Ramai yang bimbang, ramai yang sangsi, tidak kurang juga mereka yang sinis dan tidak merasa apa-apa, namun, apa jua reaksi kita, DAJJAL adalah satu fitnah berbahaya yang PASTI akan melanda umat akhir zaman.

Perlu kita tahu bahawa, bahaya DAJJAL telah diingatkan oleh baginda Nabi dalam banyak hadis, bahkan para Nabi yang terdahulu juga tidak pernah lupa untuk mengingatkan umat mereka tentang fitnah DAJJAL ini. Antaranya melalui hadis Sahih berikut;

“Aku sungguh-sungguh berwasiat agar kamu semua berhati-hati terhadapnya. Tidak ada seorang nabi pun yang tidak memperingatkan kaumnya tentang bahaya Dajjal namun aku akan memberitahu kalian tentang sesuatu yang tidak pernah diberitahu oleh seorang nabi pun sebelumku kepada kaumnya iaitu bahawa Dajjal itu buta sebelah matanya dan Allah itu tidaklah buta sebelah mata. (Hadis riwayat Bukhari)

Lihat bagaimana Rasulullah dan para Nabi yang terdahulu melahirkan kebimbangan terhadap fitnah DAJJAL. Ini menunjukkan bahawa fitnah yang akan dibawanya bukan sebarangan. Pastinya bukan fitnah ‘straight forward’ yang mampu dihindar dengan mudah oleh setiap Muslim yang berhadapan dengannya.

Jangan sesekali kita merasai bahawa kita mampu untuk berhadapan dengan kebejatan fitnah yang dibawanya.

Bahkan, baginda Nabi, mewasiatkan agar kita sedaya upaya menjauhkan diri daripadanya, kerana fitnah yang dibawa olehnya boleh membuatkan iman tercabut!

“Siapa yang mendengar Dajjal hendaklah dia menjauhinya. Demi Allah, ada seorang lelaki yang datang kepadanya dengan penuh yakin dirinya sebagai seorang mukmin namun ternyata akhirnya lelaki itu kemudian menjadi pengikut Dajjal kerana tipu daya yang dilakukannya.” (hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Tidak cukup sekadar kita mengenal simbol-simbolnya. Tidak juga cukup sekadar kita mengenal ciri-cirinya, kerana tipu dayanya adalah luar biasa!

Dalam hadis yang lain, disebutkan bahawa DAJJAL ini ada bersamanya syurga dan neraka, boleh menyembuhkan penyakit dan menghidupkan orang yang telah mati. Cukup menggerunkan!

Pendinding kita yang paling utama pastinya adalah ILMU dan TAQWA, namun, dalam keadaan kita yang punya iman yang lemah seperti hari ini, adalah lebih utama kita berdoa kepada ALLAH supaya dijauhkan kita dari fitnah ini dengan doa berikut;

إِذَا تَشَهَّدَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ ، يَقُولُ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Maksudnya : “ Apabila seseorang dari kamu telah bertasyahud maka hendaklah dia membaca doa memohon perlindungan Allah daripada empat perkara iaitu ya Allah, aku berlindung denganMu daripada azab jahannam, daripada azab kubur, daripada fitnah hidup dan selepas mati dan daripada kejahatan fitnah al-masih Dajjal.” (hadis riwayat Muslim)

Semoga kita dan anak cucu kita tidak termasuk dalam golongan yang akan bertemu dengannya.


Namun, dalam kesibukan kita mengkaji dan meneliti, jangan lupa bahawa kiamat kecil (mati) sentiasa menanti-nanti. Tidak kira DAJJAL muncul atau tidak, kematian pasti akan menghampiri setiap dari kita dengan setiap saat yang berlalu.


Jangan tanya bila DAJJAL akan muncul atau kiamat akan terjadi, tapi tanyalah pada diri, apakah yang telah aku sediakan untuk berhadapan dengannya, dan lebih penting lagi, tanya pada diri, apakah aku telah bersedia andai hari ini nyawa dipanggil pergi.


Ayuh, sama-sama kita jadi golongan yang bekerja!

No comments:

Post a Comment