DULU DAN SEKARANG

Malam ni nak mengomel sikit dengan diri sendiri, nak menulis ikut rasa hati. Jangan marah ye pembaca-pembaca blog yang budiman (ayat perasan) :)

Dulu masa zaman belajar di UUM, duit boleh dikatakan ngam ngam sahaja setiap bulan. Jadi, makannya memang ala kadar, setakat mana yang ada. Hujung-hujung semester, biasanya Maggi menjadi pengalas perut. Kadang-kadang, pergi ke Cafe, ambil nasi dengan kuah je.

Namun begitu, riadhah pula boleh dikatakan setiap hari tanpa 'miss'. Kalau tak badminton, bola, kalau tak bola, jogging keliling balapan atau keliling kompleks sukan. Gym tu tidaklah sebab kena bayar, tapi adakalanya, rajin juga berkayak dengan kawan-kawan. Boleh dikatakan, hampir semua jenis sukan pernah dicuba di UUM dulu kecuali Golf. Paling dinanti adalah riadhah bola setiap Jumaat pagi sebab dapat jumpa geng-geng usrah, dapat peluang nak tackle keras kaki naqib dan senior usrah yang kerek dan ada tazkirah lepas main. Paling untung, biasanya dapat makan best-best, kalau tak kat rumah naqib, ada je yang baik hati nak belanja kat cafe.

Mungkin sebab itu, dulu, metabolisme tubuh terasa cukup laju. Badan memang amat cergas dan jarang mengantuk di kelas. Kopi dan teh memang amat jarang disentuh, kecuali kalau ada yang sudi membelanja sahaja. Berat pun hanya 65 kilo je.

Bila masuk alam pekerjaan, tidaklah kaya, tapi duit Insyaallah ada. Makan juga dah lengkap sempurna. Ada sahaja menu baru yang hendak dicuba. Bila dah kahwin apatah lagi. Teh dan kopi manis pula dah menjadi rutin harian. Mahani Johari (restoran Siam yang paling famous di Jitra), Jo Cendol Pulut, Lynda Kuala Perlis, bukan lagi hanya boleh dirasa dalam mimpi, tapi bila-bila boleh pergi.

Riadhah, hmmm....mula-mula cuba juga maintain, tapi memang terasa amat sukar. Tak semudah zaman pelajar dulu. Bila dah berkeluarga dan punya anak, lagilah susah nak mencari masa. Pelbagai komitmen baru timbul. Badan pun dah naik macam Incredible Hulk, cuma yang naik tu lemak, bukannya otot. Muda-muda dah dapat gelaran PJK (faham-faham sendiri la).



Sukan pun dah bertukar. Bolasepak dah kurang, cuma maintain main ping pong kat tingkat 4 masa waktu lapang lepas kelas.

Makin lama makin kurang. Kadang-kadang seminggu sekali je.

Nak bagi alasan memang cukup mudah, kerja la, dakwah la, anak la, bini la...macam-macam....bla bla bla.

Tapi.

Bila badan rasa cepat lesu, mata asyik kuyu, perut pun macam orang mengandung tak keluar-keluar. Baru berlari seminit, dah rasa mengah. Berat pun dah sampai 80 kilo. Seluar pun dah tak boleh pakai. Itu tanda yang amat bahaya. Bukan Dr Zaki yang kata, tapi aku sendiri dah lama tahu.

Bila fikir-fikir. Sampai bila nak terus begini? Makan memang nak yang sedap je. Tapi sanggupkah nanti umur tak sampai 40 sakit dah macam-macam? Tak rasa malu kah dengan anak-anak bila dikatakan mati sebab tak cermat jaga kesihatan? Dok sembang dakwah berdegar-degar, kata pendakwah yang terdidik dengan 10 muwasafat?

Ajal dan maut memang di tangan Allah. Marc Vivien Foe pun mati atas padang bola. Badan dia punyalah sasa. Al Ja'bary pula mati syahid di tembak tentera Israel walaupun tubuhnya perkasa. Ramai lagi orang muda yang sihat-sihat mati sebab kemalangan. Satu lagi, yang cukup jaga kesihatan, tapi kena kanser kan ramai?

Tapi takkan nak jadikan itu sebagai alasan untuk tak jaga kesihatan? Enjoy rehat dan makan sampai diri dipanggil tuhan. Itu namanya menipu diri sendiri. Jangan begitu bang.

Mati itu ketentuan, tapi sihat itu tuntutan. Kalau tak mampu buat banyak, jangan tinggal. Kalau belum mula hari ini, boleh mula esok. Apa yang penting, usaha kena ada. Paling kurang, 30 minit setiap sesi dan buat 3 kali seminggu.

Kalau nak bagi alasan sibuk, semua orang sibuk. Kalau nak bagi alasan mengaji, piirahh, duduk depan facebook lagi lama rasanya dari baca dan tulis paper. Kalau nak kata sibuk dakwah, sibuklah sangat? Nak kata sibuk dengan anak-anak? Kesian anak, jadi kambing hitam kata bini aku.

Hah, nak bagi alasan apa lagi?

Buat je, buat. Kalau bukan sekarang bila lagi?


No comments:

Post a Comment