NOTA 4 – DUBAI, KOTA METROPOLITAN YANG TERCARI-CARI IDENTITI

Kali pertama turun di lapangan terbang antarabangsa Dubai, saya kagum. Rekabentuk yang moden, kemudahan tandas yang bersih, kawasan lantai yang mempunyai permaidani seperti di masjid, musolla yang banyak dan besar dan kemudahan-kemudahan lain yang tentunya berada pada kelas yang tersendiri membuatkan siapa sahaja yang datang pasti akan merasa kagum.

Kecanggihan lapangan terbang antarabangsa Dubai dan penerbangan Emirates yang menghubungkan serata dunia membolehkan ramai pelancong bertandang ke sini.

NOTA 3 – SOLAT DI ATAS AWAN

Saya melangkah masuk ke perut kapal terbang Emirates dengan perasaan berdebar-debar dan dengan doa agar Allah mempermudahkan segala perjalanan dan melindungi keluarga yang saya tinggalkan. Malam itu, penerbangan dari Adelaide ke Dubai agak penuh dengan manusia yang transit di Dubai untuk seterusnya menuju ke pelbagai destinasi.


Saya ditempatkan di tempat duduk yang agak belakang. Berhampiran tempat penyediaan makanan. Diapit oleh dua orang yang bertubuh besar menyebabkan saya tidak dapat bergerak bebas. Saya hanya tidur-tidur ayam sepanjang perjalanan.

Saya dijadualkan sampai di Dubai pada jam lima empat puluh lima pagi. Menurut jadual waktu Solat di aplikasi iPray, waktu itu, matahari telah naik di Dubai. Ini bermakna saya mesti menunaikan Solat Fardhu Subuh di dalam pesawat.

NOTA 2 – PERSEDIAAN MUSAFIR PANJANG

Lebih kurang tiga minggu sebelum bertolak ke Natal, Malaysia dilanda demam PRU 13. Beberapa hari setelah tarikh pilihanraya diumumkan, saya mengambil keputusan untuk pulang secara solo ke Malaysia untuk menguruskan beberapa urusan, termasuk menziarahi kedua ibu bapa yang telah agak lama saya tidak berjumpa mereka secara fizikal.

Kepulangan saya ke tanahair kali ini juga untuk urusan tampal gigi yang amat mahal di Adelaide, juga pembelian buku-buku anak-anak yang semakin membesar. Tapi yang paling utama tentunya untuk meninjau penglibatan ISMA dalam pilihanraya kali ini yang memilih untuk bertanding atas tiket BERJASA.

Alhamdulilllah, misi kepulangan saya selama seminggu ke Malaysia berlangsung dengan jayanya. Semua yang saya sasarkan berjaya dilaksanakan. Terasa berbaloi wang yang dibelanjakan untuk perjalanan.

Kini tiba masa untuk saya bersedia bagi musafir panjang buat kali kedua dalam tempoh dua minggu. Pertamanya adalah urusan pembentangan, juga urusan transit di Dubai yang memakan masa sehari semalam. Apa yang paling saya bimbang adalah tahap keselamatan di Brazil yang dikatakan sebagai tidak selamat oleh kerajaan Australia.

NOTA MUSAFIR ADELAIDE - BRAZIL (NOTA SATU: TAQDIR ALLAH MENGHANTARKU KE SANA)

Musafir saya ke Brazil kali ini untuk menghadiri persidangan Conf-IRM 13 sebagai pembentang dari University of Adelaide adalah musafir paling panjang yang pernah saya lakukan, dan mungkin akan kekal sebagai rekod yang mungkin tidak akan dipecahkan lagi.

Perjalanan saya bermula dari Adelaide, menaiki penerbangan Emirates selama empat belas jam dan kemudian berhenti di Dubai untuk transit selama sehari. Seterusnya, dari Dubai, juga dengan penerbangan Emirates selama empat belas jam ke Rio De Janeiro.

Berhenti seketika di Rio selama beberapa jam, saya kemudiannya menaiki penerbangan domestik TAM Linhas menuju ke Natal yang terletak di  sebelah utara Brazil. Penerbangan mengambil masa lima jam.

Untuk perjalanan pergi, saya kira hampir satu hari setengah saya berada di dalam perut kapal terbang. Begitu juga perjalanan pulang yang melalui laluan yang sama. Saya menulis catatan ini ketika dalam perjalanan ke Dubai dari Rio. Ada lebih kurang enam belas jam lagi untuk ditempuhi.

Banyak yang ingin saya kongsi, terutamanya pengalaman menarik solat di atas kapal terbang, wajah Dubai yang saya lihat, pengalaman di Brazil dan kembara sehari di Rio yang tidak akan saya lupakan sepanjang hayat.

Insyaallah, akan saya kongsikan peringkat demi peringkat, bermula dengan nota satu, TAQDIR ALLAH MENGHANTARKU KE SANA

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

WHAT YOU DO, YOU UNDERSTAND


Alhamdulillah.

Banyak perkara baru yang saya dalam statistik yang saya belajar hari ini. Bermula dari analisis ‘normality’, ujian ‘reliability’, ‘convergent’ dan ‘discriminant validity’ serta ‘factor loading’. Insyaallah esok akan belajar berkenaan dengan ‘exploratory’ dan ‘confirmatory factor analysis’ pula.

Sebelum ini banyak kelas statistik yang saya lalui, banyak seminar kuantitatif yang saya dengar termasuklah seminar wajib sebelum menghantar permohonan pengajian lanjutan. Tapi, bila berdepan dengan masalah dan data sendiri yang perlu di santuni, cara saya melihat statistik jauh berbeza.

Kesungguhan mencari bahan, pengalaman hasil dari ‘try and error’, perkongsian dari mereka yang pakar dan rujukan-rujukan muktabar benar-benar membantu saya memahami sekelumit ilmu statistik dengan lebih praktikal.

Benarlah kata pepatah yang menyebut:

What you hear you forget, what you see, you remember, what you do, you understand.

Saya memahami pepatah ini secara amali hari ini (dan minggu-minggu sebelumnya). Bila kita benar-benar terjun untuk menyelesaikan masalah sebenar, barulah kita akan benar-benar memahami.

Begitu juga dengan dakwah dan tarbiah, kita hanya akan benar-benar memahami mutiara kata tokoh-tokoh pendakwah dari kalangan generasi kini dan generasi terdahulu, hadis-hadis baginda nabi dan ayat Al Quran yang membicarakan tentang dakwah, tarbiah, jihad dan pengorbanan yang dipelajari di dalam usrah, daurah, mabit dan mukhayyam hanya apabila kita terjun ke medan, bergelumang dengan masyarakat dan melaksanakan dakwah secara praktikal.

Bak kata seorang sahabat saya yang bergelumang dengan amal PRU yang amat sengit baru-baru ini, beliau mengatakan.

“Sekarang baru ana faham makna kata-kata Hassan Al Banna tentang dakwah Ikhwan, rupanya selama ini kita syok sendiri sahaja.”

Bila kaki terasa panas, kulit dan hati terbakar dek kerana asam ragam kafilah dakwah, duit yang ada hanya cukup-cukup makan kerana diinfaqkan ke jalan dakwah, maka barulah kita akan memahami makna dakwah. Itupun hanya sedikit cuma.

Moga Allah memberi kita kekuatan untuk menjadi pendakwah yang terjun ke medan amal, bukan hanya seronok berteori di kalangan ahli usrah yang akhirnya tidak membawa kita ke mana-mana.

Insyaallah.




Ringkas Sahaja

Pilihanraya telah lama tamat, namun kehangatannya masih terasa.
Malaysia memang sebuah negara yang unik. Iklim politiknya akan sentiasa kekal panas sepanjang lima tahun sehingga pilihanraya seterusnya. Walau apa pun, kita harap yang terbaik untuk Malaysia, semoga negara akan terus kekal aman dan sejahtera.

Banyak yang ingin saya ulas tentang politik Malaysia, terutamanya setelah saya merasai sendiri suasana tersebut ketika balik bercuti untuk mengundi selama seminggu pada minggu lepas. Tapi dek kerana kerja yang tertangguh, nampaknya saya terpaksa memberi tumpuan untuk mengulas angka-angka statistik dari PLS dan AMOS terlebih dahulu.

Utamakan yang lebih utama bak kata Stephen Covey. Kalau ada rezqi, harap minggu depan saya akan dapat mencoret dari bumi samba, pemenang juara piala dunia sebanyak lima kali.

Buat masa ini, mari kita berdoa agar Malaysia akan terus kekal sejahtera dengan ISLAM sebagai tonggak negara. Insyaallah.